Rabu, 17 Julai 2019

20:37-40 Tafsir Surah Thaha, ayat 37-40.

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ مَرَّةً أُخْرَى (٣٧) إِذْ أَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّكَ مَا يُوحَى (٣٨) أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِي وَعَدُوٌّ لَهُ وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِنِّي وَلِتُصْنَعَ عَلَى عَيْنِي (٣٩) إِذْ تَمْشِي أُخْتُكَ فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى مَنْ يَكْفُلُهُ فَرَجَعْنَاكَ إِلَى أُمِّكَ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلا تَحْزَنَ وَقَتَلْتَ نَفْسًا فَنَجَّيْنَاكَ مِنَ الْغَمِّ وَفَتَنَّاكَ فُتُونًا فَلَبِثْتَ سِنِينَ فِي أَهْلِ مَدْيَنَ ثُمَّ جِئْتَ عَلَى قَدَرٍ يَا مُوسَى (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman kepada Musa a.s. menyebutkan nikmatNya kepada Beliau saat Beliau masih kecil dan dalam masa perkembangan.

"37. Dan sungguh Kami telah beri nikmat atasmu kesempatan yang lain,"

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberi nikmat kepada Musa a.s. pada kesempatan yang lain sebelum itu.

"38. Ketika Kami wahyukan kepada ibumu apa yang diwahyukan."

Iaitu ketika Allah s.w.t. mengilhamkan kepada ibu Musa (Yukabad) sesuatu yang diilhamkan dalam bentuk mimpi atau ilham ketika ibunya melahirkannya. Musa a.s. dilahirkan di masa Fir'aun dan bala tenteranya menyembelih semua bayi Bani Israil yang lahir tahun itu.

Ada yang mengatakan bahawa sebab Fir’aun membunuh anak lelaki dari kalangan Bani Isra’il adalah kerana berita yang sampai kepadanya dari orang-orang Qibti (Mesir), mereka mendengar cerita dari kaum Bani Isra’il yang mereka warisi dari Ibrahim a.s., bahawa akan keluar dari keturunannya seorang anak yang akan menggulingkan kekuasaan raja Mesir.

Menurut riwayat lain, sebabnya adalah kerana Fir’aun bermimpi ada sebuah api yang datang dari arah Baitul Maqdis membakar rumah-rumah di Mesir bersama orang-orang Qibti, namun orang-orang bani Isra’il tidak kena. Ketika Fir’aun bangun, dia pun cemas.

Segeralah dikumpulkannya para penyihir, para dukun dan para peramal, dia bertanya kepada mereka, mereka pun menjawab, “Ini adalah anak lelaki dari kalangan mereka (Bani Isra’il) yang akan menjadi sebab hancurnya penduduk Mesir melalui tangannya.” Wallahu a'lam.

"39. Supaya letakkanlah dia dalam peti, kemudian hanyutkanlah dia dalam sungai,"

Ibu Musa khuatir Fir’aun akan membunuh Musa a.s. Maka Ibu Musa membuat sebuah peti untuk Musa a.s. yang masih disusukannya, lalu meletakkan Musa a.s. di dalam peti itu dan menghanyutkannya ke Sungai Nil, tetapi dalam keadaan diikat dengan tali yang dihubungkan ke rumahnya.

Pada suatu hari ibu Musa pergi untuk memperbaharui ikatan talinya, tetapi peti yang berisikan Musa a.s. terlepas dan hanyut dibawa arus Sungai Nil. Hati ibu Musa menjadi kosong, dirundung rasa duka cita yang sangat mendalam dan kesedihan yang tak terperikan. Hampir saja dia membuka rahsia tentang Musa a.s. Tetapi Allah s.w.t. teguhkan hatinya.

"maka membawanya sungai ke tepi,"

Arus Sungai Nil membawa peti yang berisikan Musa a.s. itu ke istana Fir'aun yang terletak di pinggir Sungai Nil.

"mengambilnya musuhKu dan musuh baginya."

Supaya Musa a.s. dipungut oleh keluarga Fir'aun, musuh Allah s.w.t. dan musuh Musa a.s. yang akibatnya Beliau menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka, iaitu sebagai suatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Dalam waktu yang sama mereka membunuh bayi-bayi kaum Bani Israil kerana mereka takut akan kelahiran Musa a.s. Maka Allah s.w.t. memutuskan hal yang lain, kerana Dialah yang memiliki kekuasaan Yang Mahabesar dan takdir yang sempurna.

"Dan Aku limpahkan atasmu kasih sayang dariKu,"

Allah s.w.t. telah melimpahkan kepada Musa a.s. kasih sayang yang datang dariNya. Dia jadikan Musa a.s. disukai oleh hamba-hambaNya. Setiap orang yang memandang Beliau akan merasa sayang kepadanya. Allah s.w.t. juga menanamkan rasa kasih sayang kepada Musa a.s. di dalam hati Fir'aun dan isterinya.

