Khamis, 19 Mac 2020

38:27-29 Tafsir Surah Sad, ayat 27-29.

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالأرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَاطِلا ذَلِكَ ظَنُّ الَّذِينَ كَفَرُوا فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا مِنَ النَّارِ (٢٧) أَمْ نَجْعَلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَالْمُفْسِدِينَ فِي الأرْضِ أَمْ نَجْعَلُ الْمُتَّقِينَ كَالْفُجَّارِ (٢٨)كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الألْبَابِ (٢٩)

Allah s.w.t. memberitahukan tentang sempurnanya hikmah (kebijaksanaan)Nya dalam penciptaanNya.

"27. Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang di antara keduanya sia-sia. Demikianlah persangkaan orang-orang yang kafir," 

Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dengan main-main, tanpa hikmah, faedah dan maslahat. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang yang kafir.

Iaitu orang-orang yang tidak percaya kepada hari berbangkit dan hari kembali, melainkan hanya percaya kepada kehidupan di dunia ini saja. Mereka beranggapan dengan anggapan yang tidak layak dengan kebesaran Allah.

Allah ciptakan makhlukNya supaya mereka menyembahNya dan mengesakanNya. Kemudian Allah akan menghimpun mereka di hari perhimpunan, maka Dia akan memberi pahala kepada orang yang taat dan mengazab orang yang kafir.

"maka celakalah bagi orang-orang yang kafir dari api neraka." 

Maka celakalah orang-orang yang kafir itu di hari mereka kembali saat mereka dibangkitkan kerana akan memasuki neraka yang telah disediakan buat mereka. Biarlah neraka yang mengambil hak yang mereka abaikan itu.

Allah s.w.t. menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran dan untuk kebenaran, Dia menciptakan keduanya (langit dan bumi) untuk memberitahukan kepada hamba sempurnanya ilmuNya, kemampuanNya, luasnya kekuasaanNya, dan bahawa Dia yang berhak disembah tidak selainNya yang tidak mampu menciptakan apa-apa, dan bahawa kebangkitan adalah hak, dan bahawa Allah akan memutuskan masalah yang terjadi antara orang-orang yang baik dan orang-orang yang buruk.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman menjelaskan bahawa termasuk keadilan dan hikmahNya, Dia tidak menyamakan antara orang-orang mukmin dan orang-orang kafir.

"28. Atau Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh seperti orang-orang yang membuat kerosakan di bumi?"

Patutkah Kami menganggap atau memperlakukan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Iaitu janganlah orang yang tidak mengetahui tentang kebijaksanaan Allah s.w.t. menyamakan antara orang-orang yang baik dan yang buruk dalam hukumNya.

"Atau Kami jadikan orang-orang yang bertakwa seperti orang yang derhaka?" 

Patutkah Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang jahat atau yang berbuat maksiat? Iaitu Kami tidak akan melakukan hal seperti itu; mereka tidaklah sama di sisi Allah. Hal ini tentu tidak layak dengan kebijaksanaan Allah dan hukumNya.

Dan apabila demikian, bererti pasti ada negeri lain yang di dalamnya orang yang taat diberi pahala dan orang yang derhaka mendapat siksaan. Petunjuk ini menuntut akal yang sihat dan fitrah yang lurus untuk menyimpulkan bahawa adanya hari akhirat dan hari pembalasan merupakan suatu kepastian.

Kerana sesungguhnya kita sering melihat orang yang zalim lagi melampaui batas makin bertambah harta, anak dan kenikmatannya, serta mati dalam keadaan demikian. Sebaliknya kita sering melihat orang yang taat lagi teraniaya mati dalam keadaan sengsara dan miskin.

Maka sudah merupakan suatu kepastian hal tersebut menuntut kebijaksanaan Tuhan Yang Mahabijaksana, Maha Mengetahui, lagi Maha-adil yang tidak pernah aniaya barang sedikit pun untuk menegakkan keadilan dengan memenangkan si teraniaya atas orang yang menganiayanya.

Apabila hal ini tidak terjadi di dunia ini, bererti di sana ada negeri lain yang padanya dilakukan pembalasan dan keadilan ini, iaitu negeri akhirat.

"29. Kitab Kami menurunkannya kepadamu penuh berkah" 

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah. Di dalam Al Qur’an terdapat kebaikan dan ilmu yang banyak, terdapat petunjuk dari kesesatan, terdapat ubat dari penyakit, cahaya sebagai penerang di tengah kegelapan, dan terdapat hukum yang diperlukan oleh manusia.

Di dalamnya terdapat dalil yang qath’i untuk semua tuntutan agama, di mana kitab tersebut merupakan kitab paling agung yang datang ke alam semesta.

"agar mereka memperhatikan ayat-ayatNya" 

Supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya. Ini di antara hikmah diturunkanNya Al Qur’an, iaitu agar manusia menghayati ayat-ayatNya, sehingga mereka dapat menggali ilmunya serta mengkaji rahsia dan hikmahNya.

Hal itu, kerana dengan mentadaburi isinya dan mengayati maknanya serta mengulang-ulang fikiran untuknya, maka akan dicapai keberkahan dan kebaikannya.

Dalam ayat ini terdapat dorongan untuk mentadabburi Al Qur’an, dan bahawa ia termasuk amalan yang paling utama, dan bahawa membaca sambil mentadabburinya lebih utama daripada membaca cepat namun maksud tersebut tidak tercapai.

"dan agar mengambil pelajaran orang yang mempunyai akal." 

Supaya orang-orang yang mempunyai fikiran atau yang berakal sihat mendapat pelajaran dengan Al Qur’an. Maka orang-orang yang berakal sihat dapat mengingat semua ilmu dan semua tuntutan. Ayat ini menunjukkan, bahawa semakin tinggi tingkat kecerdasan seseorang, maka dia akan semakin sedar dengannya dan memperoleh manfaat daripadanya.

Al Hasan Al Basri mengatakan, "Demi Allah, bukanlah cara mengambil pelajaran dari Al Qur'an itu dengan menghafal huruf-hurufnya, tetapi menyia-nyiakan batasan-batasannya, sehingga seseorang dari mereka (yang tidak mengindahkan batasan-batasannya) mengatakan, "Aku telah membaca seluruh Al Qur'an', tetapi pada dirinya tidak ada ajaran Al Qur'an yang disandangnya, baik pada akhlaknya ataupun pada amal perbuatannya."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...