Sabtu, 29 Februari 2020

50:1-11 Tafsir Surah Qaf, ayat 1-11.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

  ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ (١) بَلْ عَجِبُوا أَنْ جَاءَهُمْ مُنْذِرٌ مِنْهُمْ فَقَالَ الْكَافِرُونَ هَذَا شَيْءٌ عَجِيبٌ (٢) أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا ذَلِكَ رَجْعٌ بَعِيدٌ (٣) قَدْ عَلِمْنَا مَا تَنْقُصُ الأرْضُ مِنْهُمْ وَعِنْدَنَا كِتَابٌ حَفِيظٌ (٤) بَلْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُمْ فَهُمْ فِي أَمْرٍ مَرِيجٍ (٥) أَفَلَمْ يَنْظُرُوا إِلَى السَّمَاءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَاهَا وَزَيَّنَّاهَا وَمَا لَهَا مِنْ فُرُوجٍ (٦) وَالأرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْبَتْنَا فِيهَا مِنْ كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ (٧) تَبْصِرَةً وَذِكْرَى لِكُلِّ عَبْدٍ مُنِيبٍ (٨) وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا فَأَنْبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ (٩) وَالنَّخْلَ بَاسِقَاتٍ لَهَا طَلْعٌ نَضِيدٌ (١٠) رِزْقًا لِلْعِبَادِ وَأَحْيَيْنَا بِهِ بَلْدَةً مَيْتًا كَذَلِكَ الْخُرُوجُ (١١)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Qaf. Demi Al Qur’an yang mulia."

Allah s.w.t. bersumpah dengan Al Qur’an yang mulia; luas maknanya dan sungguh agung, banyak sisi-sisinya dan banyak berkahnya serta banyak kebaikannya.

Majid (mulia) ertinya luasnya sifat dan agung, dan ucapan yang paling berhak disifati dengan itu (majid) adalah Al Qur’anul Karim yang mengandung ilmu orang-orang terdahulu dan yang datang kemudian, yang mengandung kefasihan yang paling sempurna dan lafaz yang paling fasih, makna yang paling merata dan paling baik.

Hal ini tentu mengharuskan untuk diikuti secara sempurna dan segera tunduk kepadanya serta bersyukur kepada Allah atas nikmat ini. Akan tetapi kebanyakan manusia tidak menghargai nikmat-nikmat Allah dengan penghargaan yang semestinya. Mereka tidak menerimanya.

"2. Bahkan mereka tercengang bahawa telah datang pada mereka pemberi peringatan dari kalangan mereka," 

Bahkan orang-orang yang mendustakan Rasulullah s.a.w. tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari kalangan mereka sendiri, iaitu Rasul yang memperingatkan mereka dengan neraka.

Atau maksudnya, Beliau memperingatkan mereka sesuatu yang memadharratkan mereka agar mereka menjauhinya dan memerintahkan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka.

Beliau berasal dari jenis mereka sendiri (manusia) yang memungkinkan mereka untuk menimba ilmu dari Beliau serta mengetahui keadaan Beliau serta kejujurannya. Namun mereka hairan terhadap sesuatu yang tidak patut dihairankan.

"maka berkata orang-orang kafir, "Ini sesuatu yang sangat aneh.""

Mereka merasa hairan dengan adanya seorang rasul dari kalangan manusia yang diutus kepada mereka. Kekafiran dan pendustaan merekalah yang mendorong mereka untuk berkata demikian, bukan kerana kurangnya kecerdasan dan pandangan mereka. Ini menunjukkan dalamnya kebodohan mereka dan lemahnya akal mereka.

Seperti orang yang gila yang menganggap aneh kata-kata orang yang berakal, dan seperti orang yang bakhil yang merasa hairan terhadap kedermawanan orang yang dermawan, dan kehairanan mereka menunjukkan dalamnya kezaliman dan kebodohan mereka.

Atau mereka hairan kerana tahu kesalahan mereka, maka ini merupakan kezaliman yang paling besar dan paling buruk.

