Rabu, 4 April 2018

2:187 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 187.

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (١٨٧)

Ketika diwajibkan puasa Ramadan pada permulaan Islam, kaum muslim hanya dihalalkan makan, minum dan bersetubuh dari waktu berbuka puasa hingga waktu solat Isya saja. Kemudian diharamkan makan, minum dan bersetubuh hingga ke waktu berbuka puasa di malam berikutnya. Maka dengan peraturan ini mereka mengalami masyaqat yang besar.

Qais ibnu Sirman dari kalangan Ansar sedang melaksanakan puasa. Pada siang harinya dia bekerja di ladangnya. Ketika waktu berbuka telah tiba, dia datang kepada isterinya dan mengatakan, "Apakah kamu mempunyai makanan?" Isterinya menjawab, "Tidak, tetapi aku akan pergi mencarikannya untukmu." Qais terlalu letih hingga dia tertidur. Ketika isterinya datang, si isteri melihatnya telah tidur; maka dia berkata, "Alangkah kecewanya engkau, engkau tertidur." Ketika keesokan harinya, tepat di siang hari Qais pengsan, lalu hal itu diceritakan kepada Nabi s.a.w.

Apabila datang puasa pada bulan Ramadhan, para sahabat tidak mendekati isteri selama bulan Ramadhan penuh. Namun segolongan kaum muslim mengkhianati dirinya sendiri. Mereka menjima'i isteri-isteri mereka, makan dan minum sesudah solat Isya dalam bulan Ramadan kerana tidak dapat menahan nafsu. Di antaranya ialah Umar ibnul Khattab dan Ka'b ibnu Malik.

Di suatu malam Umar ibnul Khattab r.a. pulang ke rumahnya dari rumah Nabi s.a.w. Lalu Umar menjumpai isterinya telah tidur, dan dia menginginkannya. Tetapi isterinya menjawab, "Aku telah tidur." Maka Umar menjawab, "Kamu belum tidur," lalu dia langsung menyetubuhinya. Pada pagi harinya Umar berangkat ke rumah Nabi s.a.w. dan menceritakan hal tersebut kepadanya.

Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"187. Dihalalkan bagi kalian pada malam hari berpuasa bercampur kepada isteri-isteri kalian;"

Ar rafas dalam ayat ini bermaksud bersetubuh dengan isteri. Dihalalkan bagi kalian pada malam hari di bulan Ramadan berjima' atau bersetubuh dengan isteri-isteri kalian. Hal ini merupakan suatu keringanan dari Allah s.w.t. buat kaum muslim, dan Dia menaskh (menghapuskan) apa yang berlaku di masa permulaan Islam. Mereka amat gembira dan berbesar hati menerimanya.

"Mereka pakaian bagi kalian, dan kalian pakaian bagi mereka."

Pakaian di sini bermaksud selimut dan ketenangan. Kesimpulannya suami dan isteri saling memerlukan, saling bercampur, saling berpegangan dan tidur-meniduri. Maka amatlah sesuai bila diringankan bagi mereka boleh bersetubuh dalam malam Ramadan, agar tidak memberatkan mereka dan menjadikan mereka berdosa.

"Allah mengetahui bahawasanya kalian, kalian tidak dapat menahan diri kalian sendiri, maka Dia mengampuni atas kalian dan Dia memaafkan dari kalian."

Allah s.w.t. mengetahui bahawasanya kalian tidak dapat menahan nafsu kalian dari menjima'i isteri-isteri kalian, makan dan minum sesudah Isya. Kerana itu Dia mengampuni dan memaafkan kalian.

"Maka sekarang campurilah mereka dan carilah oleh kalian apa yang Allah telah menetapkan bagi kalian,"

Kalian diperbolehkan menjima'i isteri-isteri kalian pada waktu malam di bulan Ramadan. Ikutilah ketetapan, keringanan dan apa yang telah dihalalkan oleh Allah untuk kalian, iaitu anak, jima' (persetubuhan) dan lailatul qadar (malam yang penuh dengan kemuliaan).

Niatkanlah dalam berjima' itu untuk bertaqarrub kepada Allah s.w.t. serta mendapat tujuan dari jima', iaitu mendapat keturunan, menjaga farji kalian, menjaga farji isteri kalian dan mendapat maksud daripada nikah.

Dalam kalian bersenang-senang dengan isteri kalian, carilah oleh kalian lailatul qadar yang bertepatan dengan malam hari bulan Ramadhan. Janganlah kalian membiarkan lailatul qadar berlalu begitu saja.

"dan makanlah kalian, dan minumlah kalian sehingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam,"

Kalian juga diperbolehkan makan dan minum pada waktu malam di bulan Ramadan. Makan, minum dan jima' itu diperbolehkan hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam. Demikian itu sebagai rahmat dan keringanan serta belas kasihan dari Allah.

Ketika ayat ini diturunkan, beberapa orang sahabat ketika ingin berpuasa, mereka mengikatkan benang putih dan benang hitam di kakinya. Dia terus makan dan minum hingga kedua benang itu jelas kelihatan. Lalu Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"dari fajar."

Maka mengertilah mereka bahawa istilah benang putih dan benang hitam itu bermaksud cahaya waktu subuh dari gelapnya malam hari atau malam dan siang hari, iaitu fajar. Anjuran makan sahur dan anjuran menta'khirkannya, diambil dari rukhsah dan kemudahan yang diberikan Allah s.w.t.

