Khamis, 13 Februari 2020

38:17-20 Tafsir Surah Sad, ayat 17-20.

اصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَاذْكُرْ عَبْدَنَا دَاوُدَ ذَا الأيْدِ إِنَّهُ أَوَّابٌ (١٧) إِنَّا سَخَّرْنَا الْجِبَالَ مَعَهُ يُسَبِّحْنَ بِالْعَشِيِّ وَالإشْرَاقِ (١٨ )وَالطَّيْرَ مَحْشُورَةً كُلٌّ لَهُ أَوَّابٌ (١٩) وَشَدَدْنَا مُلْكَهُ وَآتَيْنَاهُ الْحِكْمَةَ وَفَصْلَ الْخِطَابِ (٢٠)

Allah s.w.t. memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"17. Bersabarlah atas apa yang mereka katakan" 

Bersabarlah atas apa yang dikatakan oleh kaummu sebagaimana para rasul sebelummu bersabar. Dengan kesabaran, kamu akan mendapat kesudahan yang baik, pertolongan dari Allah, dan kemenangan. Ucapan mereka tidaklah merugikan kebenaran sedikit pun dan mereka tidak merugikanmu sedikit pun, yang mereka rugikan adalah diri mereka sendiri.

Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan Beliau s.a.w. untuk meminta bantuan agar dapat bersabar dengan beribadah kepada Allah s.w.t. saja dan mengingat keadaan orang-orang yang ahli ibadah. Di antara ahli ibadah yang mulia adalah Daud a.s.

"dan ingatlah hamba Kami Daud mempunyai kekuatan."

Ingatlah hamba Kami Daud yang telah dianugerahi kekuatan, iaitu kuat dalam beribadah baik dengan anggota badannya maupun dengan hatinya. Al aid bermaksud kekuatan. Ada yang mengatakan kekuatan dalam ketaatan. Ada yang mengatakan kekuatan dalam masalah ilmu dan amal.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat yang paling disukai Allah ialah solatnya Daud, dan puasa yang paling disukai Allah adalah puasanya Daud. Dia tidur sampai tengah malam, lalu bangun sepertiganya (mengerjakan solat), dan tidur seperenamnya. Dan dia puasa sehari dan buka sehari, dia tidak pernah lari bila bersua dengan musuh (dalam peperangan) dan dia adalah seorang yang amat taat kepada Allah."

"Sungguh dia orang yang taat." 

Sesungguhnya dia sangat taat kepada Allah. Awwab bermaksud sentiasa taat kepada Allah dalam semua urusan dan perkaranya. Awwab juga bermaksud banyak kembali kepada Allah dalam segala urusan, iaitu dengan kembali kepadaNya, mencintaiNya, beribadah kepadaNya, takut dan berharap kepadaNya, banyak bertadharru’ dan berdoa.

Juga kembali kepadaNya ketika tergelincir, iaitu dengan berhenti melakukan dosa tersebut dan bertaubat dengan taubat nasuha (yang murni).

"18. Sungguh, Kami tundukkan gunung-gunung bersamanya mereka bertasbih pada waktu petang dan pagi." 

Sungguh, Kamilah yang menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama Daud pada waktu petang dan pagi. Iaitu Allah s.w.t. menundukkan gunung-gunung bagi Daud a.s. di saat matahari terbit dan di penghujung siang hari.

"19. Dan burung keadaan berkumpul," 

Kami tundukkan juga burung-burung dalam keadaan terkumpul, iaitu tertahan di udara.

"masing-masing kepadaNya kembali." 

Masing-masingnya, baik gunung-gunung maupun burung-burung sangat taat kepada Allah. Apa yang Allah sebutkan di atas merupakan nikmat Allah s.w.t. kepada Nabi Daud a.s. untuk beribadah kepadaNya. Selanjutnya, Allah s.w.t. menyebutkan nikmatNya kepadanya berupa kerajaan yang besar.

"20. Dan Kami kuatkan kerajaannya" 

Kami kuatkan kerajaannya, iaitu Kami kuatkan dia dengan pemberian dari Kami berupa sebab-sebab untuk menguatkannya, banyaknya jumlah dan perlengkapan yang dengannya Allah s.w.t. kuatkan kerajaanNya. Selanjutnya, Allah s.w.t. menyebutkan nikmatNya kepadanya dengan ilmu.

"dan Kami berikan kepadanya hikmah" 

Kami berikan hikmah kepadanya, iaitu kenabian, kesempurnaan ilmu, dan tepatnya dalam bertindak dan berbuat.

"dan memutus perkara." 

Kami juga memberikannya kebijaksanaan dalam memutuskan perkara di antara manusia. Beliau sudah terkenal dengan kebijaksanaannya dalam memberikan keputusan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...