Hal ini bukanlah merupakan peristiwa yang menghairankan, kerana sesungguhnya Allah memilih dari kalangan malaikat dan manusia menjadi utusanNya. Kemudian Allah s.w.t. berfirman, menceritakan kehairanan mereka tentang adanya hari kembali yang mereka anggap sebagai hal yang mustahil,

"3. Apakah apabila kami mati dan kami menjadi tanah? Demikian itu pengembalian yang jauh." 

Adakah bila kita telah mati dan menjadi tulang belulang serta semua sendi tulang-tulang kita bercerai-berai, dan kita menjadi tanah, mungkinkah sesudah itu kita akan dihidupkan kembali seperti semua alam bentuk dan susunan yang sekarang ini seutuhnya? Itu adalah suatu pengembalian yang tidak mungkin, iaitu mustahil boleh terjadi.

Mereka tidak meyakini adanya hari berbangkit dan beranggapan bahawa itu mustahil. Mereka menyamakan kemampuan Allah Yang Mahakuasa atas segala sesuatu lagi sempurna dari berbagai sisi dengan kemampuan hamba yang fakir dan lemah dari berbagai sisi, menyamakan yang jahil dan tidak mengetahui sesuatu dengan yang mengetahui segala sesuatu.

Dia mengetahui apa yang ditelan bumi dari (tubuh-tubuh) mereka selama mereka berada dalam kubur mereka, dan Dia mencatat dalam kitabNya yang terpelihara dari perubahan (Lauh Mahfuzh) semua yang terjadi pada mereka ketika masih hidup dan setelah mereka mati. Maka dalam firman selanjutnya Allah s.w.t. menjawab mereka,

"4. Sungguh, Kami mengetahui apa yang merosak bumi dari mereka, dan di sisi Kami catatan yang terpelihara." 

Kami mengetahui apa yang dimakan, ditelan dan dihancurkan oleh bumi dari tubuh-tubuh mereka, tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Kami dimanakah tubuh mereka dan menjadi apakah tubuh mereka.

Pada sisi Kami ada kitab catatan yang memelihara dan terpelihara baik, iaitu Al Lauhul Mahfuzh. Ia mencatat semuanya itu; ilmu Allah meliputi semuanya dan segala sesuatu telah dicatat di dalam Kitab di sisiNya.

Ayat ini berdalih dengan kesempurnaan dan keluasan ilmu Allah untuk menunjukkan kekuasaanNya menghidupkan orang-orang yang telah mati. Kemudian Allah s.w.t. berfirman menjelaskan penyebab kekafiran mereka, keingkaran dan anggapan mustahil mereka terhadap hal yang tidak mustahil itu.

"5. Bahkan mereka telah mendustakan dengan kebenaran tatkala datang kepada mereka, maka mereka dalam keadaan yang kacau balau." 

Sebenarnya mereka telah mendustakan kebenaran ketika kebenaran itu datang kepada mereka, maka keadaan mereka kacau balau. Al marij bermaksud pertentangan, kekacauan, kepalsuan dan kemungkaran.

Sesekali mereka mengatakan sebagai sihir, sesekali sebagai sya’ir dan sesekali sebagai dukun. Mereka tidak kukuh dalam sesuatu, bahkan mereka membahagi-bahagi Al Qur’an sebahagian mereka percayai dan sebahagian lagi mereka ingkari, masing-masing berkata tentang Beliau dan Al Qur’an dengan pendapatnya yang rosak.

Demikianlah keadaan setiap orang yang mendustakan dan menyimpang dari kebenaran, keadaannya kacau balau, tidak ada arah dan hal yang tetap. Apa pun alasan yang dikatakannya adalah batil belaka. Semua urusannya bertentangan dan dibuat-buat.

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan hamba-hambaNya akan kekuasaanNya yang Mahabesar melalui ciptaan-ciptaanNya yang lebih besar daripada apa yang mereka hairankan dan mereka anggap mustahil terjadi.

"6. Maka apakah tidak mereka memperhatikan kepada langit di atas mereka, bagaimana Kami membangunnya dan menghiasinya dan tidaklah baginya dari retak-retak?" 

Sepatutnya mereka ketika mengingkari kebangkitan memperhatikan langit yang ada di atas mereka, yang tidak perlu susah payah menyaksikannya, bahkan dapat melihatnya dengan mudah, bagaimana cara Kami membangunnya dan meninggikannya tanpa tiang.

