Selasa, 3 April 2018

2:47-48 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 47-48.


يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ (٤٧) وَاتَّقُوا يَوْمًا لا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا وَلا يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَاعَةٌ وَلا يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلا هُمْ يُنْصَرُونَ (٤٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"47. Wahai Bani Israil! Ingatlah kalian nikmatKu yang Aku anugerahkan kepada kalian" 

Allah s.w.t. mengingatkan mereka akan nikmat-nikmatNya yang telah dilimpahkan kepada nenek moyang mereka yang terdahulu yang mengharuskan untuk bersyukur kepadaNya, bukan  mengkufurinya.

"dan bahawa Aku, Aku telah melebihkan kalian atas segala umat."

Allah s.w.t. telah menganugerahkan rahmat, kelebihan dan keutamaan atas segala umat kepada nenek moyang mereka. DiutusNya kepada mereka ramai para nabi dari kalangan mereka dan diturunkanNya kepada mereka kitab-kitab seperti Taurat dan Injil.

DijadikanNya mereka orang-orang merdeka, diberikanNya kepada mereka kerajaan dan apa yang belum pernah diberikanNya kepada umat-umat lain.

"48. Dan takutlah kalian hari tidak dapat membela seseorang dari orang lain sedikit pun," 

Ingatlah kekuasaan pembalasanNya kelak di hari akhirat. Peliharalah diri kalian dari siksa atau azab pada hari kiamat. Berimanlah kalian kepada RasulNya dan ikutilah apa yang telah diembankan oleh Allah kepadanya.

Jika kalian menemui Allah di hari kiamat dalam keadaan kafir, maka tidaklah bermanfaat bagi kalian pertolongan dari sesiapa pun, walaupun dari seorang bapa, anak, kawan karib atau siapa saja.

Tidak seorang pun dapat menolong atau melepaskan orang lain yang berdosa dari balasan azab sedikit pun. Pada hari itu tidak berlaku lagi kasih sayang.

"dan tidak diterima darinya syafa'at"

Syafa'at ialah usaha perantaraan dalam memberikan sesuatu manfaat bagi orang lain atau mengelakkan sesuatu mudharat bagi orang lain. Syafa'at yang tidak diterima di sisi Allah adalah syafa'at dari orang-orang kafir. Pada hari itu tidak diterima syafaat walaupun dari seseorang yang berkedudukan.

"dan tidak diambil darinya tebusan,"

Tidak akan diterima pengganti, tebusan atau apa pun yang sepadan dari orang kafir untuk menebus dirinya dari neraka, walaupun dengan emas sepenuh bumi. Pada hari itu tidak ada lagi suap dan jual beli.

"dan mereka tidak akan ditolong."

Mereka yang bersalah itu tidak akan diberi sebarang pertolongan. Tidak ada seorang pun yang akan marah demi membela mereka, belas kasihan kepada mereka atau berani menolong dan menyelamatkan mereka dari azab atau siksa Allah. Mereka juga tidak dapat saling tolong-menolong.

Semua hukum kembali kepada Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Maha adil yang di hadapanNya. Dia memberikan balasan suatu keburukan dengan balasan yang serupa dan membalas amal kebaikan dengan balasan yang berlipat ganda.

Kerana itu janganlah bergantung kepada makhluk, kerana mereka sama sekali tidak memiliki dan tidak berkuasa apa-apa walaupun seberat zarrah pada hari kiamat.

Bergantunglah kepada Allah s.w.t., kerana Dia yang mampu mendatangkan manfa'at dan menolak madharat. Beribadahlah kepadaNya dan mintalah pertolonganNya dalam beribadah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...