Isnin, 23 September 2019

2:197 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 197.

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسُوقَ وَلا جِدَالَ فِي الْحَجِّ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الألْبَابِ (١٩٧)

Allah s.w.t. berfirman,

"197. Haji bulan-bulan yang dimaklumi,"

Musim haji adalah pada beberapa bulan yang dimaklumi, iaitu bulan Syawal, Zul Qa'dah dan Zul Hijjah. Berdasarkan ayat ini, Imam Syafi'i berpendapat bahawa ihram untuk menunaikan ibadah haji tidak boleh dilakukan sebelum tiba bulan-bulan haji.

Namun menurut Syaikh As Sa'diy bahawa berihram untuk haji dianggap sah walaupun belum tiba bulan-bulan haji, berdasarkan lanjutan ayatnya, iaitu "faman faradha fiihinnal hajja" di mana meniatkan haji itu terkadang di bulan haji dan terkadang di luar bulan haji, inilah yang dipegang oleh jumhur ulama.

"maka barang siapa yang menetapkan di dalamnya haji,"

Iaitu orang-orang yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, yang mengerjakan ibadah haji dalam bulan itu, yang mewajibkan haji dengan memasuki ihramnya atau yang telah berihram untuk haji atau umrah.
Al fard dalam ayat ini bermaksud wajib dan harus. Ada yang mengatakan ihram. Ada yang mengatakan talbiyah.

Tidak layak bagi seseorang bila melakukan ihram untuk haji, kemudian dia tinggal di suatu tempat. Di dalam ayat ini terkandung makna yang menunjukkan keharusan ihram haji dan melangsungkannya.

"maka janganlah rafas," 

Barang siapa yang memasuki ihram untuk ibadah haji atau umrah, hendaklah dia menjauhi rafas. Rafas bermaksud jima', bersetubuh atau menggauli isteri.

Diharamkan juga melakukan pendorongnya, hal-hal yang menjurus ke arah persetubuhan, atau perbuatan yang menimbulkan berahi seperti berpelukan, berciuman dan sebagainya. Diharamkan juga perkataan sindiran yang jorok atau membicarakan hal-hal yang berbau porno di hadapan kaum wanita.

"dan jangan berbuat fasik," 

Barang siapa yang memasuki ihram untuk ibadah haji atau umrah, janganlah dia berbuat maksiat. Ada yang mengatakan bahawa fusuq bermaksud melakukan sembelihan untuk berhala-berhala, atau atas nama selain Allah. Ada yang mengatakan mencaci maki dan saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk.

Fusuq bermaksud semua jenis perbuatan maksiat (derhaka) terhadap Allah. Sebagaimana Allah melarang perbuatan zalim (aniaya) dalam bulan-bulan haram, sekalipun dalam sepanjang masa perbuatan ini diharamkan, hanya saja dalam bulan-bulan haram lebih keras lagi keharamannya.

Termasuk juga semua perbuatan yang dilarang di dalam ihram, seperti memburu binatang, membunuh binatang buruan, mencukur rambut kepala, memotong kuku dan sebagainya. Akan tetapi, semua yang telah disebutkan adalah harus lebih dijauhi.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang melakukan haji di Baitullah ini, lalu dia tidak rafas dan tidak berbuat fasik, maka seakan-akan dia bersih dari semua dosanya seperti pada hari ketika dia dilahirkan oleh ibunya."

"dan jangan berbantah-bantahan dalam berhaji."

Janganlah kalian berbantah-bantahan di dalam musim haji atau di masa mengerjakan ibadah haji, Iaitu berbantah-bantahan tentang bulan-bulan haji, cara-cara berhaji dan siapa yang lebih benar (sempurna) ibadah hajinya.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjelaskannya dengan keterangan yang sempurna dan merincikannya dengan rincian yang terang. Maka tidak ada bulan yang ditangguhkan dan tidak ada bantahan-bantahan lagi dalam masalah haji.

Ada yang mengatakan bahawa jidal bermaksud bertengkar, mencaci maki, berdebat dan berbantah-bantahan. Iaitu apabila kamu membantah atau mendebat saudaramu hingga kamu buat dia marah kerananya.

