Ahad, 17 Mei 2020

39:6-8 Tafsir Surah Az Zumar, ayat 6-8.

خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِنَ الأنْعَامِ ثَمَانِيَةَ أَزْوَاجٍ يَخْلُقُكُمْ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ خَلْقًا مِنْ بَعْدِ خَلْقٍ فِي ظُلُمَاتٍ ثَلاثٍ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ (٦) إِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنْكُمْ وَلا يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ وَإِنْ تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (٧) وَإِذَا مَسَّ الإنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَنْدَادًا لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلا إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ (٨)

Allah s.w.t. berfirman, 

"6. Dia menciptakan kalian dari diri yang satu," 

Termasuk keperkasaan Allah juga, Dia menciptakan kalian wahai semua manusia dengan berbagai macam jenis, bahasa, warna kulit dari diri yang satu, iaitu Adam a.s. 

"kemudian Dia jadikan darinya pasangannya" 

Kemudian Dia jadikan darinya isterinya, iaitu Hawa dari tulang rusuk Adam, agar Beliau (Adam) merasa tenteram dan tenang dengannya, dan kenikmatan pun menjadi sempurna dengannya.

"dan Dia menurunkan untuk kalian dari binatang ternak lapan, pasangan." 

Dia menurunkan untuk kalian samaniyata azwaj atau lapan ekor haiwan ternak yang berpasangan, iaitu sepasang unta, sepasang lembu, sepasang kambing dan sepasang biri-biri. 

Disebutkan haiwan ternak secara khusus padahal Dia telah menurunkan berbagai maslahat untuk hamba-hambaNya baik berupa haiwan maupun lainnya kerana banyak manfaat haiwan ternak itu, meratanya maslahatnya, dan kerana keutamaannya.

Di samping itu, haiwan ternak itu (unta, sapi dan kambing) dikhususkan dengan hal-hal tertentu, seperti untuk korban, hadyu, aqiqah, terkena zakat, dan dalam hal diat (denda). Kemudian Dia menyebutkan awal penciptaan manusia.

"Dia menciptakan kalian dalam perut-perut ibu-ibu kalian ciptaan sesudah penciptaan dalam kegelapan tiga." 

Dia menetapkan kejadian kalian dalam perut ibu kalian kejadian demi kejadian. Iaitu dari nutfah (mani) menjadi 'alaqah (segumpal darah), lalu menjadi segumpal daging. Kemudian memberi bentuk dalam rupa daging, tulang, dan otot-otot serta urat-urat, lalu ditiupkan roh ke dalam tubuh kalian sehingga jadilah kalian makhluk yang berbentuk lain.

Ketika itu tidak ada tangan manusia yang menyentuh dan tidak ada mata mereka yang melihat, Dia yang mengurus kalian di tempat yang sempit itu. Tiga kegelapan itu ialah kegelapan dalam perut, kegelapan dalam rahim, dan kegelapan dalam pelapis ari-ari atau selaput yang menjaga bayi dalam rahim.

"Demikianlah Allah Tuhan kalian, bagiNya kerajaan." 

Yang berbuat demikian, iaitu yang telah menciptakan langit, bumi, dan segala sesuatu yang ada di antara keduanya, menundukkan matahari dan bulan, menciptakan kalian dan menciptakan haiwan ternak serta berbagai kenikmatan untuk kalian itu adalah Allah,Tuhan kalian, Tuhan yang mempunyai kerajaan. Dia Tuhan Yang memiliki dan Yang mengatur kesemuanya itu.

Oleh kerana tidak ada sekutu dalam rububiyyahNya (Dia sendiri yang mengatur alam semesta), maka tidak ada sekutu juga dalam uluhiyyahNya (Dia saja yang berhak diibadahi).

"Tidak ada Tuhan kecuali Dia;" 

Tidak ada tuhan yang wajib dan berhak disembah selain Dia. Iaitu ibadah itu hanyalah ditujukan kepadaNya semata, tiada sekutu bagiNya.

"maka bagaimana kalian dipalingkan?"

Maka mengapa kalian dapat dipalingkan dari beribadah hanya kepadaNya menuju beribadah kepada selainNya di samping menyembah Dia? 

"7. Jika kamu ingkar, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari kalian"

Jika kalian kafir, ketahuilah maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari selainNya, iaitu dari semua makhluk. Dia tidak memerlukan iman kalian. Manusia baik beriman atau tidak, maka tidak merugikan Allah sedikit pun, sebagaimana taat mereka juga tidak memberikan manfaat untukNya, bahkan manfaatnya kembalinya untuk mereka sendiri. Perintah dan laranganNya kepada mereka adalah murni kurniaNya dan ihsanNya kepada mereka.

