Khamis, 26 September 2019

3:42-44 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 42-44.

وَإِذْ قَالَتِ الْمَلائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاكِ وَطَهَّرَكِ وَاصْطَفَاكِ عَلَى نِسَاءِ الْعَالَمِينَ (٤٢) يَا مَرْيَمُ اقْنُتِي لِرَبِّكِ وَاسْجُدِي وَارْكَعِي مَعَ الرَّاكِعِينَ (٤٣) ذَلِكَ مِنْ أَنْبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ وَمَا كُنْتَ لَدَيْهِمْ إِذْ يُلْقُونَ أَقْلامَهُمْ أَيُّهُمْ يَكْفُلُ مَرْيَمَ وَمَا كُنْتَ لَدَيْهِمْ إِذْ يَخْتَصِمُونَ (٤٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan khitab malaikat yang ditujukan kepada Maryam a.s. atas perintah dariNya,

"42. Dan ketika telah berkata malaikat, "Wahai Maryam, sesungguhnya Allah memilihmu,""

Ingatlah ketika Malaikat Jibril a.s. menyatakan bahawa Allah s.w.t. telah memilih Maryam untuk mentaatiNya dan menjadi wanita yang terpilih. Demikian itu kerana ibadahnya yang banyak, zuhudnya, kemuliaannya dan kesuciannya dari semua kotoran dan godaan syaitan.

"dan menyucikanmu, dan memilihmu atas wanita-wanita seluruh alam."

Allah s.w.t. juga menyucikan Maryam a.s. dari akhlak yang buruk dan melebihkan Maryam di atas segala wanita di dunia yang semasa dengannya.

Boleh juga maksudnya Allah memilihnya secara mutlak di setiap masa. Allah memilihnya kembali dari suatu waktu ke waktu yang lain kerana kemuliaan yang dimilikinya berada di atas semua wanita di dunia pada masanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik wanita yang naik unta ialah wanita Quraisy, paling penyayang kepada anak semasa masih bayi, dan paling memelihara kehormatan diri suami, sedangkan Maryam binti Imran belum pernah naik unta sama sekali."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik wanitanya adalah Maryam binti Imran, dan sebaik-baik wanitanya adalah Khadijah binti Khuwailid."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Cukuplah bagimu dari wanita di dunia ini dengan Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, dan Asiah isteri Fir'aun."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik wanita di dunia ada empat orang, iaitu Maryam binti Imran, Asiah isteri Fir'aun, Khadijah binti Khuwailid, dan Fatimah binti Rasulullah."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang lelaki yang mencapai kesempurnaan banyak jumlahnya, tetapi dari kalangan wanita hanya ada tiga orang, iaitu Maryam binti Imran, Asiah isteri Fir'aun, dan Khadijah binti Khuwailid. Sedangkan keutamaan Aisyah atas kaum wanita sama dengan keutamaan makanan Sarid atas makanan lainnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda,"Telah mencapai kesempurnaan orang-orang banyak dari kalangan kaum lelaki, tetapi tidak ada yang mencapai kesempurnaan dari kalangan kaum wanita selain Maryam binti Imran dan Asiah isteri Fir'aun."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Banyak dari kaum lelaki yang mencapai tingkat kesempurnaan, tetapi dari kalangan kaum wanita tidak ada yang mencapai tingkat kesempurnaan kecuali Asiah isteri Fir'aun dan Maryam binti Imran, dan sesungguhnya keutamaan Aisyah dibandingkan dengan wanita-wanita lainnya sama dengan keutamaan makanan Sarid di atas semua jenis makanan."

Kemudian Allah s.w.t. berfirman menceritakan khitab malaikat kepada Maryam,

"43. Wahai Maryam, berqunutlah kepada Tuhanmu, dan bersujudlah, dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk."

Malaikat memerintahkan agar Maryam banyak melakukan ibadah, khusyuk, rukuk, dan sujud serta membiasakan diri beramal.

Al qunut bermaksud taat dengan penuh kekhusyukan. Ada yang mengatakan al qunut bermaksud rukuk yang lama di dalam solat. Ada yang mengatakan bahawa makna uqnuti lirabbiki bermaksud sembahlah Tuhanmu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap kalimat yang ada di dalam Al Qur'an disebut di dalamnya lafaz al qunut, ertinya taat."

Maryam selalu berdiri (melakukan ibadah) sehingga kedua telapak kakinya bengkak-bengkak kerana mengamalkan perintah yang terkandung di dalam firmanNya,"Wahai Maryam, berqunutlah kepada Tuhanmu." (Ali Imran 3:43)

Rukuklah bersama orang-orang yang rukuk bermaksud jadilah kamu salah seorang dari mereka yang rukuk. Ada yang mengatakan melaksanakan solat secara berjama'ah. Hal ini sebagai tanda syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya.