"dan supaya kamu dibuat atas pengawasanKu."

Supaya Musa a.s. sentiasa diasuh, dipelihara dan diberi makan di dalam asuhan keluarga Fir'aun di bawah pengawasan Allah s.w.t. Dia menjadikan Musa a.s. berada di dalam istana raja, hidup mewah, senang dan makanannya sama dengan makanan raja.

"40. Ketika berjalan saudara perempuanmu, maka dia berkata, "Apakah aku tunjukkan pada kalian atas orang yang memeliharanya?”"

Iaitu ketika kakak Musa (Maryam) berjalan memerhatikan keadaan Musa a.s. Keluarga Fir'aun mencari wanita yang akan menyusui Musa a.s. Para ibu yang sedia menyusukan dihadirkan, namun Musa a.s. menolak menyusu kepada mereka.

Lalu kakak Musa datang dan berkata kepada keluarga Fir'aun, "Mahukah kalian aku tunjukkan kepadamu ahli bait yang akan memeliharanya (menyusuinya dengan imbalan upah) untuk kalian dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?"

"Maka Kami mengembalikannya kepada ibumu, supaya dia sejuk matanya dan tidak bersedih hati."

Lalu kakak Musa membawa Musa a.s. diiringi oleh keluarga Fir'aun ke tempat ibunya. Ibunya menyusuinya dan Musa a.s. mahu menerima air susu ibunya, sehingga keluarga Fir'aun merasa sangat gembira menyaksikan hal tersebut, dan mereka memberi upah imbalannya kepada ibu Musa.

Allah s.w.t. mengembalikan Musa a.s. kepada ibunya, agar senang hatinya dan tidak berduka cita kerana kehilangan Musa a.s. Dengan kisah yang berliku-liku ini akhirnya ibu Musa mendapat kebahagiaan dan ketenangan serta kedudukan yang tinggi di dunia, juga mendapat pahala yang lebih besar dan lebih berlimpah di akhirat.

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Perumpamaan pekerja yang mengharapkan kebaikan dari kerjanya adalah seperti yang dilakukan oleh ibu Musa. Dia menyusui anaknya dan menerima upahnya."

"Dan kamu membunuh seseorang,"

Musa a.s. pernah dengan tidak sengaja membunuh seorang bangsa Qibti penduduk negeri Mesir yang sedang berkelahi dengan seorang Bani Israil. Setelah itu Musa a.s. berdoa dan meminta ampunan kepada Allah s.w.t. Maka Allah s.w.t. mengampuninya.

Keluarga Fir'aun dan para pembesar negeri bertekad untuk memburu, menangkap dan membunuh Musa a.s. Apabila Musa a.s. mendengar berita tersebut, Beliau lari menyelamatkan diri.

"maka Kami menyelamatkanmu dari kesusahan"

Allah s.w.t. selamatkan Musa a.s. dari kesusahan yang besar. Allah s.w.t. menyelamatkan Beliau dari kemalangan akibat membunuh dan dari pembunuhan yang dirancangkan oleh keluarga Fir'aun dan para pembesar negeri.

"dan Kami beri cobaan kepadamu beberapa cobaan."

Allah s.w.t. telah mencoba Musa a.s. dengan beberapa cobaan yang berat. Ternyata Beliau tetap istiqamah di atas keadaannya yang baik.

"Maka kamu tinggal beberapa tahun di antara penduduk Madyan,"

Musa a.s. menyelamatkam diri dari kejaran keluarga Fir'aun dan para pembesar negeri hingga sampailah Beliau di sebuah mata air Madyan. Seorang hamba yang soleh berkata kepada Musa a.s., "Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim."

Di Madyan Beliau dikahwinkan oleh hamba yang soleh itu dengan salah seorang puterinya dan menetap sepuluh tahun di sana. Selama itu Beliau menggembalakan ternak mertuanya sehingga masa kerjanya habis dan kontrak kerjanya selesai.

Menurut sebahagian ahli sejarah, bahawa hamba yang soleh itu adalah Syu’aib a.s., namun yang lain tidak berpendapat demikian.

"kemudian kamu datang menurut ketetapan waktu, wahai Musa."

Musa a.s. datang ke lembah Thuwa menurut waktu yang ditetapkan dalam ilmu, takdir dan kehendak Allah s.w.t. tanpa ada perjanjian terlebih dahulu untuk menerima wahyu dan kerasulan. Pada waktu itu usia Beliau empat puluh tahun.

Segala sesuatu itu berjalan atas kehendak Allah s.w.t. Dialah Yang Mengatur dan Menjalankan urusan hamba-hambaNya dan hal ikhwal makhlukNya  menurut apa yang dikehendakiNya. Hal ini menunjukkan perhatian Allah s.w.t. kepada Musa a.s.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...