Isnin, 30 Mac 2020

25:11-16 Tafsir Surah Al Furqan, ayat 11-16.

بَلْ كَذَّبُوا بِالسَّاعَةِ وَأَعْتَدْنَا لِمَنْ كَذَّبَ بِالسَّاعَةِ سَعِيرًا (١١) إِذَا رَأَتْهُمْ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ سَمِعُوا لَهَا تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا (١٢) وَإِذَا أُلْقُوا مِنْهَا مَكَانًا ضَيِّقًا مُقَرَّنِينَ دَعَوْا هُنَالِكَ ثُبُورًا (١٣) لا تَدْعُوا الْيَوْمَ ثُبُورًا وَاحِدًا وَادْعُوا ثُبُورًا كَثِيرًا (١٤) قُلْ أَذَلِكَ خَيْرٌ أَمْ جَنَّةُ الْخُلْدِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ كَانَتْ لَهُمْ جَزَاءً وَمَصِيرًا (١٥) لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَاءُونَ خَالِدِينَ كَانَ عَلَى رَبِّكَ وَعْدًا مَسْئُولا (١٦) 

Oleh kerana ucapan yang mereka ucapkan itu sudah maklum rosaknya, maka Allah s.w.t. memberitahukan bahawa ucapan tersebut tidaklah muncul untuk mencari yang hak (benar) dan bukan pula kerana mencari bukti, tetapi merupakan sikap membangkang dan zalim serta mendustakan yang hak.

"11. Bahkan mereka mendustakan dengan hari kiamat." 

Sesungguhnya mereka mengatakan demikian kerana tidak percaya dan ingkar, bukan bererti mereka menuntut hal tersebut agar mereka dapat menyaksikan kebenaran dan petunjuk dengan sebenar-benarnya. Bahkan mereka mendustakan adanya hari kiamat, yang hal ini mendorong mereka mengucapkan apa yang telah mereka ucapkan itu.

"Dan Kami sediakan bagi orang yang mendustakan terhadap hari kiamat neraka yang menyala-nyala." 

Kami menyediakan neraka yang menyala-nyala bagi siapa yang mendustakan hari kiamat. Iaitu azab yang menyakitkan lagi membakar dan tidak tertahankan, iaitu neraka Jahanam. Ada yang mengatakan bahawa Sa'ir adalah nama sebuah lembah nanah di dalam neraka Jahanam.

"12. Apabila melihat mereka dari tempat yang jauh," 

Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, sebelum sampai kepada mereka. Iaitu apabila neraka Jahanam melihat mereka di Padang Mahsyar. Ada yang mengatakan dari jarak seratus tahun.

Zahir ayat ini menunjukkan bahawa neraka itu dapat melihat, dan ini mungkin terjadi dengan kekuasaan Allah, atau ayat ini menggambarkan bagaimana dahsyat dan seramnya neraka itu agar setiap orang takut terhadap azab Allah sehingga mereka mahu bertakwa.

"mereka akan mendengar padanya kemarahan suara dan gemuruh." 

Mereka mendengar bunyi kegeramannya, bunyi nyalanya dan bunyinya yang gemuruh kerana merasa geram dan marah kepada mereka. Hati mereka merinding ketakutan kepadanya, bahkan hampir mati kerana rasa takut yang demikian hebat. Neraka telah marah kerana kemarahan Penciptanya dan bertambah gejolaknya kerana bertambah kafir dan buruknya mereka.

"13. Dan apabila mereka dilemparkan darinya tempat yang sempit mereka dibelenggu, mereka mengharapkan di sana kebinasaan." 

"Muqarranin," ertinya dibelenggu. Apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka dengan dibelenggu, iaitu tangan ke leher mereka dengan rantai dan belenggu, mereka di sana memekik mengharapkan kebinasaan.

Mereka menyesal, kecewa dan mengharapkan kebinasaan, agar terlepas dari siksaan yang sangat besar, iaitu azab di neraka yang sangat panas dengan dibelenggu, di tempat yang sempit pula. Mereka dipaksakan masuk ke dalam neraka, sebagaimana pasak dipaksakan masuk ke dalam tembok. Akan dikatakan kepada mereka,

"14. Janganlah kalian mengharapkan hari ini kebinasaan sekali, dan harapkanlah kebinasaan yang banyak." 

As subur bermaksud kebinasaan, kecelakaan, kerugian dan kehancuran. Janganlah kamu sekalian mengharapkan pada hari ini satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang berulang-ulang. Harapan mereka untuk dibinasakan sekaligus tidak dikabulkan Allah; tetapi mereka akan mengalami azab yang lebih besar selama-lamanya.

"15. Katakanlah, "Apakah itu lebih baik, atau kebun yang kekal yang dijanjikan orang-orang yang bertakwa?" Adalah bagi mereka balasan, dan tempat kembali." 

Katakanlah (Muhammad) kepada mereka menerangkan kebodohan mereka kerana memilih yang berbahaya daripada yang bermanfaat, "Apakah azab seperti itu yang lebih baik, atau syurga yang kekal yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa sebagai balasan, dan tempat kembali lagi kekal bagi mereka?"

"16. Bagi mereka di dalamnya apa yang mereka kehendaki," 

Bagi mereka segala yang mereka kehendaki di dalam syurga, baik makanan dan minuman yang enak, pakaian yang indah, wanita yang cantik, istana yang tinggi, kebun-kebun yang luas dan buah-buahan, sungai-sungai yang mengalir di kebun-kebun dan mereka dapat mengarahkan sungai itu ke arah yang mereka kehendaki, di mana mereka memancarkannya dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, dari air susu yang tidak berubah rasanya, dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan dari madu yang disaring.

Mereka juga mendapat tempat tinggal yang indah, mendengarkan suara yang menarik, dapat mengunjungi saudara, bergembira kerana bertemu para kekasih, dan kekalnya nikmat-nikmat tersebut serta selalu bertambah, dan nikmat yang paling besarnya adalah kenikmatan memandang wajah Allah s.w.t., mendengarkan firmanNya, dekat denganNya, bahagia dengan mendapat keridhaanNya dan aman dari kemurkaanNya.

"mereka kekal." 

Mereka tinggal kekal di dalamnya untuk selama-lamanya, tanpa terputus, tanpa habis-habisnya, dan tanpa sirna; mereka sama sekali tidak mau pindah darinya. Ini merupakan janji Allah s.w.t. yang memberikan kemurahan dan kebaikanNya kepada mereka.

"Adalah atas Tuhanmu janji ditanya." 

Hal itu adalah janji dari Tuhanmu yang patut dimohonkan kepadaNya, iaitu sebagai suatu janji yang harus dan pasti terjadi. Hendaklah kalian memohon kepadaNya apa yang telah dijanjikanNya itu dan meminta supaya dikabulkan.

Sebagaimana yang dimohonkan kaum mukmin (lihat surah Ali Imran: 194) dan yang dimohonkan para malaikat untuk kaum mukmin (lihat surah Al Mu’min: 8).

Oleh kerana itu, negeri manakah yang lebih utama dan lebih layak didahulukan; dunia atau syurga? Sungguh jalan ke arah syurga begitu jelas, dan kesempatan untuk menempuhnya masih ada selama kita masih hidup di dunia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...