Khamis, 19 Mac 2020

44:51-59 Tafsir Surah Ad Dukhan, ayat 51-59.

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ (٥١) فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (٥٢) يَلْبَسُونَ مِنْ سُنْدُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُتَقَابِلِينَ (٥٣) كَذَلِكَ وَزَوَّجْنَاهُمْ بِحُورٍ عِينٍ (٥٤) يَدْعُونَ فِيهَا بِكُلِّ فَاكِهَةٍ آمِنِينَ (٥٥) لا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ إِلا الْمَوْتَةَ الأولَى وَوَقَاهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ (٥٦) فَضْلا مِنْ رَبِّكَ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٥٧)فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٥٨) فَارْتَقِبْ إِنَّهُمْ مُرْتَقِبُونَ (٥٩)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan balasan dan keadaan yang di alami oleh orang-orang yang berbahagia, iaitu orang-orang yang bertakwa.

"51. Sungguh orang-orang yang bertakwa dalam tempat yang aman." 

Orang-orang yang bertakwa, iaitu mereka yang ketika di dunia menjaga diri dari kemurkaan dan azabNya dengan meninggalkan maksiat dan mengerjakan ketaatan, sehingga mereka mendapat keridhaan Allah dan pahalaNya.

Mereka di akhirat berada dalam tempat yang aman. Tempat yang dimaksud adalah di dalam syurga, mereka aman di dalamya dari kematian dan terusir, juga dari sedih, terkejut, lelah, dan letih, aman dari syaitan dan tipuannya, serta aman dari segala musibah dan malapetaka.

"52. Dalam taman-taman dan mata air." 

Iaitu di dalam taman-taman dan mata air-mata air. Mereka berada dalam naungan yang teduh kerana banyak pepohonan dan buah-buahan serta mata air, di bawahnya mengalir sungai-sungai dan mereka dapat memancarkannya dengan sebaik-baiknya.

"53. Mereka memakai dari kain sutera yang halus dan sutera tebal, berhadap-hadapan.

Sundus bermaksud kain sutera yang nipis untuk dipakai sebagai baju gamis dan baju luar lainnya. Istabraq bermaksud kain sutera tebal lagi mengkilap yang dipakai sebagai hiasan dan aksesori.

Mereka memakai sutera yang halus dan sutera yang tebal, duduk di atas dipan-dipan (pelamin-pelamin) berhadapan dengan santai yang sempurna, tenang, saling mencintai, berhubungan baik dan beradab baik.

"54. Demikianlah, Kami jodohkan mereka dengan bidadari bermata indah."

Demikianlah kenikmatan dan kesenangan yang sempurna itu. Di samping pemberian tersebut, Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari, iaitu wanita-wanita yang cantik yang bermata jeli sebagai isteri-isteri mereka.

"55. Mereka dapat meminta di dalamnya dengan segala buah-buahan dengan aman." 

Di dalamnya mereka dapat meminta segala macam buah-buahan baik yang ada namanya di dunia maupun yang tidak ada namanya serta tidak ada bandingannya di dunia. Buah-buahan apa pun yang mereka minta, pasti didatangkan bagi mereka.

Buah-buahan itu ada pada saat itu di hadapan mereka tanpa susah payah mendapatkannya. Sedangkan mereka merasa aman, tenteram, tidak khuatir kehabisan ataupun dilarang. Mereka aman dari dikeluarkan dari syurga dan aman dari kematian.

"56. Mereka tidak merasakan di dalamnya mati, kecuali kematian yang pertama."

Mereka tidak akan merasakan mati di dalamnya, selain kematian pertama di dunia. Iaitu mereka tidak akan merasakan mati lagi di dalam syurga untuk selama-lamanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Maut didatangkan dalam rupa kambing gibasy yang bertanduk, lalu dihentikan di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih, dan dikatakan, "Hai ahli surga, kekallah, tiada kematian lagi. Hai ahli neraka, kekallah tiada kematian lagi.”"

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Dikatakan kepada ahli syurga, "Sesungguhnya kalian akan tetap sihat dan tidak akan sakit selama-lamanya, dan sesungguhnya kalian akan tetap hidup dan tidak akan mati selama-lamanya. Dan kalian akan hidup dengan nikmat, dan tidak akan sengsara selama-lamanya. Dan kalian akan tetap muda dan tidak akan tua lagi selama-lamanya.”"

