Khamis, 12 Mac 2020

10:90-93 Tafsir Surah Yunus, ayat 90-93.

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنْتُ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٩٠) آلآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ (٩١) فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ (٩٢) وَلَقَدْ بَوَّأْنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ مُبَوَّأَ صِدْقٍ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ فَمَا اخْتَلَفُوا حَتَّى جَاءَهُمُ الْعِلْمُ إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (٩٣) 

Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Musa a.s. untuk membawa pergi Bani Israil di malam hari dan memberitahukan, bahawa mereka akan diikuti.

Kemudian Fir’aun mengirimkan orang ke kota-kota untuk mengumpulkan bala tenteranya.

Fir’aun berkata, “Sesungguhnya mereka (Bani Israil) hanya sekelompok kecil. Sesungguhnya mereka telah berbuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita, dan sesungguhnya kita semua tanpa kecuali harus selalu waspada.”

Maka bala tenteranya berkumpul, yang tinggal jauh dari kerajaan maupun yang dekat, dan mereka bersama-sama mengejar Bani Israil untuk menzalimi dan menindasnya.

Lalu Fir’aun dan bala tenteranya dapat menyusul Bani Israil di waktu matahari terbit.

Ketika kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, “Kita benar-benar akan tersusul.”

Musa a.s. menjawab, “Sekali-kali tidak akan tersusul, sesungguhnya Tuhanku bersamaku dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.”

Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepada Musa a.s. untuk memukulkan tongkatnya ke laut, maka terbelahlah lautan itu menjadi dua belas jalan, kemudian Bani Israil melintasinya, lalu Fira’aun dan bala tenteranya ikut melintasinya.

Ketika Musa a.s. dan kaumnya berjaya melintasi lautan, sedangkan Fir’aun dan bala tenteranya di dalamnya, Allah s.w.t. memerintahkan laut menyatu sehingga tenggelamlah mereka semua, sedangkan Bani Israil menyaksikannya.

"90. Dan Kami seberangkan Bani Israil ke laut, maka mengikuti mereka Fir’aun dan bala tenteranya, untuk menganiaya dan memusuhinya;" 

Kami memungkinkan atau selamatkan Bani Israil melintasi laut, kemudian mereka diikuti oleh Fir’aun dan bala tenteranya, kerana hendak menzalimi dan menindas mereka.

"sehingga apabila menjemputnya tenggelam, dia berkata, "Aku percaya bahawasanya tidak ada Tuhan kecuali yang mempercayai kepadanya Bani Israil dan aku termasuk orang-orang muslim.""

Sehingga ketika Fir'aun merasa hampir tenggelam, dia berkata, "Aku percaya bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri kepada Allah.”

Ditambahkan kata-kata “dan aku termasuk orang-orang muslim” agar pengakuannya diterima, namun tetap tidak diterima. Allah s.w.t. berfirman menjawab kata-kata Fir'aun tersebut,

"91. Mengapa baru sekarang, dan sungguh kamu telah derhaka sebelumnya" 

Baru sekarang kamu percaya, padahal sesungguhnya kamu telah derhaka terhadap Allah sejak dahulu. Ketika keadaan seperti ini, iman tidaklah bermanfaat, kerana keimanan ketika ini seperti beriman kepada yang nyata, padahal beriman hanyalah bermanfaat sewaktu masih ghaib.

"dan kamu termasuk orang-orang yang membuat kerosakan?" 

Kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi dengan kesesatanmu dan menyesatkan orang lain.

Kisah yang diceritakan oleh Allah s.w.t. tentang Fir'aun ini merupakan salah satu dari berita ghaib yang diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada RasulNya s.a.w.

"92. Maka pada hari ini Kami selamatkan kamu dengan badan kamu" 

Maka pada hari ini Kami selamatkan badan atau jasadmu. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa sebahagian Bani Israil masih meragukan kematian Fir’aun, maka Allah s.w.t. memerintahkan kepada laut agar mencampakkan tubuh Fir'aun secara utuh tanpa roh dengan memakai baju besinya yang terkenal itu ke daratan yang tinggi agar mereka dapat mencari kebenaran atas kematiannya.

Menurut sejarah, mayat Fir'aun kemudian terdampar di pantai dan ditemukan oleh orang-orang Mesir lalu diawet, sehingga tetap utuh sampai sekarang dan dapat dilihat di musium Mesir.