Fajar itu ada dua. Fajar yang bentuknya memanjang seperti tiang menyinari langit atau seperti ekor serigala. Ia tidak menandakan masuknya waktu subuh, tidak mengharamkan makan, minum dan jima' bagi orang yang puasa, dan orang yang sedang haji belum habis waktunya kerana fajar ini.

Fajar yang sebenarnya ialah fajar yang cahayanya merah melintang, menyinari puncak bukit-bukit, bentuknya melebar dan memenuhi ufuk (timur). Fajar inilah yang membolehkan solat Subuh, mengharamkan makan, minum dan jima' bagi orang yang puasa (petanda imsak yang sebenarnya) dan habislah waktu haji.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sahur adalah makanan yang mengandung berkah, maka janganlah kalian melewatkannya (terlepas), walaupun seseorang di antara kalian hanya meminum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersalawat untuk orang-orang yang makan sahur."

Walaupun hanya dengan seteguk air, ia sama dengan orang-orang yang makan. Mengakhirkan sahur sunat hukumnya. Jika kalian makan atau minum dalam keadaan ragu-ragu samada sudah terbit fajar atau belum, maka tidak mengapa.

Barang siapa yang berpagi hari dalam keadaan junub, hendaklah dia mandi, meneruskan puasanya tanpa ada dosa atasnya dan puasanya sah. Hal ini, kerana sesuatu yang lazim dari bolehnya jima' sampai terbit fajar adalah mendapatkan waktu fajar dalam keadaan baru selesai jima' (masih junub), dan lazim dari yang hak (benar) adalah hak (benar) juga.

"Kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam."

Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai datang waktu berbuka, iaitu apabila tenggelamnya matahari. Hal ini merupakan keringanan dan rahmat dari Allah. Para sahabat amat gembira dengan turunnya ayat ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila malam tiba dari arah ini dan siang hari pergi dari arah ini, bererti telah tiba waktu berbuka bagi orang yang puasa."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang-orang masih tetap dalam keadaan baik selagi mereka menyegerakan berbuka."

Pada mulanya mereka melakukan i'tikaf di dalam masjid, lalu dia keluar, maka dia menyetubuhi isterinya jika dia menghendakinya. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"Dan jangan kalian campuri mereka dan kalian orang-orang yang i'tikaf di dalam masjid-masjid."

I'tikaf ialah berada dalam masjid dengan niat mendekatkan diri kepada Allah. Ayat ini menunjukkan disyari'atkannya i'tikaf, dan bahawa i'tikaf hanya sah di masjid, iaitu masjid yang mereka kenal, iaitu masjid yang dipakai solat lima waktu.

Seorang lelaki yang sedang melakukan i'tikaf di dalam masjid, baik dalam bulan Ramadan ataupun di luar Ramadan, diharamkan baginya menjima'i isterinya, baik di siang maupun di malam hari sebelum dia selesai dari i'tikaf. I'tikaf menjadi batal kerana jima'.

Jika dia pulang ke rumahnya untuk suatu keperluan yang tak dapat dielakkan, tidak halal baginya tinggal di dalam rumah kecuali sekadar waktu seperlunya sesuai dengan kepentingannya, misalnya buang air besar atau makan.

Dia tidak diperbolehkan mendekati, mencium, memeluk isterinya dan sebagainya yang menjurus kepada berjima'. Saling serah terima sesuatu dan hal lainnya yang serupa, hukumnya tidak mengapa.

Dia tidak boleh menyibukkan diri dengan urusan lain kecuali i'tikafnya. Dia tidak boleh menjenguk orang yang sakit, tetapi dia boleh menanyakan tentang si sakit bila dia melalui jalan yang melintasi si sakit.

I'tikaf sangat dianjurkan dalam berpuasa atau di akhir bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w. selalu melakukan i'tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, hingga Allah mewafatkannya. Kemudian isteri-isterinya melakukan i'tikaf juga sesudah Beliau tiada.

"Itulah batas-batas Allah, maka janganlah kalian mendekatinya."

Itulah hal-hal yang dibataskan, dilarang, diperbolehkan, diharamkan, hukum-hukum, tujuan-tujuan, rukhsah-rukhsah dan 'azaim berkenaan puasa yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. dan diterangkanNya sendiri.

"Jangan mendekati" lebih dalam maksudnya daripada "jangan melakukan", kerana "jangan mendekati" bermaksud jangan melampaui, melanggar dan mengerjakan perbuatan yang dilarang tersebut, begitu juga segala wasilah (sarana atau jalan) yang mengarah kepadanya.

"Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia,"

Demikianlah Allah s.w.t. menjelaskan masalah puasa berikut hukum-hukum syariat dan rinciannya melalui lisan hamba dan RasulNya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. kepada umat manusia.

"supaya mereka bertakwa."

Agar mereka mengetahui jalan hidayah, cara untuk taat dan menjauhi maksiat. Biasanya seseorang melakukan perbuatan maksiat kerana tidak mengetahui bahawa hal itu merupakan maksiat. Dengan penerangan ini, tidak ada lagi 'uzur dan alasan untuk mengerjakan larangan tersebut.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...