Rabu, 11 Mac 2020

9:86-89 Tafsir Surah At Taubah, ayat 85-89.

وَإِذَا أُنْزِلَتْ سُورَةٌ أَنْ آمِنُوا بِاللَّهِ وَجَاهِدُوا مَعَ رَسُولِهِ اسْتَأْذَنَكَ أُولُو الطَّوْلِ مِنْهُمْ وَقَالُوا ذَرْنَا نَكُنْ مَعَ الْقَاعِدِينَ (٨٦) رَضُوا بِأَنْ يَكُونُوا مَعَ الْخَوَالِفِ وَطُبِعَ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لا يَفْقَهُونَ (٨٧) لَكِنِ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ وَأُولَئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (٨٨) أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٨٩) 

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan dosa orang-orang munafik, mengingkari dan mencela mereka yang tidak ikut berjihad dan enggan melakukannya.

"86. Dan apabila diturunkan satu surah" 

Ada yang mengatakan, bahawa maksudnya adalah surah At Taubah ini. Apabila diturunkan surah yang memerintahkan kepada orang yang munafik itu,

"bahawa, "Berimanlah kepada Allah dan berjihadlah bersama RasulNya," minta izin kepadamu orang-orang yang mempunyai kesanggupan di antara mereka"

Orang-orang yang kaya, berkemampuan, berpengaruh, mempunyai keluasan dan biaya di antara mereka meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. untuk tidak berangkat berjihad.

"dan mereka berkata, "Biarkanlah kami menjadi bersama orang-orang yang duduk.""

Mereka meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. untuk tidak ikut dan diperbolehkan duduk di tempat tinggalnya bersama orang-orang yang tidak ikut berperang dari kalangan orang-orang yang beruzur, seperti orang-orang yang lemah dan orang yang sakit menahun.

"87. Mereka rela dengan mereka berada bersama orang-orang yang tinggal" 

Mereka rela diri mereka mendapat keaiban kerana duduk di negeri, tidak ikut berperang dan  berada bersama orang-orang yang tidak pergi berperang, iaitu wanita-wanita, kanak-kanak, orang-orang lemah, orang-orang yang sakit dan orang-orang yang sudah tua, setelah pasukan kaum muslim berangkat.

Apabila peperangan terjadi, maka mereka adalah orang yang paling pengecut. Apabila keadaan telah aman, maka mereka adalah orang-orang yang paling banyak bicara. Kerana kemunafikan mereka dan kerana apa yang ada dalam hati mereka berupa penyakit, keraguan, dan sifat pengecut sehingga membuat mereka gembira meninggalkan Rasulullah s.a.w.

"dan ditutup hati mereka, maka mereka tidak mengerti." 

Hati mereka yang telah tertutup dan dikunci mati. Hal itu disebabkan mereka membangkang, tidak mahu berjihad dan tidak mahu berangkat berperang bersama Rasulullah s.a.w. di jalan Allah.

Maka mereka tidak mengetahui dan tidak memahami kebahagiaan beriman dan berjihad. Mereka tidak mengerti apa yang mengandung kemaslahatan bagi diri mereka yang kerananya lalu mereka mengerjakannya. Mereka juga tidak mengetahui apa yang membahayakan diri mereka, yang kerananya lalu mereka menghindarinya.

Jika orang-orang munafik itu enggan berjihad, maka sesungguhnya Allah tidak perlu kepada mereka, dan Allah memiliki hamba-hamba pilihanNya yang bersedia mengemban tugas itu. Dia berfirman menjelaskan pujianNya kepada orang-orang mukmin serta menyebutkan tempat kembali mereka kelak di hari kemudian,

"88. Akan tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berjihad dengan harta mereka dan diri mereka. 

Akan tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka.

"Dan mereka itulah bagi mereka kebaikan"

Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan yang banyak; baik di dunia maupun di akhirat.

"dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." 

Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan dan apa yang mereka cita-citakan, iaitu di hari kemudian nanti, di syurga Firdaus dan kedudukan-kedudukan yang tinggi.

"89. Allah telah menyediakan bagi mereka syurga-syurga mengalir dari bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar." 

Allah telah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang agung. Oleh kerana itu, rugilah bagi mereka yang tidak menginginkan seperti yang mereka inginkan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...