"agar kamu menjadi bagi orang setelah kamu pelajaran," 

Supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu, iaitu agar mereka tidak mengikuti jejak langkahmu, agar kamu dapat menjadi bukti bagi kaum Bani Israil bahawa kamu telah mati dan binasa; dan bahawa Allah, Dialah Yang Mahakuasa yang semua jiwa makhluk hidup berada di dalam genggaman kekuasaanNya, dan tidak ada sesuatu pun yang dapat bertahan di hadapan kemurkaanNya.

"dan sungguh banyak dari manusia terhadap ayat-ayat Kami mereka lalai." 

Tetapi sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. Ayat-ayat Allah begitu banyak dan disaksikan manusia, namun mereka tidak mahu mengindahkannya. Mereka tidak mengambil pelajaran dan peringatan darinya.

Adapun mereka yang memiliki akal dan hati yang terjaga, maka mereka melihat ayat-ayat itu sebagai bukti nyata kebenaran yang dibawa oleh para rasul.

Kebinasaan Fir'aun bersama kaumnya terjadi pada hari 'Asyura. Ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, orang-orang Yahudi melakukan puasa di hari 'Asyura. Maka Nabi s.a.w. bertanya, "Hari apakah sekarang yang kalian melakukan puasa padanya?" Mereka menjawab, "Hari ini adalah hari kemenangan Musa atas Fir'aun." Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya, "Kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka, maka puasalah kalian pada hari ini."

Allah s.w.t. menceritakan perihal nikmat agama dan duniawi yang telah Dia limpahkan kepada kaum Bani Israil,

"93. Dan sungguh kami tempatkan Bani Israil ditempat yang baik" 

Sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di tempat kediaman yang bagus, iaitu kota-kota di negeri Mesir dan negeri Syam yang terletak di sekitar Baitul Maqdis dan kawasan sekelilingnya.

Allah menempatkan Bani Israil di tempat kediaman Fir’aun dahulu dan mewariskannya untuk mereka. Sesungguhnya Allah s.w.t. setelah membinasakan Fir'aun dan bala tenteranya, maka kekuasaan negeri-negeri Mesir seluruhnya berada di tangan Musa a.s.

"dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik." 

Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik, iaitu rezeki yang halal lagi baik, bermanfaat serta dinilai baik untuk keperluan tubuh dan agama.

"Maka tidak mereka berselisih hingga datang kepada mereka ilmu." 

Maka mereka tidak berselisih, iaitu dalam hal kebenaran atau dalam sesuatu masalah, kecuali setelah datang kepada mereka pengetahuan yang tersebut dalam Taurat yang sepatutnya menjadikan mereka bersatu. Sebenarnya mereka tidak sepatutnya berselisih pendapat kerana Allah telah menjelaskan kepada mereka dan menghapuskan dari mereka semua kekeliruan.

Akan tetapi sebahagian mereka dengki kepada sebahagian yang lain, dan sebahagian besar mereka mempunyai hawa nafsu dan tujuan masing-masing yang menyelisihi kebenaran sehingga timbullah perselisihan yang besar. Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa orang-orang Yahudi berpecah belah menjadi tujuh puluh satu golongan

Inilah penyakit yang menimpa para pemeluk agama yang sahih (Islam), iaitu syaitan ketika tidak berjaya membuat manusia mengikutinya dengan meningalkan agama secara keseluruhan, maka ia menaburkan benih perselisihan, mengadakan permusuhan dan kebencian antara sesama mereka sehingga terjadilah perselisihan, dan terjadilah penyesatan satu pihak kepada pihak lain dan permusuhan sehingga syaitan semakin gembira.

Padahal Tuhan mereka satu, agama mereka satu, rasul mereka satu dan maslahatnya pun satu, maka kerana alasan apa mereka berselisih sehingga kesatuan mereka terpecah dan ikatan mereka terputus, sehingga maslahat agama maupun dunia luput dan menjadi mati sebahagiannya kerana perselisihan itu.

"Sesungguhnya Tuhanmu memutuskan di antara mereka pada hari kiamat terhadap apa yang dahulu di dalamnya perselisihkan."

Sesungguhnya Tuhan kamu akan memberi keputusan peradilan di antara mereka pada hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu dengan hukumNya yang adil yang muncul dari pengetahuanNya yang sempurna serta kekuasaanNya yang merata.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...