"dan tidak ridha kepada hamba-hambaNya ingkar." 

Dia tidak menyukai kekafiran bagi hamba-hambaNya. Iaitu Allah tidak menyukai kekufuran dan tidak memerintahkannya. Kerana sempurnanya ihsanNya kepada mereka, dan kerana Dia tahu bahawa kekafiran akan membuat mereka celaka dan tidak akan bahagia setelahnya. Di samping itu, kerana Dia menciptakan mereka untuk beribadah kepadaNya.

"Dan jika kalian bersyukur, Dia meridhainya bagi kalian." 

Jika kalian bersyukur, iaitu dengan mentauhidkanNya dan mengikhlaskan ibadah keranaNya, Dia meridhai kesyukuran kalian itu. iaitu menyukai kalian jika bersyukur dan Dia akan menambahkan kepada kalian sebahagian dari kemurahanNya. Demikian itu kerana sayangNya kepada kalian, dan kerana kecintaanNya untuk berbuat ihsan kepada kalian dan kerana kalian telah mengerjakan tujuan yang kerananya kalian diciptakan.

Oleh kerana syirik dan kekafiran kalian tidak merugikanNya, dan Dia tidak mengambil manfaat dengan amalmu, maka masing-masing kalian untuknya amalnya, baik atau buruk. 

"Dan tidak dapat memikul dosa seseorang yang berdosa dosa yang lain." 

Seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain, bahkan masing-masing memikul dosanya sendiri-sendiri. Iaitu seseorang tidak dapat menanggung sesuatu dari orang lain barang sedikit pun, bahkan setiap orang yang dimintai pertanggung-jawaban hanyalah ditanyai tentang urusan dirinya saja. 

"Kemudian Tuhan kalian tempat kembali kalian, lalu Dia menerangkan pada kalian sebab kalian kerjakan." 

Kemudian kepada Tuhan kalianlah kembali kalian pada hari Kiamat. Lalu Dia memberitahukan kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan sesuai ilmuNya yang meliputi segala sesuatu, sesuai yang tercatat oleh penaNya, sesuai yang tercatat oleh para malaikat hafazhah (para penjaga manusia) yang mulia dan sesuai yang disaksikan oleh anggota badan, kemudian Dia akan memberi balasan masing-masingnya dengan balasan yang sesuai.

"Sungguh, Dia Maha Mengetahui dengan isi dada."

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang tersimpan dalam dada kalian baik atau buruk. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah s.w.t. Maksud ayat ini adalah memberitakan pembalasanNya yang sangat adil.

Allah s.w.t. memberitahukan tentang kemurahan, ihsan dan kebaikanNya kepada hambaNya, namun sedikit sekali rasa syukur hambaNya. 

"8. Dan apabila ditimpa manusia bahaya, dia berdoa Tuhannya kembali kepadaNya;"

Apabila manusia ditimpa bencana atau kemudaratan, seperti sakit, kemiskinan, terdesak, ditimpa bahaya di tengah laut dan sebagainya, dia mengetahui bahawa tidak ada yang dapat menyelamatkannya selain Allah ‘Azza wa Jalla, Dia berendah diri berdoa memohon pertolongan kepada Allah semata, tiada sekutu bagiNya, dan dia kembali taat kepadaNya. 

"kemudian apabila Dia memberinya nikmat darinya, dia lupa apa yang dia berdoa kepadaNya sebelumnya," 

Akan tetapi apabila Allah memberikan nikmat kepadanya dengan menghilangkan bencana dan deritanya, dia melupakan hal itu dan seakan-akan dia belum pernah ditimpa bencana, dia lupa bahawa dia pernah berdoa kepada Allah sebelum itu. 

"dan dia menjadikan bagi Allah sekutu-sekutu untuk menyesatkan dari jalanNya." 

Dia tetap di atas syiriknya. Diadakannya sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan dirinya dan orang lain dari jalan Allah. Iaitu dalam keadaan sejahtera dia mempersekutukan Allah menjadikan bagiNya tandingan-tandingan.

"Katakanlah, "Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu sedikit. Sesungguhnya kamu termasuk penghuni api neraka.""

Katakanlah kepada orang yang derhaka dan tidak bersyukur ini, serta mengganti nikmat Allah dengan kekufuran, "Bersenang-senanglah kamu dengan kekafiranmu itu untuk sementara waktu. Sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka.”

Iaitu tidaklah berguna bagimu sikapmu bersenang-senang dengan kekafiran jika kembalimu akhirnya ke neraka. Ini merupakan ancaman yang keras dan janji yang pasti.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...