Isnin, 30 Mac 2020

27:54-55 Tafsir Surah An Naml, Ayat 54-55.

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ وَأَنْتُمْ تُبْصِرُونَ (٥٤) أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ (٥٥)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang hamba dan RasulNya, iaitu Lut a.s.,

"54. Dan Lut," 

Ingatlah kisah Lut, iaitu ingatlah hamba Kami dan Rasul Kami Lut serta beritanya yang cukup menarik. Lut a.s. memberikan peringatan kepada kaumnya akan azab Allah yang akan menimpa mereka disebabkan mereka mengerjakan perbuatan yang keji.

Perbuatan itu belum pernah dilakukan oleh seorang manusia pun sebelumnya, iaitu menyetubuhi sesama jenisnya bukan kaum wanita. Demikian itu merupakan perbuatan keji yang sangat berat; lelaki dengan lelaki, dan wanita dengan wanita.

"ketika dia berkata kepada kaumnya, "Mengapa kalian melakukan fahisyah""

Lut a.s. bertanya kepada kaumnya, "Mengapa kalian mengerjakan perbuatan keji itu," Iaitu homoseks. Disebut perbuatan keji kerana dianggap keji oleh akal, fitrah dan semua syariat.

"dan kalian melihat?"

Sedangkan atau padahal kalian melihat, nampak atau mengetahui buruk dan kejinya perbuatan itu, tetapi kalian malah mengerjakannya kerana zalim dan berani kepada Allah. Ada yang menafsirkan, iaitu sebahagian dari kalian menyaksikan sebahagian yang lain sedang melakukan perbuatan keji itu di tempat-tempat kalian berkumpul.

"55. Apakah sesungguhnya kalian mendatangi lelaki syahwat dari selain wanita?"

Mengapa kalian mendatangi lelaki untuk memenuhi nafsu kalian, bukan mendatangi wanita? Maksudnya, mengapa kalian sampai seperti ini keadaannya, syahwat kalian tertuju kepada lelaki, padahal dubur mereka adalah tempat keluar kotoran, dan kalian meninggalkan apa yang Allah ciptakan untuk kalian, iaitu tempat yang baik dari kaum wanita? Kalian anggap baik perbuatan buruk dan kalian anggap buruk perbuatan baik.

"Bahkan kalian kaum yang jahil." 

Sebenarnya kalian adalah kaum yang bodoh. Kalian tidak mengetahui akibat perbuatan kalian baik dinilai oleh tabiat maupun hukum syara'.

Akhir Juz 19.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...