Rabu, 12 Februari 2020

35:29-35 Tafsir Surah Fathir, ayat 29-35.

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ (٢٩) لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّهُ غَفُورٌ شَكُورٌ (٣٠) وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ   (٣١) ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (٣٢) جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ (٣٣) وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنَّا الْحَزَنَ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌ شَكُورٌ (٣٤) الَّذِي أَحَلَّنَا دَارَ الْمُقَامَةِ مِنْ فَضْلِهِ لا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ (٣٥)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang hamba-hambaNya yang beriman,

"29. Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah" 

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah, iaitu yang mengikuti perintah-perintahnya dan menjauhi larangan-larangannya, membenarkan beritanya dan meyakininya, tidak mendahulukan ucapan apa pun di atasnya, dan membaca lafaz-lafaznya serta mempelajarinya, mempelajari maknanya dan menggali isinya. Inilah erti tilawah, iaitu mengikuti dan membaca.

"dan mereka mendirikan solat" 

Mereka juga mendirikan solat. Solat adalah tiang agama, cahaya kaum muslim, timbangan keimanan dan tanda benarnya keislamannya.

"dan mereka menginfakkan dari apa yang Kami beri rezeki mereka sembunyi-sembunyi dan terang-terangan," 

Mereka juga menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, baik kepada kerabat, orang-orang miskin, anak yatim dan lainnya, dan termasuk juga zakat, kaffarat, nadzar dan sedekah, dengan diam-diam dan terang-terangan, iaitu dalam setiap waktu.

"mereka mengharapkan perdagangan tidak akan merugi." 

Mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi. Ia adalah perdagangan yang paling tinggi dan paling utama keuntungannya, iaitu mendapat keridhaan Allah, mendapat pahalaNya yang banyak (syurga) dan selamat dari kemurkaan dan siksaNya (neraka). Demikian itu kerana mereka ikhlas dalam melakukan amal itu, tidak ada maksud atau niat yang buruk sama sekali.

"30. Kerana Dia akan mencakupkan mereka pahala mereka dan menambah mereka dari kurniaNya." 

Mereka akan mendapat apa yang mereka harapkan. Allah akan menyempurnakan kepada mereka pahala mereka sesuai banyak atau sedikitnya amal itu dan menambah kepada mereka kurniaNya, iaitu melipatgandakannya dengan tambahan-tambahan yang belum pernah terdetik dalam kalbu mereka.

"Sesungguhnya Dia Maha Pengampun Maha Mensyukuri."

Allah Maha Pengampun terhadap dosa-dosa mereka. Dia Maha Mensyukuri, iaitu menerima kebaikan mereka walaupun sedikit. Dia tetap akan membalas amal perbuatan mereka betapapun kecilnya amal perbuatan mereka.

"31. Dari apa yang Kami wahyu kepadamu dari Al Kitab ia benar, membenarkan terhadap apa yang sebelumnya."

Al Qur’an yang telah Kami wahyukan kepadamu itu adalah kebenaran, kerana kandungannya benar sehingga seakan-akan kebenaran terbatas hanya di dalamnya. Apa yang ditunjukkannya seperti tentang masalah ketuhanan, masalah ghaib dan lainnya adalah benar dan sesuai kenyataan, sehingga tidak boleh mengertikan yang berbeda dengan zahirnya atau berbeda dengan yang ditunjukkan olehnya.

Al Qur’an membenarkan kitab-kitab dan rasul-rasul sebelumnya, kerana kitab-kitab dan rasul-rasul sebelumnya memberitakan tentang kedatangan kitab Al Qur’an itu dan kedatangan rasul yang membawanya.

Al Qur'an juga menyaksikan bahawa kitab-kitab terdahulu itu telah terjadi perubahan dan pemalsuan dalam isinya, dan kitab-kitab terdahulu itu benar diturunkan dari Tuhan semesta alam.

Seseorang tidak boleh dikatakan beriman kepada kitab-kitab sebelumnya jika dia tidak beriman kepada Al Qur’an ini, kerana dengan kafir kepadanya maka berarti kafir kepada semua kitab yang diturunkan sebelumnya.