Maryam tetap tinggal di dalam mihrabnya sambil rukuk, sujud, dan berdiri, hingga air kuning keluar dari telapak kakinya, terus-menerus melakukan sujud hingga air kuning turun ke kedua matanya dan selalu mandi di setiap malamnya. Semoga Allah melimpahkan keridhaanNya kepadanya dan memberinya pahala yang memuaskan.

Semua perintah itu kerana Allah s.w.t. hendak menganugerahkan kepadanya suatu perkara yang telah ditakdirkanNya untuk dia. Anugerah tersebut merupakan batu ujian baginya dan meninggikan darjatnya di dua tempat (dunia dan akhirat). Melalui dirinya Allah akan menampilkan kekuasaanNya yang besar, iaitu Allah akan menciptakan darinya seorang anak tanpa ayah.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman kepada RasulNya Nabi Muhammad s.a.w. sesudah memaparkan kepadanya dengan jelas semua kisah tersebut,

"44. Demikian itu dari berita-berita ghaib Kami mewahyukannya kepadamu; dan tidak kamu berada di sisi mereka,"

Wahyu bermaksud kisah yang diceritakan kepada Nabi s.a.w. Yang demikian itu adalah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepada kamu wahai Muhammad, padahal kamu tidak hadir atau tidak berada bersama mereka.

"ketika mereka melemparkan pena-pena mereka, siapa di antara mereka yang akan memelihara Maryam."

Saat ibu Maryam pergi membawa Maryam ke para pelayan Baitul Maqdis, maka orang-orang yang berada di sana bertengkar, siapa di antara mereka yang akan mengurus Maryam. Mereka pun mengadakan undian dengan melempar pena mereka ke sungai. Bagi pena yang tidak terbawa air, maka dialah yang mengurusnya. Ternyata pena yang tidak terbawa air adalah pena Zakariya; nabi mereka dan orang yang utama di antara mereka.

Menurut riwayat lain, Maryam dikeluarkan dari khemahnya, lalu dibawa ke tempat Banil Kahin, keturunan Harun a.s., saudara Musa a.s. Ketika itu mereka sedang mengecat bahagian dari Baitul Maqdis yang letaknya lurus dengan Ka'bah. Lalu ibu Maryam berkata kepada mereka, "Terimalah oleh kalian bayi nazirah ini, kerana sesungguhnya aku telah menazarkannya untuk berkhidmat pada Baitul Maqdis. Sedangkan dia adalah bayi perempuan, dan tidak boleh ada orang berhaid yang masuk masjid, tetapi aku tidak akan membawanya kembali pulang ke rumahku." Mereka menjawab, "Ini adalah anak perempuan imam kita (Imran adalah imam solat mereka) dan pemimpin korban kami," Maka Zakaria a.s. berkata, "Serahkanlah dia kepadaku, kerana sesungguhnya makcik bayi itu adalah isteriku." Mereka berkata, "Kami belum puas, mengingat dia adalah anak perempuan imam kami." Yang demikian itu terjadi ketika mereka akan melakukan undian dengan pena-pena yang biasa mereka gunakan untuk menulis kitab Taurat, dan ternyata undian yang keluar adalah pena milik Zakaria a.s. Akhirnya Beliau memelihara Maryam.

Menurut riwayat lain, mereka pergi ke Sungai Jordan, lalu melakukan undian di sungai tersebut, dengan ketentuan bahawa mereka diharuskan melempar pena-pena mereka ke dalam sungai itu. Barang siapa yang penanya tetap bertahan melawan arus air, maka dialah yang bakal memelihara Maryam. Lalu mereka melemparkan penanya masing-masing, tetapi semuanya hanyut dibawa oleh arus air sungai, kecuali pena milik Zakaria a.s. yang tetap berada di tempatnya.

Menurut riwayat lain, pena Zakaria a.s. bahkan bergerak melawan arus air. Selain itu Zakaria a.s. adalah pemimpin dan penghulu mereka, juga orang yang paling alim di antara mereka, serta imam dan nabi mereka.

"Dan tidak kamu berada di sisi mereka ketika mereka saling bertengkar."

Padahal kamu tidaklah hadir atau berada bersama mereka ketika mereka bertengkar atau bersengketa, lalu kamu dapat menceritakan kepada mereka kejadian yang engkau saksikan.

Tetapi Allah s.w.t. memperlihatkannya kepadamu hal tersebut, seakan-akan kamu ikut hadir dan menyaksikan apa yang terjadi di antara mereka ketika mereka melakukan undian perihal Maryam, iaitu siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam.

Demikian itu dilakukan kerana keinginan mereka untuk mendapat pahala Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...