Khamis, 9 Ogos 2018

43:36-39 Tafsir Surah Az Zukhruf, ayat 36-39.

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ (٣٦) وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ (٣٧) حَتَّى إِذَا جَاءَنَا قَالَ يَا لَيْتَ بَيْنِي وَبَيْنَكَ بُعْدَ الْمَشْرِقَيْنِ فَبِئْسَ الْقَرِينُ (٣٨) وَلَنْ يَنْفَعَكُمُ الْيَوْمَ إِذْ ظَلَمْتُمْ أَنَّكُمْ فِي الْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ (٣٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"36. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Ar Rahman,"

Barang siapa yang melalaikan, tidak peduli, menolak dan pura-pura tidak mengetahui pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah, iaitu Al Qur’an yang merupakan rahmat terbesar yang Dia berikan kepada hamba-hambaNya, maka dia telah rugi dengan kerugian yang tidak ada lagi kebahagiaan setelahnya.

"Kami mengikatkan baginya syaitan, maka ia baginya teman."

Allah biarkannya, mengadakan atau menyerahkan untuknya syaitan yang derhaka lagi menyesatkan. Maka syaitan itulah yang menjadi teman karibnya yang sentiasa bersama menemaninya.

"37. Dan sungguh mereka benar-benar menghalangi mereka dari jalan"

Sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, menjanjikannya, membuatnya berangan-angan dan mendorongnya berbuat maksiat.

"dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk."

Sedangkan mereka merasakan bahawa mereka telah mendapat petunjuk. Hal ini disebabkan penghiasan dari syaitan kepada kebatilan dan berpalingnya mereka dari yang hak. Mereka mungkin akan mengatakan bahawa mereka telah tersalah sangka bahawa hal itu adalah petunjuk.

Namun, orang-orang seperti ini tidak akan diterima uzurnya kerana sumber kebodohan mereka adalah berpaling dari peringatan Allah padahal mampu mengambilnya sebagai petunjuk, mereka tidak suka petunjuk padahal mampu mendapatkannya dan mereka juga lebih suka kepada yang batil.

Begitulah keadaan orang yang berpaling dari mengingat Allah di dunia bersama kawannya iaitu syaitan, dia berada dalam kesesatan, kebodohan dan terbalik hakikat yang sebenarnya.

"38. Sehingga apabila datang kepada Kami,"

Apabila orang-orang yang berpaling dari kebenaran itu dibangkitkan dari kuburnya di hari kiamat nanti, ketika mereka datang menghadap Allah, keadaannya lebih buruk lagi. Tangannya diikat atau dilekatkan dengan syaitan yang sentiasa menjadi temannya di dunia.

Maka syaitan itu tidak pernah berpisah lagi darinya. Syaitan itu menyesatkannya dan menunjukkan kepadanya jalan ke neraka Jahim. Mereka bersama-sama dijerumuskan oleh Allah s.w.t. ke dalam neraka. Maka bencilah dia kepada syaitan yang menemaninya itu.

Maka dia akan menampakkan penyesalan dan kesedihan yang tidak dapat ditutupi. Dia berharap dapat berlepas diri dari kawannya itu.

"dia berkata, "Aduhai, semoga antara aku dan antara kamu sejauh masyriqain, maka sejahat-jahat teman.""

Istilah masyriqain bermaksud antara masyriq (timur) dan maghrib (barat). Dia berharap sekiranya jarak antara dia dan syaitan yang sentiasa menemaninya itu sangat jauh, seperti jarak antara timur dan barat. Memang syaitan itu adalah kawan yang paling jahat bagi manusia.

"39. Dan tidak memberi kalian manfaat pada hari, sebab kalian telah aniaya."

Harapan kalian itu sekali-kali tidak akan memberi manfaat kepada kalian di hari itu kerana kalian telah menzalimi diri kalian sendiri dengan kesyirikan, kekafiran dan kemaksiatan. Tiada gunanya lagi penyesalan kalian itu.

"Sesungguhnya kalian dalam azab orang-orang yang bersekutu."

Sesungguhnya kalian dan syaitan itu layak bersama-sama dalam azab yang sangat pedih itu. Kebersamaan kalian dalam azab tidaklah memberikan manfaat apa-apa bagi kalian. Kalian tidak akan mendapat ruh hiburan semasa ditimpa musibah.

Biasanya ketika di dunia semasa seseorang ditimpa musibah, ada orang lain juga ditimpa musibah. Maka musibah itu terasa ringan dan sebahagiannya menghibur yang lain. Adapun musibah di akhirat, ia menghimpun semua siksa. Di dalamnya tidak ada istirehat walaupun sebentar.

Begitulah hukuman yang besar dari Allah bagi orang yang berpaling dari pengajaranNya. Barang siapa yang menerima pengajaran Allah, maka dia telah menerima pemberian terbaik dan mendapat harapan yang paling besar. Semoga Allah memasukkan kita ke syurga dan menjauhkan kita dari neraka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...