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya masuk syurga. Dia hidup nikmat di dalamnya dan tidak akan sengsara, dan dia hidup kekal di dalamnya tidak akan mati, dan pakaiannya tidak akan rosak serta kemudaannya tidak akan luntur (hilang)."

Nabi s.a.w. pernah ditanya, "Adakah ahli syurga tidur?" Nabi s.a.w. menjawab, "Tidur itu adalah saudaranya mati, maka ahli syurga itu tidak tidur."

"Dan Dia memelihara mereka azab neraka Jahim." 

Allah melindungi mereka dari azab neraka. Iaitu selain mendapatkan nikmat yang besar lagi kekal ini, mereka dipelihara dari azab yang pedih, iaitu azab neraka Jahim dan Allah menyelamatkan mereka serta menjauhkan mereka dari azab itu. Mereka mendapat yang diinginkan dan diselamatkan dari yang ditakutkan.

"57. Kurnia dari Tuhanmu."

Itu merupakan kurnia dari Tuhanmu. Mendapatkan nikmat dan terhindar dari azab termasuk kurnia Allah kepada mereka dan kemurahanNya kerana Allah yang memberi mereka taufiq untuk mengerjakan amal soleh sehingga mereka mendapat kebaikan akhirat, serta memberikan kepada mereka apa yang tidak dicapai oleh amal mereka.

"Demikian itu ia keuntungan yang besar." 

Demikian itulah kemenangan yang agung. Tiada kemenangan yang lebih besar daripada mendapat keridhaan Allah dan syurgaNya, serta selamat dari azab dan kemurkaanNya. Sesungguhnya hal itu mereka dapat hanyalah berkat kurnia dan kebaikan Allah kepada mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Beramallah, luruskanlah dan dekatkanlah kalian, dan ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat dimasukkan ke dalam syurga oleh amalnya!" Para sahabat bertanya, "Dan tidak juga engkau, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dan tidak juga aku, terkecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurniaNya kepadaku."

"58. Maka sungguh hanyalah Kami mudahkannya dengan bahasamu agar mereka mendapat pelajaran." 

Sesungguhnya Kami mudahkan Al Qur’an itu dengan bahasamu supaya mereka mendapat pelajaran. Iaitu sesungguhnya Kami menjadikan Al Qur'an yang Kami turunkan ini mudah, jelas, terang, dan nyata dengan memakai bahasamu yang merupakan bahasa yang paling fasih, paling jelas, paling indah, dan paling tinggi agar mereka memahaminya dan mengamalkannya.

Iaitu mengingatkan mereka sesuatu yang bermanfaat bagi mereka sehingga mereka mengerjakannya, dan mengingatkan sesuatu yang terdapat madharrat sehingga mereka meninggalkannya.

Kemudian setelah Al Qur'an demikian jelas dan terangnya, ternyata masih ada sebahagian manusia yang kafir dan menentang serta ingkar. Maka Allah s.w.t. berfirman menghibur hati RasulNya sambil menjanjikan kepadanya akan diberi pertolongan olehNya, dan mengancam orang-orang yang mendustakannya bahawa mereka akan kalah dan binasa.

"59. Maka tunggulah, sesungguhnya mereka menunggu." 

Maka nantikanlah kehancuran mereka. Sesungguhnya mereka itu juga sedang menantikan kehancuranmu.

Boleh juga diertikan, maka tunggulah kebaikan dan pertolongan yang dijanjikan Tuhanmu, sesungguhnya mereka juga menunggu hal yang menimpa mereka berupa azab.

Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan mendapat pertolongan, kemenangan, dan kalimah yang tinggi di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya semuanya itu hanyalah bagimu, hai Muhammad, dan bagi saudara-saudaramu dari kalangan para nabi dan para rasul serta orang-orang yang mengikutimu dari kalangan kaum mukmin.

Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w. dan para pengikutnya menunggu kebaikan di dunia dan akhirat, sedangkan musuh mereka menunggu keburukan di dunia dan akhirat.

Selesai tafsir surah Ad Dukhan dengan pertolongan Allah, taufiq dan kelembutanNya walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...