Jumaat, 28 Februari 2020

44:40-50 Tafsir Surah Ad Dukhan, ayat 40-50.

إِنَّ يَوْمَ الْفَصْلِ مِيقَاتُهُمْ أَجْمَعِينَ (٤٠) يَوْمَ لا يُغْنِي مَوْلًى عَنْ مَوْلًى شَيْئًا وَلا هُمْ يُنْصَرُونَ (٤١) إِلا مَنْ رَحِمَ اللَّهُ إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (٤٢) إِنَّ شَجَرَةَ الزَّقُّومِ (٤٣) طَعَامُ الأثِيمِ (٤٤) كَالْمُهْلِ يَغْلِي فِي الْبُطُونِ (٤٥) كَغَلْيِ الْحَمِيمِ (٤٦) خُذُوهُ فَاعْتِلُوهُ إِلَى سَوَاءِ الْجَحِيمِ (٤٧) ثُمَّ صُبُّوا فَوْقَ رَأْسِهِ مِنْ عَذَابِ الْحَمِيمِ (٤٨) ذُقْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ (٤٩) إِنَّ هَذَا مَا كُنْتُمْ بِهِ تَمْتَرُونَ (٥٠)

Allah s.w.t. berfirman,

"40. Sesungguhnya hari keputusan waktu mereka semuanya."

Sesungguhnya hari keputusan, iaitu hari kiamat itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya. Pada hari itu Allah s.w.t. memberikan keputusan kepada hamba-hambaNya. Semuanya akan Allah kumpulkan pada hari itu, dari yang pertama hingga yang terakhir.

Dia menghadirkan mereka dan menghadirkan amal mereka dan pembalasan disesuaikan dengan amal mereka. Maka Dia mengazab orang-orang kafir dan memberi pahala orang-orang mukmin.

"41. Hari tidak berguna karib dari karib sedikit pun, dan mereka tidak ditolong." 

Iaitu pada hari yang seorang kerabat atau teman tidak dapat memberi manfaat kepada kerabat atau temannya sedikit pun. Mereka tidak akan mendapat pertolongan untuk menghindarkannya dari azab Allah s.w.t.

"42. Kecuali orang yang Allah beri rahmat."

Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah, iaitu kaum mukmin. Sebahagian mereka memberi syafaat kepada yang lain dengan izin Allah s.w.t. Di hari itu tidaklah bermanfaat kecuali hanya rahmat Allah kepada makhlukNya.

"Sungguh Dia, Dia Maha Perkasa Maha Penyayang." 

Sungguh, Allah Mahaperkasa dalam memberikan hukuman kepada orang-orang kafir. Dia Maha Penyayang kepada orang-orang mukmin. Dia Mahaperkasa lagi Yang mempunyai rahmat yang luas.

Pada hari Allah s.w.t. memberikan keputusan di antara hamba-hambaNya, mereka terbahagi menjadi dua golongan; golongan yang menjadi penghuni syurga dan golongan yang menjadi penghuni neraka.

Adapun golongan penghuni neraka iaitu mereka yang melakukan dosa dengan mengerjakan kekufuran dan kemaksiatan, dan mendustakan hari perjumpaan denganNya, maka balasannya sebagaimana yang disebutkan dalam ayat seterusnya,

"43. Sesungguhnya pohon zaqqum." 

Zaqqum adalah jenis pohon yang tumbuh di neraka, pohon tersebut adalah pohon yang paling buruk.

"44. Makanan orang yang berdosa." 

Ia makanan bagi orang yang banyak dosa. Iaitu banyak dosa dalam ucapan dan perbuatannya, sedangkan dia adalah orang yang kafir.

"45. Seperti minyak mendidih di dalam perut." 

Ia seperti kotoran minyak, iaitu minyak yang keruh dan kotor, yang mendidih dalam perut. Ada yang menafsirkan, seperti cairan tembaga. Muhl di sini juga boleh bererti nanah yang berbau busuk, dan akan panas sampai mendidih dalam perut mereka.

"46. Seperti mendidihnya air yang sangat panas." 

Kerana panasnya yang sangat dan kerana sangat kotornya. Allah s.w.t. memerintahkan kepada malaikat Zabaniyyah,

"47. Peganglah dia, lalu seretlah dia sampai ketengah-tengah Jahim." 

Peganglah orang yang kafir atau berdosa itu, kemudian tangkaplah, seretlah, giringlah dia, dan doronglah dia ke bahagian tengah neraka.

"48. Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya dari azab air yang sangat panas." 

Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya siksaan dari air yang mendidih. Kemudian air panas itu turun ke tubuhnya memasuki perutnya dan menghancurkan semua isi perutnya hingga menjulur sampai ke mata kakinya terkelupas. Semoga Allah melindungi kita dari azab neraka.

"49. Rasakanlah, sesungguhnya kamu, kamu seorang yang perkasa yang mulia." 

Ucapan ini merupakan kecaman, cemuhan dan ejekan bagi orang yang menyangka bahawa dirinya yang paling perkasa dan paling mulia. Dia menyangka bahawa dirinya adalah orang yang perkasa dan mampu meloloskan diri dari azab Allah.

Dia menyangka bahawa dirinya adalah orang yang mulia yang tidak mungkin ditimpa azab. Maka pada hari itu jelaslah bahawa dirinya adalah orang yang lemah dan hina.

"50. Sungguh, inilah apa yang kalian padanya meragukan."

Sesungguhnya inilah azab yang dahulu kalian selalu meragu-ragukannya, sekarang baru kalian meyakininya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...