Ahad, 8 April 2018

3:18-22 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 18-22.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ وَالْمَلائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (١٨) إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ (١٩) فَإِنْ حَاجُّوكَ فَقُلْ أَسْلَمْتُ وَجْهِيَ لِلَّهِ وَمَنِ اتَّبَعَنِ وَقُلْ لِلَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَالأمِّيِّينَ أَأَسْلَمْتُمْ فَإِنْ أَسْلَمُوا فَقَدِ اهْتَدَوْا وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا عَلَيْكَ الْبَلاغُ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ (٢٠) إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (٢١) أُولَئِكَ الَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (٢٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"18. Bersaksi Allah bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia," 

Allah s.w.t. menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Hanya Dialah Tuhan semua makhluk. Semua makhluk adalah hamba-hambaNya dan ciptaanNya yang berhajat kepadaNya, sedangkan Dia Mahakaya terhadap semuanya selain Dia sendiri.

Allah memberikan pernyataanNya, dan cukuplah Allah sebagai saksi. Dia adalah saksi Yang Mahabenar lagi Mahaadil, dan Mahabenar firmanNya.

"dan malaikat dan orang-orang yang berilmu." 

Para malaikat dan orang-orang berilmu, iaitu para nabi dan orang-orang mukmin yang berilmu juga bersaksi dan menyatakan yang demikian itu.
Hal ini merupakan suatu keutamaan dan keistimewaan yang besar bagi orang-orang yang berilmu (para ulama) dalam kedudukan tersebut.

Pengangkatan saksi dari kalangan orang-orang berilmu mengandungi tazkiyah (rekomendasi) dan ta'dil (penyebutan sebagai orang adil) dari Allah s.w.t., dan bahawa mereka merupakan orang-orang yang dipercayai.

"Yang menegakkan keadilan." 

Allah s.w.t. sentiasa menegakkan keadilan dalam semua keadaan.

"Tidak ada Tuhan melainkan Dia," 

Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Kalimat ayat ini berkedudukan sebagai taukid atau yang mengukuhkan kalimat sebelumnya.

"Maha Perkasa Maha Bijaksana." 

Allah Mahaperkasa. Keagungan dan kebesaranNya tidak dapat dibatasi. Dia Mahabijaksana dalam semua ucapan, perbuatan, syariat dan takdirNya.

"19. Sesungguhnya agama di sisi Allah Islam." 

Sesungguhnya agama yang diridhai dan diterima di sisi Allah hanyalah Islam. Agama yang memerintahkan untuk menyerahkan diri kepada Allah dengan mentauhidkanNya, tunduk kepadaNya dengan mentaatiNya, berlepas dari syirik dan pelakunya.

Mengikuti para rasul yang diutus oleh Allah s.w.t. di setiap masa, hingga diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa agama yang menutup semua jalan lain kecuali hanya jalan yang telah ditempuhnya. Ada juga yang mengertikan Islam dengan "syari'at yang dibawa para rasul, yang dasarnya adalah tauhid".

Sesudah Nabi Muhammad s.a.w. diutus, barang siapa yang menghadap kepada Allah dengan membawa agama yang bukan syariatnya, maka hal itu tidak akan diterima oleh Allah. Kelak di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi.

"Dan tidaklah berselisih orang-orang yang diberi Al Kitab kecuali setelah apa yang datang kepada mereka ilmu kerana kedengkian di antara mereka." 

Orang-orang yang telah diberi kitab-kitab sebelum diturunkan Al Quran, seperti orang-orang Yahudi dan Nasrani, pada mulanya tidak berselisih pendapat.

Apabila para rasul diutus kepada mereka, kitab-kitab samawi diturunkan buat mereka, datang pengetahuan kepada mereka dan hujah ditegakkan atas mereka, lalu berselisih pendapat dalam perkara kebenaran. Sebahagiannya beriman dan sebahagian lagi kafir.

Hal tersebut terjadi kerana terdorong oleh rasa dengki, benci dan saling menjatuhkan, hingga sebahagian dari mereka berusaha menjatuhkan sebahagian yang lain dengan menentangnya dalam semua ucapan dan perbuatannya, walaupun benar.

"Dan barang siapa yang ingkar kepada ayat-ayat Allah, maka sungguh Allah sangat cepat hisabNya."

Barang siapa yang ingkar, mendustakan dan menentang apa yang diturunkan oleh Allah di dalam kitabNya, maka Allah akan membalas perbuatannya, melakukan perhitungan terhadapnya dan akan menghukumnya. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"20. Maka jika mereka mendebat kamu," 

Kemudian jika mereka mendebat kamu tentang kebenaran Islam dan masalah tauhid,

"maka katakanlah, "Aku menyerahkan diriku kepada Allah, dan orang-orang yang mengikuti aku.""

