Jumaat, 6 Mac 2020

4:7-10 Tafsir Surah An Nisa, ayat 7-10.

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالأقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالأقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَفْرُوضًا  (٧) وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينُ فَارْزُقُوهُمْ مِنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلا مَعْرُوفًا (٨) وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا (٩) إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا (١٠)

Ayat ini turun untuk menolak kebiasaan Jahiliyyah yang tidak memberikan warisan kepada kaum wanita dan anak-anak. Dahulu orang-orang musyrik memberikan hartanya kepada anak-anaknya yang besar-besar saja, dan mereka tidak mewariskannya kepada wanita dan anak-anak.

Ummu Kahhah datang menghadap Rasulullah s.a.w., lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai dua orang anak perempuan yang bapanya telah mati, sedangkan keduanya tidak mendapat warisan apa pun (dari ayahnya)." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"7. Bagi lelaki bahagian dari apa yang meninggalkan kedua orang tua dan para kerabat," 

Bagi lelaki, iaitu anak-anak maupun kerabat, ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya yang meninggal.

"dan bagi wanita bahagian dari apa yang meninggalkan kedua orang tua dan kerabat, dari apa yang sedikit dari padanya atau banyak" 

Bagi perempuan ada hak bahagian juga dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak.

Nampaknya ada masalah yang mengganjal di hati, adakah bahagiannya menurut adat yang berlaku, atau kesepakatan, atau ada ketentuannya, maka disebutkan bahawa bahagian tersebut ada ketentuannya dari Allah Yang Maha Mengetahui lagi Mahabijaksana.

"bahagian yang ditetapkan."

Menurut bahagian yang telah ditetapkan. Semuanya sama dalam hukum Allah s.w.t. Mereka mempunyai hak waris, walaupun terdapat perbedaan menurut bahagian-bahagian yang ditentukan oleh Allah s.w.t. bagi masing-masing dari mereka sesuai dengan kedudukan kekerabatan mereka dengan si mayat, atau hubungan suami isteri, atau hubungan al-wala. Kerana sesungguhnya hubungan wala itu merupakan daging yang kedudukannya sama dengan daging yang senasab.

Ayat ini merupakan salah satu di antara sekian hukum yang bijaksana dan menenangkan hati. Dari ayat ini dapat kita ambil kesimpulan, bahawa siapa saja yang dalam hatinya menginginkan sesuatu yang ada di tangan kita hendaknya kita memberikan sesuatu daripadanya sekadarnya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Apabila salah seorang di antara kamu didatangi pelayannya dengan membawa makanan, sedangkan pelayannya sudah menyelesaikan tugasnya di dapur, maka ikutkanlah dia duduk bersamanya. Jika tidak diikutkan bersamanya, maka berikanlah sesuap atau dua suap makanan."

"8. Dan apabila hadir pembahagian itu orang yang memiliki hubungan kerabat," 

Apabila sewaktu pembahagian warisan itu hadir beberapa kerabat. Kerabat di sini bermaksud kaum kerabat yang bukan dari kalangan ahli waris atau yang tidak mempunyai hak warisan dari harta peninggalan.

"dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, maka berilah mereka rezeki darinya" 

Anak-anak yatim, dan orang miskin, maka berilah mereka dari harta itu sekadarnya. Pemberian sekadarnya itu tidak boleh melebihi sepertiga harta warisan, dan pemberian ini dilakukan sebelum dibahagikan. Pemberian ini hukumnya sunat, sedangkan menurut Ibnu Abbas pemberian ini hukumnya wajib.

"dan katakanlah kalian kepada mereka perkataan yang baik." 

Ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Iaitu jika ternyata tidak mungkin kerana hal-hal tertentu, maka berbicaralah dengan mereka dengan kata-kata yang lembut.

Ada yang mengatakan, bahawa ayat seterusnya ditujukan kepada mereka yang menghadiri seorang yang akan meninggal, namun dia (yang akan meninggal) menetapkan wasiat yang zalim, agar mengingatkannya; menyuruh berlaku adil dalam berwasiat, menyuruhnya jika hendak bersedekah agar di bawah sepertiga harta, menyisakan untuk ahli waris dan tidak meninggalkan ahli waris dalam keadaan miskin. Inilah maksud mengatakan perkataan yang benar (lihat akhir ayat tersebut).

Ada juga yang mengatakan, bahawa ayat ini ditujukan kepada para wali terhadap orang-orang yang kurang akalnya, baik orang gila, anak-anak maupun orang-orang yang lemah agar mereka menyikapi orang-orang yang lemah itu seperti sikap mereka terhadap anak-anak mereka sendiri.

Menurut Ibnu Abbas, bahawa ayat ini berkenaan dengan seorang lelaki yang sedang menjelang ajalnya, lalu kedengaran oleh seorang lelaki bahawa dia mengucapkan suatu wasiat yang menimbulkan mudarat terhadap ahli warisnya. Maka Allah s.w.t. memerintahkan kepada orang yang mendengar wasiat tersebut hendaknya dia bertakwa kepada Allah, membimbing si sakit serta meluruskannya ke jalan yang benar.

Hendaknya si sakit memandang kepada keadaan para ahli warisnya sebagaimana diwajibkan baginya berbuat sesuatu untuk ahli warisnya, bila dikhuatirkan mereka akan terlunta-lunta (terbengkalai).

"9. Dan hendaklah takut orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan dari belakang keturunan yang lemah mereka khuatir atas mereka."

Hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir terhadap kesejahteraannya.

"Maka hendaklah mereka bertakwa kepada Allah" 

Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, iaitu dalam mengurus orang lain, dengan cara mengurusnya sejalan dengan ketakwaan kepada Allah, tidak merendahkan mereka, tidak membiarkan mereka dan menyuruh mereka bertakwa.

"dan hendaklah mereka berkata perkataan yang benar." 

Hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar.

"10. Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim zalim" 

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara aniaya, iaitu tanpa hak atau tanpa alasan yang dibenarkan.

Namun tidak termasuk di dalamnya jika pengurusnya fakir, lalu dia memakan harta itu secara ma'ruf, misalnya sesuai ukuran kepengurusannya terhadapnya. Demikian juga tidak termasuk ke dalamnya mencampur makanan anak yatim dengan makanan mereka.

"sungguh hanyalah memakan dalam perut-perut mereka api neraka dan mereka akan masuk neraka yang menyala-nyala." 

Sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Bila mereka makan harta anak yatim tanpa alasan yang dibenarkan, sesungguhnya yang mereka makan itu adalah api yang menyala-nyala di dalam perut mereka di hari kiamat kelak.

Ayat ini menunjukkan besarnya dosa memakan harta anak yatim secara zalim, dan bahawa hal itu termasuk sebab yang menjadikan seseorang masuk ke dalam neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jauhilah oleh kalian tujuh macam dosa yang membinasakan." Ditanyakan, "Apa sajakah dosa-dosa itu, wahai Rasulullah?" Beliau s.a.w. menjawab, "Mempersekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh berzina wanita-wanita mukmin yang memelihara kehormatannya yang sedang lalai."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...