Ahad, 26 Januari 2020

38:12-16 Tafsir Surah Sad, ayat 12-16.

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَفِرْعَوْنُ ذُو الأوْتَادِ (١٢) وَثَمُودُ وَقَوْمُ لُوطٍ وَأَصْحَابُ الأيْكَةِ أُولَئِكَ الأحْزَابُ (١٣) إِنْ كُلٌّ إِلا كَذَّبَ الرُّسُلَ فَحَقَّ عِقَابِ (١٤) وَمَا يَنْظُرُ هَؤُلاءِ إِلا صَيْحَةً وَاحِدَةً مَا لَهَا مِنْ فَوَاقٍ (١٥) وَقَالُوا رَبَّنَا عَجِّلْ لَنَا قِطَّنَا قَبْلَ يَوْمِ الْحِسَابِ (١٦)

Allah s.w.t. berfirman menakut-nakuti mereka (orang-orang kafir) terhadap tindakanNya kepada umat-umat sebelum mereka yang mendustakan,

"12. Telah mendustakan sebelum mereka kaum Nuh dan kaum 'Ad dan Fir'aun yang mempunyai bala tentera."

Sebelum mereka itu, kaum Nuh, 'Ad dan Fir'aun yang mempunyai tentera yang banyak juga telah mendustakan (rasul-rasul). Mereka lebih besar kekuatannya daripada kalian (orang-orang Quraisy).

"13. Dan Samud dan kaum Lut dan penduduk Aikah."

Begitu juga kaum Samud, kaum Lut dan penduduk Aikah. Penduduk Aikah bermaksud penduduk Madyan Iaitu kaum Syu'aib a.s.

"Mereka itu golongan berserikat."

Mereka itulah golongan-golongan yang bersekutu menentang para rasul. Mereka lebih banyak bilangannya daripada kalian (orang-orang Quraisy) dan lebih kuat serta lebih banyak harta dan anak-anaknya. Namun usaha mereka sia-sia. Semua itu tidak dapat menolak (menyelamatkan) mereka dari azab Allah barang sedikit pun, ketika datang kepada mereka azab Allah.

"14. Tidaklah semua itu kecuali mendustakan para Rasul, maka pastilah hukumanKu." 

Penyebab yang membinasakan mereka semua tidak lain hanyalah mendustakan para rasul. Disebut mendustakan para rasul kerana mendustakan seorang rasul sama saja mendustakan semua rasul, di mana dakwah mereka sama, iaitu tauhid.

Maka pastilah dan patutlah bagi mereka merasakan azab, pembalasan dan siksaanKu. Kerana itu hendaklah waspada orang-orang yang mendustakan Nabi Muhammad s.a.w., janganlah mereka berbuat hal yang serupa.

"15. Dan tidaklah menunggu mereka itu, kecuali suara keras satu kali tidak ada baginya dari sela." 

Sebenarnya orang-orang kafir itu hanyalah menunggu satu teriakan saja, yang tidak ada baginya sela atau saat berselang. Tiada masa tangguh bagi mereka melainkan saat (detik-detik) datangnya kiamat menimpa mereka dengan sekonyong-konyong, kerana sesungguhnya semua pertandanya telah ada. Hari kiamat itu telah dekat masanya.

Satu teriakan itu adalah tiupan yang mengejutkan, Allah s.w.t. memerintahkan kepada Malaikat Israfil agar memperpanjang tiupan yang pertama ini, sehingga tiada seorang pun dari kalangan penduduk langit dan bumi, melainkan terkejut terkecuali orang-orang yang dikecualikan oleh Allah.

Hal ini menunjukkan tibanya hari Kiamat, dan teriakan ini sangat keras dan cepat yang tidak memungkinkan mereka kembali dan menolaknya. Suara keras tersebut terlalu keras sehingga membinasakan dan menghabiskan mereka yang hidup ketika itu.

"16. Dan mereka berkata, "Tuhan kami, segerakanlah untuk kami bahagian kami sebelum hari perhitungan.""

Orang-orang yang mendustakan itu berkata, "Ya Tuhan kami, cepatkanlah untuk kami azab yang diperuntukkan bagi kami sebelum hari berhisab.” Qittun bermaksud ketetapan. Ada yang mengatakan bahagian.

Kaum musyrik meminta disegerakan azab kerana kebodohan mereka dan penolakan mereka kepada yang hak. Hal ini merupakan ungkapan rasa tidak percaya mereka tehadap azab yang dijanjikan oleh Allah buat mereka.

Ada yang mengatakan, bahawa mereka mengucapkan kata-kata ini sebagai olok-olokkan. Hal ini melebihi sikap mendustakan. Mereka mendesak sekali meminta disegerakan azab dan menganggap bahawa jika memang Nabi Muhammad s.a.w. itu benar, maka bukti kebenarannya adalah dengan mendatangkan azab yang diperuntukkan bagi mereka.

Menurut pendapat lain, mereka meminta agar bahagian dari syurga disegerakan buat mereka, jika syurga itu memang ada, agar mereka dapat merasakannya di dunia. Sesungguhnya hal ini diungkapkan oleh mereka hanyalah sebagai reaksi dari ketidakpercayaan mereka terhadapnya, dan bahawa itu mustahil terjadi.

Ada yang mengatakan bahawa mereka meminta agar kebaikan atau keburukan yang berhak mereka terima disegerakan di dunia ini. Hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...