Isnin, 15 Julai 2019

18:6-8 Tafsir Surah Al Kahfi, ayat 6-8.

فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَى آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا (٦) إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الأرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلا (٧) وَإِنَّا لَجَاعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًا جُرُزًا (٨)

Nabi Muhammad s.a.w. ingin sekali dan bergembira jika manusia ketika itu mendapat hidayah. Beliau berusaha sedaya upaya untuknya.

Namun ketika kaum musyrik tidak mahu beriman, berpaling, mendustakannya dan menjauhinya, Beliau pun bersedih kerana kasihan kepada mereka. Maka Allah s.w.t. berfirman menghibur hati RasulNya,

"6. Maka barangkali kamu merosak dirimu atas perbuatan mereka, jika tidak mereka beriman dengan ini keterangan bersedih."

Bakhi'un bermaksud merosakkan, mencelakakan atau membinasakan diri sendiri. Keterangan bermaksud Al Qur'an. Asafan bermaksud bersedih, kecewa dan marah.

Maka barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada Al Qur'an ini.

Janganlah kamu buat dirimu kecewa dan binasa kerana kesedihan memikirkan sikap mereka yang tidak mahu beriman kepadamu, melainkan sampaikanlah risalah Allah.

Pahalamu sudah pasti akan diberikan Allah. Barang siapa yang mahu menerimanya sebagai petunjuk, maka manfaatnya buat dirinya sendiri.

Barang siapa yang sesat dari mereka, maka sesungguhnya dia menyesatkan dirinya sendiri. Jika Allah mengetahui bahawa dalam hati mereka ada kebaikan, nescaya Dia akan memberi hidayah.

Akan tetapi Dia mengetahui bahawa mereka lebih sesuai masuk ke neraka, sehingga Dia membiarkan mereka dan tidak memberinya petunjuk. Oleh itu, sibuk dengan sedih memikirkan mereka tidak ada faedahnya bagimu.

"7. Sungguh Kami jadikan apa yang di atas bumi perhiasan baginya, Kami hendak menguji mereka, siapa lebih baik amalnya."

Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi seperti haiwan, tumbuhan, sungai-sungai, tempat tinggal, pemandangan yang indah dan sebagainya sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya, iaitu yang paling ikhlas dan paling sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau, dan sesungguhnya Allah menjadikan kalian sebagai khalifah padanya; maka Dia akan melihat, apakah yang akan diperbuat oleh kalian. Kerana itu, takutlah kalian terhadap dunia dan takutlah kalian terhadap wanita, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula melanda kaum Bani Israil adalah tentang wanita."

Allah telah menjadikan dunia ini tempat yang fana yang dihiasi dengan perluasan yang fana juga pada akhirnya. Dunia itu pasti lenyap dan fana, masanya pasti habis dan lenyap serta hancur. Sesungguhnya dunia bersama kegemerlapannya ini hanya dijadikan oleh Allah sebagai tempat ujian, bukan tempat menetap.

"8. Dan sungguh Kami benar-benar telah menjadikan apa yang di atasnya tanah yang tandus."

Sesungguhnya Kami juga benar-benar akan menjadikan apa yang di atasnya menjadi tanah rata, kering lagi tandus, tidak dapat menumbuhkan tetumbuhan dan tidak bermanfaat. Sesudah menghiasinya Kami benar-benar akan menjadikan dunia rosak dan hancur, dan Kami akan menjadikan segala sesuatu yang berada di atasnya binasa dan lenyap.

Inilah hakikat dunia, Allah telah memperjelaskannya sejelas-jelasnya, memperingatkan agar kamu tidak tertipu olehnya, mendorong kamu untuk mencintai negeri yang kekal kenikmatannya, dan berbahagia penduduknya. Semua itu merupakan rahmatNya kepada kamu.

Namun orang-orang yang melihat dunia zahirnya saja tanpa melihat di balik itu, maka mereka akan tertipu oleh gemerlapnya dunia dan keindahannya. Mereka hanya melihat luarnya saja dan bekerja untuk dunianya.

Mereka pun menikmati dunia seperti haiwan menikmatinya. Yang mereka fikirkan hanya makan, minum dan bersenang-senang. Mereka tidak ingat tujuan mereka diciptakan, bahkan yang di benak mereka hanyalah memuaskan hawa nafsu belaka bagaimana pun caranya, halal atau haram.

Adapun orang-orang yang melihat hakikat dunia dan mengetahui tujuan mereka diciptakan, maka mereka mengambil dunia ini dan menggunakannya untuk membantu beribadah kepada Allah, mereka pun mengisi waktunya dengan ketaatan. Mereka juga menjadikan dunia sebagai jambatan, bukan sebagai tujuan. Mereka jadikan hidupnya di dunia sebagai musafir; bukan sebagai mukim.

Mereka juga mengerahkan kemampuannya untuk mengenal Tuhannya, melaksanakan perintahNya dan memperbaiki amalnya. Mereka inilah yang mendapat tempat yang baik di sisi Allah, yang layak mendapat kemuliaan, kenikmatan dan kesenangan. Mereka melihat lebih dalam dunia ini dan dia bekerja untuk akhiratnya.

Sesungguhnya kembali semuanya adalah kepada Allah. Maka janganlah kamu berputus asa, janganlah pula bersedih hati terhadap apa yang kamu dengar dan kamu lihat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...