Ahad, 17 Mei 2020

76:1-4 Tafsir Surah Al Insan, ayat 1-4.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

هَلْ أَتَى عَلَى الإنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا (١) إِنَّا خَلَقْنَا الإنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا (٢) إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا (٣) إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ سَلاسِلا وَأَغْلالا وَسَعِيرًا (٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang manusia, 

"1. Apakah datang atas manusia waktu dari masa, tidak menjadi sesuatu yang disebut?" 

Bukankah pernah datang kepada manusia satu waktu dari masa, yang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Iaitu telah berlalu atas manusia masa yang panjang iaitu sebelum dia terwujud, sedangkan dia dalam keadaan tidak ada, bahkan tidak dapat disebut-sebut kerana terlalu hina dan sangat lemah.

Kemudian ketika Allah s.w.t. hendak menciptakan manusia, Dia menciptakan bapa mereka, iaitu Adam dari tanah, kemudian menjadikan keturunannya secara berturut-turut dari mani yang bercampur, iaitu air yang hina dan dipandang kotor.

"2. Sungguh Kami menciptakan manusia dari nutfah bercampur" 

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur baur. Al masyju dan al masyij ertinya sesuatu yang sebahagian darinya bercampur baur dengan sebahagian yang lain.

Al amsyaj ertinya bercampurnya air mani (benih) lelaki dan air mani (benih) perempuan. Kemudian tahap demi tahap berubah dari suatu keadaan kepada keadaan yang lain dan dari suatu bentuk ke bentuk yang lain.

"Kami mengujinya," 

Kami hendak mengujinya atau mencobanya dengan perintah dan larangan. Ada yang menafsirkan mengujinya dengan asal penciptaannya, iaitu dari mani. Iaitu agar Kami mengetahui secara nyata adakah dia ingat kepada keadaan pertamanya dan sedar akhirnya mengikuti kebenaran dan tidak sombong ataukah dia lupa sehingga terpedaya oleh dirinya.

"maka Kami jadikan dia mendengar melihat." 

Kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Iaitu Kami menjadikan untuknya pendengaran dan penglihatan sebagai sarana baginya untuk melakukan ketaatan atau kederhakaan.

Allah s.w.t. mewujudkannya, menciptakan kemampuan luar dan dalam seperti pendengaran dan penglihatan serta anggota badan yang lain, lalu Allah menyempurnakannya dan menjadikannya tidak cacat sehingga ia dapat mencapai maksudnya. 

Kemudian Allah s.w.t. mengutus rasul dan menurunkan kitab kepadanya untuk menunjukkan jalan kepada Allah, mendorongnya serta memberitahukan tentang apa yang akan diperolehnya ketika sampai kepada Allah. 

Allah juga memberitahukan jalan yang mengarah kepada kebinasaan, menakut-nakutinya dan memberitahukan tentang apa yang akan didapatkannya ketika jalan itu ditempuhnya. Dia menguji manusia dengan dua jalan itu. 

Maka manusia terbahagi menjadi dua; ada yang bersyukur kepada nikmat Allah itu sehingga dia pun melaksanakan hak-hakNya yang dibebankan kepadanya, dan ada juga yang kufur kepada nikmat Allah itu baik nikmat agama maupun dunia, dia menolaknya, kafir kepada Tuhannya dan malah menempuh jalan yang mengarah kepada kebinasaan.

"3. Sungguh Kami tunjuki dia jalan," 

Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus dengan menurunkan kitab dan mengutus para rasul. Iaitu Kami terangkan kepadanya, dan Kami jelaskan kepadanya dan Kami jadikan dia dapat melihatnya. Ada yang menafsirkan, Kami terangkan kepadanya jalan kebaikan dan jalan keburukan.

"terkadang bersyukur, dan terkadang kufur." 

Ada yang bersyukur, iaitu beriman, dan ada juga yang kufur. Maka dia dalam hal ini ada yang berbahagia kerana dia bersyukur dan ada yang celaka kerana dia kafir.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semua orang akan pergi, maka apakah dia menjual dirinya yang bererti membinasakannya ataukah memerdekakannya?" 

Nabi s.a.w. bersabda kepada Ka'b ibnu Ujrah, "Semoga Allah melindungimu dari kekuasaan orang-orang yang kurang akalnya." Ka'b ibnu Ujrah bertanya, "Apakah yang dimaksud dengan kekuasaan orang-orang yang kurang akalnya?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Para penguasa yang berada sesudahku, mereka tidak memakai petunjuk dengan petunjukku, dan tidak memakai tuntunan dengan tuntunanku. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu perbuatan aniaya mereka, orang tersebut bukan termasuk golonganku, dan aku bukan termasuk golongan mereka, dan mereka tidak akan dapat mendatangi telagaku. Dan barang siapa yang tidak membenarkan kedustaan mereka dan tidak membantu perbuatan aniaya mereka, maka dia termasuk golonganku dan aku termasuk golongannya, dan mereka akan mendatangi telagaku. Hai Ka'b ibnu Ujrah, puasa adalah benteng, sedangkan sedekah dapat menghapuskan kesalahan (dosa), dan solat adalah amal pendekatan diri (atau bukti). Hai Ka'b ibnu Ujrah, sesungguhnya tidak dapat masuk syurga daging yang ditumbuhkan dari makanan yang haram, dan nerakalah yang lebih layak baginya. Hai Ka'b, manusia itu ada dua macam; maka ada yang membeli dirinya yang bererti memerdekakannya, dan ada yang menjual dirinya yang bererti membinasakannya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah hingga lisannya dapat berbicara; adakalanya dia bersyukur dan adakalanya dia pengingkar." 

Nabi s.a.w. bersabda, "Tiada seorang pun yang keluar melainkan pada pintu rumahnya ada dua bendera; satu bendera di tangan malaikat dan satu bendera lainnya di tangan syaitan. Maka jika dia keluar untuk mengerjakan hal yang disukai oleh Allah, dia diikuti oleh malaikat dengan benderanya, dan dia terus-menerus berada di bawah bendera malaikat sampai pulang ke rumahnya. Dan jika dia keluar untuk melakukan hal yang dimurkai oleh Allah, syaitanlah yang mengikutinya dengan benderanya, dan dia terus-menerus berada di bawah bendera syaitan sampai pulang ke rumahnya."

"4. Sungguh, Kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai-rantai, dan belenggu-belenggu, dan neraka Sa'ir." 

Bagi orang-orang kafir kepada Allah, mendustakan rasul-rasulNya dan berani berbuat maksiat, Allah menyediakan rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala. Mereka dibelit dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. Tangan mereka dibelenggu ke leher dengan belenggu-belenggu itu. Neraka yang menyala-nyala dengan hebatnya membakar badan mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...