Ahad, 26 Januari 2020

35:19-28 Tafsir Surah Fathir, ayat 19-28.

وَمَا يَسْتَوِي الأعْمَى وَالْبَصِيرُ (١٩) وَلا الظُّلُمَاتُ وَلا النُّورُ (٢٠) وَلا الظِّلُّ وَلا الْحَرُورُ (٢١) وَمَا يَسْتَوِي الأحْيَاءُ وَلا الأمْوَاتُ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَنْ يَشَاءُ وَمَا أَنْتَ بِمُسْمِعٍ مَنْ فِي الْقُبُورِ (٢٢) إِنْ أَنْتَ إِلا نَذِيرٌ (٢٣) إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَإِنْ مِنْ أُمَّةٍ إِلا خَلا فِيهَا نَذِيرٌ (٢٤) وَإِنْ يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالْكِتَابِ الْمُنِيرِ (٢٥) ثُمَّ أَخَذْتُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ (٢٦) أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ (٢٧) وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالأنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"19. Dan tidak sama orang yang buta dan orang yang melihat." 

Tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat. Ada yang menafsirkan, tidak sama antara orang mukmin dengan orang kafir.

"20. Dan tidak yang gelap dengan terang." 

Tidak sama juga gelap gulita dengan cahaya. Ada yang menafsirkan, tidak sama kekafiran dengan keimanan.

"21. Dan tidak yang teduh dengan yang panas." 

Tidak sama juga yang teduh dengan yang panas. Ada yang menafsirkan, tidak sama antara syurga dengan neraka. Oleh kerana yang disebutkan itu tidak sama dan semua manusia mengakuinya, maka tidak sama juga hal yang bertentangan secara maknawi.

Tidaklah sama sesuatu yang berlawanan menurut kebijaksanaan Allah dan menurut apa yang Dia tanamkan ke dalam hati hamba-hambaNya berupa fitrah yang selamat.

"22. Dan tidak sama orang yang hidup dengan yang mati."

Tidak sama juga orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Orang-orang yang hidup adalah orang mukmin, sedangkan orang-orang yang mati adalah orang kafir.

Orang mukmin adalah orang yang dapat melihat dan mendengar, dia berjalan di bawah cahaya di atas siratal mustaqim (jalan yang lurus) di dunia dan akhirat sehingga sampailah dia dengan selamat dan menetap di taman-taman syurga yang mempunyai naungan dan mata air.

Orang kafir adalah orang yang buta lagi tuli, berada di dalam kegelapan dia berjalan tanpa boleh keluar darinya, bahkan dia tenggelam di dalam kesesatannya di dunia dan di akhirat sehingga menjerumuskannya ke dalam siksaan yang panas, angin yang panas membakar, air yang panas mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk serta tidak menyenangkan.

"Sesungguhnya Allah menjadikan mendengar siapa yang Dia kehendaki."

Sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang Dia kehendaki. Iaitu Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki dengan memberi kesanggupan untuk mendengarkan hujah, mahu menerima keterangan-keterangan yang disampaikan dan tergerak taat untuk mengikutinya.

Orang yang mendapatkan petunjuk dengan orang yang tersesat, orang yang berilmu dengan orang yang bodoh, penghuni syurga dengan penghuni neraka, orang yang hidup hatinya dengan orang yang mati hatinya, antara keduanya jelas terdapat perbedaan.

Apabila kita telah mengetahui perbedaan antara keduanya, dan bahawa yang satu lebih baik daripada yang lain, maka hendaknya kita mengutamakan yang lebih baik.

"Dan tidaklah kamu menjadikan mendengar siapa yang berada dalam kubur." 

Kamu tidak sekali-kali akan sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar. Iaitu Nabi Muhammad s.a.w. tidak dapat memberi petunjuk kepada orang-orang musyrik yang telah mati hatinya, sebagaimana panggilan seseorang kepada penghuni kubur tidak ada faedahnya.

Begitu juga seruan yang ditujukan kepada orang yang berpaling lagi membangkang, akan tetapi kewajibanmu hanyalah memberi peringatan dan menyampaikan, baik mereka menerima atau tidak sebagaimana diterangkan dalam lanjutan ayatnya.

"23. Tidaklah kamu kecuali pemberi peringatan." 

Kamu tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan. Tugasmu hanyalah menyampaikan risalah dan memberi peringatan kepada manusia, sedangkan Allahlah yang menyesatkan siapa yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya.

"24. Sungguh Kami mengutus kamu dengan hak, pembawa khabar gembira, dan pemberi peringatan."

Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran, iaitu dengan membawa petunjuk kerana manusia memerlukannya, dan lagi ketika itu belum ada rasul, pengetahuan agama hilang dan manusia sangat perlu sekali kepada petunjuk.

Maka Allah mengutus NabiNya Muhammad s.a.w. sebagai rahmat kepada alam semesta. Allah mengutus Beliau dengan membawa agama yang lurus dan jalan yang lurus, ia merupakan kebenaran dan Allah menurunkan kepada Beliau Al Qur’an juga sebagai kebenaran.

Kamu sebagai pembawa berita gembira kepada orang yang mahu memenuhi seruan (beriman) dengan pahala segera atau ditunda. Kamu sebagai pemberi peringatan kepada orang-orang yang tidak mahu memenuhi seruan (kafir) dengan azab Allah segera atau ditunda.

"Dan tidaklah dari satu umat kecuali telah lewat di dalamnya pemberi peringatan." 

Tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya atau telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan. Iaitu orang-orang atau nabi-nabi yang memberi peringatan untuk menegakkan hujjah, menyingkapkan hakikat kebenaran kepada mereka dan melenyapkan semua penyakit kekafiran. Oleh kerana itu, Beliau bukanlah seorang rasul yang baru.

"25. Dan jika mereka mendustakan kamu, maka sungguh telah mendustakan orang-orang yang sebelum mereka."

Jika mereka mendustakanmu wahai rasul, maka engkau bukanlah rasul pertama yang didustakan. Maka sungguh, orang-orang yang sebelum mereka pun telah mendustakan rasul-rasul.

"Datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan, dan dengan Zubur dan dengan kitab-kitab yang terang." 

Ketika rasul-rasul mereka datang dengan membawa keterangan yang nyata, iaitu mukjizat-mukjizat yang menakjubkan dan dalil-dalil yang pasti, dan dengan Zubur, iaitu lembaran-lembaran yang berisi wahyu yang diberikan kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. yang isinya mengandung hukum dan hikmah, dan dengan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna, iaitu yang bersinar beritanya dan adil hukumnya seperti Taurat dan Injil.

Walaupun demikian mereka tetap mendustakan rasul-rasulnya terhadap apa yang disampaikan oleh mereka. Demikian itu bukanlah kerana ketidakjelasan atau kerana kurang pada apa yang dibawa rasul, bahkan disebabkan kezaliman dan pembangkangan mereka.

"26. Kemudian Aku azab orang-orang yang kafir, maka bagaimana ada kemurkaanKu." 

Kerana itu Aku azab orang-orang yang kafir dengan berbagai hukuman sebagai pembalasan dariKu. Maka lihatlah bagaimana hebat lagi kerasnya akibat kemurkaanKu, iaitu akibat pengingkaranKu kepada mereka dengan menghukum dan membinasakan mereka.

Oleh kerana itu, janganlah kalian mendustakan rasul yang mulia ini (Nabi Muhammad s.a.w.), sehingga nantinya kalian akan ditimpa seperti yang menimpa mereka, berupa azab yang pedih dan mendapat kehinaan.

Allah s.w.t. menyebutkan tentang kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya yang sempurna melalui segala sesuatu yang diciptakanNya yang beraneka ragam bentuk dan rupanya, padahal mereka diciptakan dari air yang sama yang diturunkanNya dari langit.

"27. Tidaklah kamu melihat bahawa Allah menurunkan dari langit air, lalu Kami keluarkan dengannya buah-buahan bermacam-macam warnanya."

Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami hasilkan dengan hujan itu tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang beraneka ragam jenis dan warnanya, kuning, merah, hijau, putih dan warna-warna lainnya, dan bermacam-macam juga rasa dan baunya.

"Dan dari gunung-gunung garis-garis putih, dan merah bermacam-macam warnanya, dan pekat hitam." 

Dia menciptakan gunung-gunung sebagai pasak di bumi itu yang beraneka ragam warnanya, bahkan satu gunung saja ada beberapa warna pada jalannya; ada yang berwarna putih, ada yang berwarna merah, dan ada juga yang hitam pekat.

"28. Dan di antara manusia, dan binatang melata dan binatang ternak bermacam-macam warnanya demikianlah."

Begitu juga makhluk hidup, iaitu manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak, pada mereka juga terdapat keanekaragaman warna, sifat, suara, rupa dan jenisnya, padahal semuanya dari asal dan bahan yang satu. Mahasuci Allah sebaik-baik Yang Menciptakan.

Perbedaan itu merupakan dalil ‘aqli (akal) yang menunjukkan kepada kehendak Allah s.w.t. yang mengkhususkan masing-masingnya dengan warna tertentu dan sifat tertentu. Begitu juga menunjukkan qudrat (kekuasaan) Allah s.w.t. yang mengadakan hal itu, dan menunjukkan hikmah dan rahmatNya.

Di mana adanya perbedaan itu terdapat berbagai maslahat dan manfaat, dapat mengenal jalan dan mengenal antara yang satu dengan yang lain, berbeda jika sama tentu sulit dikenali. Yang demikian juga menunjukkan luasnya ilmu Allah s.w.t., dan bahawa Dia akan membangkitkan manusia yang berada dalam kubur.

Akan tetapi orang yang lalai melihat hal itu dengan pandangan yang lalai, tidak membuatnya sedar.

"Sungguh hanyalah takut kepada Allah dari hamba-hambaNya, para ulama."

Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya, hanyalah para ulama. Oleh kerana itu, orang yang lebih mengenal Allah, maka akan bertambah rasa takutnya, di mana hal itu akan membuatnya menahan diri dari maksiat dan mempersiapkan diri untuk bertemu dengan Zat yang dia takuti.

Ayat ini menunjukkan keutamaan ilmu, kerana ilmu menambah seseorang takut kepada Allah, dan orang-orang yang takut kepada Allah itulah orang-orang yang mendapatkan keistimewaan dariNya. Hanya orang-orang yang takut kepada Allahlah yang dapat mengambil manfaat darinya, dan dengan fikirannya yang lurus dapat membuatnya mengetahui hikmahnya.

"Sesungguhnya Allah Mahaperkasa Maha Pengampun." 

Sesungguhnya Allah Mahaperkasa, iaitu Mahasempuna keperkasaanNya, di mana dengan keperkasaanNya Dia menciptakan makhluk yang beraneka macam itu. Dia Maha Pengampun dosa-dosa hamba-hambaNya yang bertaubat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...