Aku dan orang-orang yang seagama denganku menyerahkan diri kepada Allah. Kami memurnikan ibadah kami hanya kepada Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya, tidak ada tandingan bagiNya, tidak beranak dan tidak beristeri.

Dalam kata-kata ini terdapat ta'yis (menjadikan putus asa) orang-orang yang cuba memurtadkan kita dari agama Islam dengan perdebatan yang dilakukannya dan menguatkan agama ketika datang syubhat.

"Dan katakanlah kepada orang-orang yang diberi Al Kitab dan orang-orang yang ummi," 

Katakanlah kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani, dan kepada orang musyrik Arab yang buta huruf, tidak tahu menulis dan membaca. Ada yang mengatakan ummi bermaksud orang-orang yang tidak diberi Al Kitab.

"Sudahkah kalian masuk Islam?"

Apakah atau mahukah kalian masuk Islam? Iaitu mengikuti jalannya, memasuki agamanya, serta mengamalkan syariatnya dan apa yang diturunkan oleh Allah kepadanya. Risalah Nabi Muhammad s.a.w. umum kepada semua makhluk, seluruh manusia dan jin di seluruh alam.

Nabi s.a.w. mengirimkan surat-suratnya kepada semua raja dan pemimpin kabilah, baik yang Arab maupun yang 'ajam, baik mereka yang boleh membaca dan menulis maupun yang buta huruf, mengajak mereka untuk menyembah kepada Allah s.w.t., sebagai pengamalan dari perintahNya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, tiada seorang pun yang telah mendengarku dari kalangan umat ini, baik yang Yahudi ataupun yang Nasrani, lalu ia mati dalam keadaan tidak beriman kepada risalah yang aku bawa, melainkan ia termasuk ahli neraka."

"Maka jika mereka telah masuk Islam, maka sungguh mereka mendapat petunjuk." 

Jika mereka masuk Islam, bererti mereka telah mendapat petunjuk dari Allah s.w.t.

"Dan jika mereka berpaling, maka sungguh hanyalah atasmu menyampaikan." 

Tetapi jika mereka enggan, maka kewajiban kamu hanyalah menyampaikan ayat-ayat Allah. Dialah yang menghisab mereka kerana hanya kepadaNyalah mereka kembali.

"Dan Allah Maha Melihat kepada hamba-hambaNya."

Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat hidayah dan siapa yang berhak mendapat kesesatan. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya dan menyesatkan siapa yang dikehendakiNya. Dia berhak untuk melakukannya.

Hal tersebut adalah kerana hikmah dan rahmatNya. Hanya milikNyalah hikmah yang tepat dan hujah yang benar. Dia tidak akan disoal tentang perbuatanNya, sedangkan merekalah yang akan disoal.

"21. Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa hak" 

Iaitu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah yang disampaikan oleh para rasulNya di masa lampau dan sekarang. Demikian itu kerana keangkuhan dan keingkaran mereka terhadap para rasul, meremehkan perkara yang hak dan menolak untuk mengikuti para rasul.

Dalam satu saat dari permulaan siang hari, orang-orang Bani Israil berani membunuh ramai nabi tanpa sebab dan kesalahan, ketika para nabi itu menyampaikan syariat dari Allah dan menyeru mereka kepada perkara yang hak.

"dan membunuh orang-orang yang menyuruh berbuat adil dari manusia," 

Maka bangkitlah ramai orang lelaki dari kalangan Bani Israil melakukan amar ma'ruf dan nahi munkar (memerintahkan kepada kebajikan dan melarang kemungkaran). Mereka berbuat ihsan dan menasihati orang-orang yang telah membunuh para nabi itu.

Namun dibalas dengan perbuatan buruk. Mereka membunuh juga orang-orang yang beramar ma'ruf dan bernahi munkar itu di penghujung siang hari itu juga. Perbuatan seperti itu merupakan perbuatan yang sangat takabur (sombong).

Nabi s.a.w. bersabda, "Takabur ialah menentang perkara hak dan meremehkan orang lain."

Bani Israil menentang perkara yang hak dan bersikap angkuh terhadap manusia, maka Allah s.w.t. membalikkan mereka menjadi hina dan nista dalam kehidupan di dunia ini.

"maka berilah mereka khabar gembira dengan azab yang sangat pedih." 

Sampaikanlah kepada mereka khabar gembira bahawa mereka kelak akan menerima siksa yang paling keras, pedih lagi menghinakan di hari akhirat.

"22. Mereka itu orang-orang yang lenyap amal-amal mereka di dunia dan akhirat,"

Amal-amal baik mereka seperti sedekah dan silaturrahim lenyap dan sia-sia saja pahalanya, baik di dunia maupun di akhirat.

"dan tidaklah bagi mereka dari penolong-penolong." 

Mereka sekali-kali tidak akan mendapat penolong yang menolong mereka dari azab.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...