Ada yang mengatakan bahawa jidal bermaksud marah, iaitu apabila kamu membuat marah seorang muslim, kecuali jika kamu menegur hamba, lalu kamu membuatnya marah tanpa memukulnya, maka tidak menjadi masalah bagimu, Insha'Allah. Namun, seseorang masih diperbolehkan memukul hambanya. Tetapi meninggalkan perbuatan tersebut adalah lebih utama.

Berbantah-bantahan dilarang di setiap waktu dan tempat, Ia lebih dilarang lagi ketika ibadah haji. Maka janganlah kalian melakukan perbuatan yang buruk, baik melalui ucapan maupun perbuatan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang telah menunaikan hajinya, dan orang-orang muslim selamat dari ulah lisan dan tangannya, nescaya Allah memberikan ampunan baginya atas semua dosanya yang terdahulu."

"Dan apa yang kalian kerjakan dari kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya."

Segala kebaikan yang kalian lakukan, nescaya Allah Maha Mengetahuinya. Allah s.w.t. menganjurkan atau mendorong kalian untuk melakukan kebaikan, khususnya di tempat utama dan dihormati tersebut.

Sepatutnya kalian melakukan segala kebaikan yang mampu dilakukan, baik bentuknya solat, puasa, sedekah, tawaf maupun berbuat ihsan yang berupa perkataan atau perbuatan. Kelak Dia akan memberikan balasan kepada kalian dengan balasan yang berlimpah di hari kiamat nanti.

"Dan berbekallah, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal takwa,"

Ada orang-orang yang berangkat meninggalkan keluarga mereka tanpa membawa bekal. Mereka mengatakan, "Kami akan melakukan ibadah haji, mengapa Allah tidak memberi kami makan?" (iaitu nescaya Allah memberi kami makan). Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Dan berbekallah, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal takwa."

Di dalam riwayat lain diceritakan bahawa orang-orang Yaman melakukan ibadah hajinya tanpa membawa bekal, dan mereka mengatakan, "Kami adalah orang-orang yang bertawakkal." Ketika mereka tiba di Madinah, mereka akhirnya meminta-minta sehingga membebani manusia. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Dan berbekallah, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal takwa."

Ibnu Umar menceritakan bahawa tersebutlah apabila mereka telah memasuki ihram, sedangkan bekal yang mereka bawa masih ada pada mereka, maka mereka membuangnya, lalu mereka mengadakan perbekalan lain yang baru. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Dan berbekallah, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal takwa." (Al Baqarah 2:197)

Mereka dilarang melakukan hal tersebut dan mereka diperintahkan agar membawa perbekalan berupa tepung terigu, sagon, dan roti kering (iaitu makanan yang tahan lama).

Ibnu Amr mengatakan bahawa sesungguhnya termasuk kedermawanan seorang lelaki ialah membawa bekal yang baik dalam perjalanannya. Ibnu Umar pernah memerintahkan kepada orang yang mahu bepergian dengannya agar membawa bekal yang baik.

Ketika diturunkan firmanNya, "Dan berbekallah." (Al Baqarah 2:197) Maka berdirilah seorang lelaki dari kalangan kaum fakir miskin kaum muslim, lalu dia berkata, "Wahai Rasulullah, kami tidak menemukan apa yang boleh dipergunakan buat bekal kami." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Berbekallah untuk mencegah dirimu dari meminta-minta kepada orang lain, dan sebaik-baik apa yang dijadikan bekal bagi kalian ialah takwa."

Berbekallah, baik bekal safar untuk naik haji maupun bekal menuju akhirat. Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa.

Bekal takwa di sini bermaksud bekal yang cukup agar dapat memelihara diri dari meminta-minta selama perjalanan haji atau bekal hakiki yang memberi manfa'at kepada pelakunya di dunia dan akhirat, iaitu takwa dalam erti menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang membuat bekal di dunia, maka bekal ini akan bermanfaat di akhirat."

"dan bertakwalah kepadaKu, wahai orang-orang yang mempunyai akal."

Hindarilah oleh kalian siksaan dan pembalasanKu, wahai orang-orang yang berakal dan berpemahaman. AzabKu bagi orang yang menentangKu dan tidak mahu mengerjakan perintahKu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...