"Sesungguhnya Allah kepada Hamba-hambaNya benar-benar Maha Mengetahui Maha Melihat."

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hambaNya. Allah Mahawaspada terhadap mereka, lagi Maha Mengetahui siapa di antara mereka yang berhak mendapat keutamaan yang lebih daripada yang lainnya.

Kerana  itulah Allah melebihkan para nabi dan para rasul di atas semua manusia; sebahagian dari para nabi pun mempunyai kelebihan di atas sebahagian yang lain, dan Allah meninggikan sebahagian dari mereka beberapa darjat. Dan Allah menjadikan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. di atas mereka semuanya.

Allah s.w.t. memberikan kepada setiap umat dan setiap orang pemberian yang sesuai dengan keadaannya. Contohnya adalah, bahawa syariat-syariat sebelumnya tidaklah sesuai kecuali pada zaman itu, dan pada zaman sekarang kerana rasul terakhir yang tidak ada lagi rasul setelahnya adalah Nabi Muhammad s.a.w.

Maka syariat yang sesuai untuk zaman sekarang dan seterusnya sampai hari Kiamat adalah syariat yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana itu, ketika Isa a.s. nanti turun menjelang hari Kiamat, maka Beliau mengikuti syariat Nabi Muhammad s.a.w. Syariat Nabi Muhammad itulah syariat yang sesuai untuk saat ini dan seterusnya, sesuai di setiap umat dan setiap tempat dan menjamin kebaikan di setiap waktu.

Oleh kerananya, umat ini adalah umat yang paling sempurna akalnya, paling baik fikirannya, paling halus hatinya dan paling bersih jiwanya. Allah s.w.t. telah memilih mereka dan memilih agama Islam untuk mereka serta mewariskan kepada mereka kitabNya sebagaimana diterangkan dalam ayat selanjutnya.

"32. Kemudian Kami wariskan kitab orang-orang yang Kami pilih dari hamba-hamba Kami."

Kami jadikan orang-orang yang mengamalkan kitab yang besar yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya adalah orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian mereka terbahagi menjadi tiga golongan,

"Maka di antara mereka zalim pada dirinya sendiri" 

Di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri. Mereka meremehkan dalam mengamalkannya, atau lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya, atau melakukan maksiat namun di bawah kufur.

"dan di antara mereka pertengahan."

Di antara mereka ada yang pertengahan. Mereka mengamalkannya pada sebahagian besar waktunya, atau orang yang kebaikannya berbanding dengan kesalahannya, atau membatasi dirinya dengan yang wajib dan meninggalkan yang haram.

"dan di antara mereka lebih mendahulu dengan berbuat kebaikan dengan izin Allah."

Di antara mereka ada yang lebih cepat berbuat kebaikan dengan izin Allah. Mereka adalah orang-orang yang kebaikannya sangat banyak dan jarang berbuat kesalahan. Ada yang berpendapat, orang-orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan adalah orang yang menggabung ilmunya dengan mengajarkan dan mengamalkannya.

Ada juga yang berpendapat, bahawa maksudnya adalah orang yang bersegera dan bersungguh-sungguh sehingga dia mendahului yang lain, dia mengerjakan yang wajib dan menambah dengan yang sunat, serta meninggalkan yang haram dan yang makruh.

Walaupun demikian, semuanya dipilih oleh Allah s.w.t. walaupun tingkatan mereka berbeda-beda, masing-masingnya mendapat warisan kitabNya itu (Al Qur’an) bahkan orang yang menzalimi dirinya sekali pun.

Adapun maksud mewarisi kitabNya adalah mewarisi ilmunya dan pengamalannya, mempelajari lafaznya dan menggali maknanya.

Kata-kata “dengan izin Allah” ini kembali kepada orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan agar ia tidak tertipu dengan amalnya, kerana dia tidaklah sampai seperti itu kecuali dengan taufik dari Allah s.w.t. dan pertolonganNya, sehingga sepatutnya dia menyibukkan dirinya untuk bersyukur kepada Allah s.w.t. atas nikmatNya itu.

"Yang demikian itu dia kurnia yang besar."

