Khamis, 13 Februari 2020

41:37-39 Tafsir Surah Fussilat, ayat 37-39.

وَمِنْ آيَاتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (٣٧) فَإِنِ اسْتَكْبَرُوا فَالَّذِينَ عِنْدَ رَبِّكَ يُسَبِّحُونَ لَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَهُمْ لا يَسْأَمُونَ (٣٨) وَمِنْ آيَاتِهِ أَنَّكَ تَرَى الأرْضَ خَاشِعَةً فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ إِنَّ الَّذِي أَحْيَاهَا لَمُحْيِي الْمَوْتَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٣٩)

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan kepada makhlukNya,

"37. Dan di antara ayat-ayatNya, malam, dan siang, dan matahari, dan bulan."

Sebahagian dari tanda-tanda yang menunjukkan besar dan sempurnanya kekuasaan Allah, tiada tandingannya, berlakunya kehendakNya, luasnya kekuasaanNya dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya, dan bahawa Dia Maha Esa tidak ada sekutu bagiNya adalah malam, siang, matahari dan bulan.

Dia menciptakan malam dengan kegelapannya supaya manusia dapat beristirahat dengan tenang. Dia menciptakan siang dengan cahayanya yang terang supaya manusia dapat beraktiviti. Malam dan siang silih berganti tiada henti-hentinya.

Dia telah menciptakan matahari dengan cahayanya yang terang dan bulan dengan sinarnya. Kehidupan manusia, badan mereka dan badan haiwan ternak mereka tidak akan baik kecuali dengan keduanya, dan banyak maslahat yang dihasilkan dari keduanya.

DitetapkanNya manzilah-manzilahnya di garis edarnya masing-masing; dan perbedaan perjalanannya di langit untuk dapat diketahui kadar lamanya siang dan malam hari, juga minggu, bulan, dan tahun. Seiring dengan perjalanan tersebut, maka dapat dijelaskanlah pemecahan hak-hak, saatnya waktu-waktu untuk ibadah dan bermuamalat.

Oleh kerana matahari dan bulan merupakan dua benda langit yang kelihatan jelas dari bumi, maka Allah mengingatkan kepada manusia,

"Janganlah kalian bersujud kepada matahari dan jangan kepada bulan," 

Janganlah bersujud kepada matahari dan janganlah juga kepada bulan kerana keduanya diatur dan sebagai makhluk. Keduanya adalah hamba Allah juga yang berada di bawah pengaturan dan kekuasaanNya.

"dan bersujudlah kepada Allah, Dia Yang menciptakan mereka," 

Tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakan keduanya dan Dia Maha Agung. Tinggalkanlah menyembah kepada selainNya betapa pun besar makhluk itu dan betapa pun banyak maslahat yang dihasilkannya, kerana semua itu bukan darinya akan tetapi dari Penciptanya yang mengadakan demikian, iaitu Allah Tabaaraka wa Ta'aala.

"jika kalian kepadaNya menyembah."

Jika kalian menyembah hanya kepadaNya saja. Beribadahlah hanya kepadaNya dan ikhlaskanlah dalam menjalankannya. Janganlah kalian mempersekutukanNya, kerana tiada manfaatnya bagi kalian bila kalian menyembahNya disertai dengan menyembah selainNya. Sesungguhnya Dia tidak mengampuni bila dipersekutukan.

"38. Maka jika mereka menyombongkan diri," 

Jika mereka menyombongkan diri, iaitu tidak mahu beribadah, tunduk dan mengesakan Allah dalam ibadah, maka sesungguhnya mereka tidak akan merugikan Allah sedikit pun, kerana Allah tidak perlu kepada mereka. Dia mempunyai hamba-hamba yang mulia yang tidak menderhakai perintahNya lagi melakukan apa yang diperintahkan, iaitu para malaikat.

"maka mereka yang di sisi Tuhanmu mereka bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan siang, dan mereka tidak pernah jemu."

Para malaikat yang di sisi Tuhanmu, iaitu malaikat yang didekatkan, mereka bertasbih kepadaNya di malam dan siang hari. Ada yang menafsirkan bertasbih dengan melakukan solat. Atau boleh juga maksudnya, bahawa mereka tidak pernah bosan beribadah kepadaNya kerana kuatnya mereka dan kerana kuatnya pendorong dalam diri mereka untuk melakukan ibadah.

"39. Dan di antara ayat-ayatNya" 

Sebahagian dari tanda-tanda yang menunjukkan akan kekuasaanNya yang mampu menghidupkan orang-orang yang telah mati.

"bahawasanya kamu melihat bumi tandus, maka apabila Kami turunkan kepadanya air, ia bergerak dan subur."

Kamu melihat bumi itu tidak ada tumbuhan, kering dan tandus, maka apabila Kami turunkan air hujan di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur, iaitu menumbuhkan berbagai jenis tumbuhan.

"Sesungguhnya Dia Yang menghidupkannya tentu dapat menghidupkan manusia yang telah mati." 

Sesungguhnya Tuhan Yang menghidupkannya setelah mati dan keringnya bumi itu, tentu dapat menghidupkan yang mati.

"Sesungguhnya Dia atas segala sesuatu Mahakuasa."

Sesungguhnya Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Oleh kerana tidak sukar bagiNya menghidupkan tanah setelah matinya, maka tidak sukar juga bagiNya menghidupkan orang-orang yang mati.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...