Kami menghiasinya dengan bintang-bintang. Tampak indah dilihat dan tidak tampak adanya cacat dan kekurangan. Kami menjadikannya sebagai atap bagi penghuni bumi dan menyediakan di dalamnya segala keperluan dharuri (penting) yang diperlukan.

Langit itu tidak terdapat retak-retak atau belah-belah sedikit pun. Kami melapangkannya dan meluaskannya agar semua makhluk hidup dapat tinggal di atasnya dan dapat menetap serta Kami menyediakan semua maslahatnya.

"7. Dan bumi Kami menghamparkannya dan Kami meletakkan padanya gunung-gunung" 

Kami jadikan bumi itu luas terhampar dan Kami pancangkan di atasnya gunung-gunung yang kukuh agar bumi tidak bergoncang mengombang-ambingkan penduduknya, kerana sesungguhnya bumi itu menetap di atas aliran air yang mengelilinginya dari segala penjuru.

"dan Kami tumbuhkan di dalamnya dari tiap-tiap pasangan yang indah." 

Kami tumbuhkan di atasnya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, yang menyenangkan orang yang melihatnya dan membuat tercengang orang yang memandangnya serta menyejukkan pandangannya. Bahij ertinya indah dipandang mata.

Tanaman-tanaman tersebut dapat dimakan manusia, dimakan haiwan serta memberikan manfaat bagi mereka. Terlebih dengan kebun-kebun yang terdapat buah-buahan yang enak dimakan seperti anggur, delima, jeruk, epal dan buah-buahan lainnya.

"8. Pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali." 

Melalui penciptaan langit dan bumi serta segala sesuatu yang diciptakan Allah s.w.t. pada keduanya berupa tanda-tanda yang besar yang membuktikan kekuasaan Allah. Semuanya itu dijadikan sebagai pelajaran, bukti dan peringatan bagi setiap hamba yang mengingat, tunduk, patuh, mencintai, takut dan berharap kepada Allah s.w.t.

"9. Dan Kami turunkan dari langit air yang penuh keberkahan, maka Kami tumbuhkan dengannya taman dan biji-biji tanaman yang dituai." 

Kami turunkan air hujan dari langit yang memberi berkah atau banyak manfaatnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu taman-taman, kebun-kebun dan sebagainya, dan biji-bijian yang dapat diketam atau dituai seperti beras, gandum, jagung, dan sebagainya. Iaitu, tanaman yang menghasilkan biji-bijian yang dapat disimpan dalam waktu yang cukup lama.

"10. Dan pohon kurma tinggi menjulang baginya mayang yang bersusun-susun." 

Basiqat ertinya tinggi-tinggi. Pohon kurma yang batangnya menjulang tinggi ke langit yang mempunyai mayang yang bersusun-susun, iaitu bertingkat-tingkat. Di tangkainya terdapat rezeki bagi hamba, dimana mereka dapat memakannya dan menyimpannya.

"11. Rezeki bagi hamba-hamba, dan Kami hidupkan dengannya negeri yang mati."

Sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami, dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati, kering atau tandus.

Setelah Allah menurunkan air hujan padanya, maka suburlah tanah itu dan menumbuhkan berbagai macam tetumbuhan yang subur lagi berbunga dan lain sebagainya yang memukaukan pandangan mata keindahannya, padahal sebelum itu tanah tersebut tidak ada tetumbuhannya.

Maka setelah hujan diturunkan kepadanya, menjadi subur dan hijaulah kerana tumbuh-tumbuhannya. DihidupkanNya bumi setelah matinya terdapat dalil bahawa Allah mampu menghidupkan orang-orang yang telah mati untuk diberiNya balasan.

"Demikianlah kebangkitan." 

Seperti itulah terjadinya kebangkitan dari kubur. Demikianlah perumpamaan Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati di hari kemudian nanti.

Pemandangan serta bukti yang nyata ini merupakan sebahagian dari kekuasaan Allah s.w.t. Yang Mahabesar, bahkan lebih besar daripada apa yang diingkari oleh orang-orang yang tidak percaya dengan adanya hari berbangkit.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...