Iaitu mewarisi kitabNya yang agung itu merupakan kurnia yang besar, di mana semua nikmat jika dibandingkan dengannya menjadi tidak ada apa-apanya. Sehingga nikmat yang paling besar secara mutlak adalah mewarisi kitab Al Qur’an ini.

Selanjutnya Allah s.w.t. menyebutkan balasanNya kepada orang-orang yang telah diwariskanNya kitab kepada mereka pada hari kiamat kelak.

"33. Syurga 'Adn mereka akan masuk ke dalamnya" 

Bagi mereka syurga 'Adn, syurga penuh dengan pohon-pohon, tempat berteduh, kebun-kebun yang indah, sungai yang memancar, istana-istana yang tinggi, tempat-tempat yang mewah dalam waktu yang kekal selama-lamanya.

Adapun ‘Adn ertinya adalah tempat tinggal. Sehingga syurga ‘Adn adalah syurga yang menjadi tempat tinggal yang kekal. Mereka akan memasukinya di hari mereka dibangkitkan dan pada hari mereka tiba di hadapan Allah s.w.t.

"mereka diberi perhiasan di dalamnya berupa gelang-gelang dari emas dan mutiara" 

Di dalamnya mereka diberi perhiasan gelang-gelang dari emas dan mutiara baik lelaki maupun wanita. Mereka diberi gelang emas, dan diberikan mutiara yang dirangkaikan di pakaian dan badan mereka.

"dan pakaian mereka di dalamnya sutera. "

Pakaian mereka di dalamnya adalah sutera, baik sutera nipis maupun sutera tebal.

"34. Dan mereka berkata, "Segala puji bagi Allah yang menghilangkan dari kami kesedihan.""

Setelah sempurna kenikmatan dan kesenangan mereka, mereka berkata, "Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita dari kami." Iaitu hal-hal yang menakutkan. Allah telah melenyapkannya dari kami dan menyelamatkan kami dari apa yang kami takutkan dan kami hindari, iaitu kesusahan-kesusahan di dunia dan di akhirat.

Mereka tidak akan sedih kerana apa pun seperti halnya di dunia, di mana mereka bersedih kerana kurangnya keelokan mereka, kurangnya makanan dan minuman mereka, kurangnya kesenangan dan kurangnya penghidupan mereka. Mereka mendapat kesenangan yang bertambah-tambah.

"Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun Maha Mensyukuri."

Allah Maha Pengampun, Dia mengampuni ketergelinciran kami. Dengan ampunanNya kami selamat dari segala yang tidak diinginkan dan yang ditakuti. Dia Maha Mensyukuri kerana Dia menerima kebaikan kami dan melipatgandakan, dan memberikan kepada kami kurniaNya melebihi amal yang kami lakukan dan melebihi yang kami cita-citakan. Dengan syukurNya dan kurniaNya kami mendapat segala yang diinginkan dan dicintai.

"35. Dia yang menempatkan kami rumah yang kekal kurniaNya."

Dialah yang telah menempatkan kami kedudukan dan tempat tinggal di syurga ini sebagai kurnia dan rahmat dariNya, walaupun amal-amal kami tidak sebanding dengan kurnia ini. Syurga ini tempat tinggal yang kekal, tempat tinggal yang memang sangat diharapkan kerana banyak kebaikannya, berturut-turutnya kesenangannya dan hilang kekeruhannya.

"Kami tidak tersentuh di dalamnya lelah dan kami tidak tersentuh di dalamnya letih." 

Di dalamnya kami tiada merasa lelah dan tiada juga merasa lesu. Tidak ada lagi beban atau kewajiban agama. Di syurga tidak ada lagi kelelahan baik bagi badan dalam menikmati kesenangannya yang begitu banyak maupun bagi hati.

Ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t. menjadikan badan mereka sempurna, sehingga mereka tidak merasakan kelelahan maupun kelesuan, di samping tidak merasakan kesedihan dan kegundahan.

Ini juga menunjukkan, bahawa mereka tidak tidur di syurga, kerana tidur merupakan kematian kecil, sedangkan penghuni syurga tidak akan mati, mudah-mudahan Allah s.w.t. menjadikan kita semua sebagai penguninya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...