Sabtu, 2 Mei 2020

51:1-14 Tafsir Surah Az Zariyat, ayat 1-14.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالذَّارِيَاتِ ذَرْوًا (١) فَالْحَامِلاتِ وِقْرًا (٢) فَالْجَارِيَاتِ يُسْرًا (٣) فَالْمُقَسِّمَاتِ أَمْرًا (٤) إِنَّمَا تُوعَدُونَ لَصَادِقٌ (٥) وَإِنَّ الدِّينَ لَوَاقِعٌ (٦) وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْحُبُكِ (٧) إِنَّكُمْ لَفِي قَوْلٍ مُخْتَلِفٍ (٨) يُؤْفَكُ عَنْهُ مَنْ أُفِكَ (٩) قُتِلَ الْخَرَّاصُونَ (١٠) الَّذِينَ هُمْ فِي غَمْرَةٍ سَاهُونَ (١١) يَسْأَلُونَ أَيَّانَ يَوْمُ الدِّينِ (١٢) يَوْمَ هُمْ عَلَى النَّارِ يُفْتَنُونَ (١٣) ذُوقُوا فِتْنَتَكُمْ هَذَا الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تَسْتَعْجِلُونَ (١٤)

Ayat ini adalah sumpah dari Allah yang Mahabenar ucapanNya dengan makhluk-makhlukNya yang Allah jadikan padanya terdapat maslahat dan manfaat bagi manusia, untuk menerangkan bahawa janjiNya adalah benar, hari pembalasan pasti terjadi dan tidak ada yang dapat menghalanginya.

Yang memberitakannya adalah Tuhan Yang Mahabenar ucapanNya dan Dia bersumpah terhadapnya, Dia juga telah menegakkan dalil dan bukti-buktinya, maka tidak sepatutnya orang-orang yang mendustakan masih mendustakannya dan berpaling dengan tidak beramal untuknya.

"1. Demi yang menerbangkan debu." 

Demi angin yang menerbangkan debu dengan sekuat-kuatnya.

"2. Dan awan dengan berat." 

Dan awan yang mengandung hujan. Dengannya, Allah s.w.t. memberikan manfaat kepada negeri dan hamba.

"3. Dan kapal-kapal yang berlayar dengan mudah." 

Di antara mufassir ada yang menafsirkan Al Jaariyat di ayat ini dengan bintang-bintang yang beredar secara mudah, menghiasi langit dan dipakai petunjuk di kegelapan baik di darat maupun di laut dan dapat diambil pelajaran daripadanya.

"4. Dan yang membahagi-bahagi urusan." 

Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagi urusan makhluk yang diperintahkan kepadanya dengan izin Allah, seperti perjalanan bintang-bintang, mengurus hujan, rezeki dan sebagainya.

"5. Sungguh apa yang dijanjikan pada kalian pasti benar." 

Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti berita yang benar dan pasti terjadi.

"6. Dan sungguh, pembalasan pasti terjadi." 

Sesungguhnya hari pembalasan setelah hisab pasti terjadi. Ad din bermaksud hari pembalasan. Hari tersebut benar-benar akan terjadi dan pasti terjadinya.

"7. Demi langit mempunyai jalan-jalan." 

Demi langit yang mempunyai jalan-jalan. Maksudnya adalah orbit bintang-bintang dan planet-planet.

"8. Sungguh kalian benar-benar dalam perkataan yang berbeda-beda." 

Sesungguhnya kalian, wahai orang-orang yang mendustakan Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar dalam keadaan berbeda-beda pendapat, berselisih, kacau, tidak rukun dan tidak bersatu.

Kaum musyrik berbeda pendapat tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan Al Quran. Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa Beliau adalah penyair, ada yang mengatakan bahawa Beliau pesihir, ada yang mengataan bahawa Beliau seorang dukun, dan ada yang mengatakan bahawa Beliau sebagai orang gila.

Sedangkan terhadap Al Qur’an, mereka benar-benar berada dalam kekacauan pendapat antara membenarkan dan mendustakannya. Mereka menyebutnya sebagai syair, sihir atau perdukunan.

Perbedaan pendapat mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan Al Qur’an menunjukkan bahawa mereka berada dalam keraguan dan kebimbangan, dan bahawa apa yang mereka pegang adalah batil.

Sebaliknya, kebenaran (Al Qur’an) yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w., yang satu dengan yang lain saling membenarkan, tidak berbeda dan tidak bertentangan. Hal ini menunjukkan kebenarannya dan bahawa ia berasal dari sisi Allah ‘Azza wa Jalla.

Oleh kerana itu, Dia berfirman, “Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? kalau sekiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.” (An Nisa’ 4:82)

"9. Dipalingkan darinya siapa yang dipalingkan." 

Dipalingkan dari Rasul dan Al Qur'an orang yang dipalingkan dari hidayah atau dari beriman dalam ilmu Allah s.w.t. Iaitu disesatkan, dijauhkan dan dipalingkan darinya orang yang disesatkan, dijauhkan dan mendustakannya.

Sesungguhnya yang termakan hanyalah orang yang memang dirinya ditakdirkan sesat. Kerana yang dikatakan adalah hal yang batil, dan yang termakan olehnya hanyalah orang yang memang ditakdirkan sesat lagi tidak mempunyai pengertian.

"10. Terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta." 

Binasalah mereka yang berbeda-beda pendapat itu, yang ragu-ragu, atau yang berdusta terhadap Allah, mengingkari ayat-ayatNya, menyibukkan dengan hal yang batil untuk menolak kebenaran dan berkata terhadap Allah apa yang mereka tidak ketahui.

Kharras bermaksud orang yang pendusta. Kharrasun bermaksud orang-orang yang mengatakan bahawa kami tidak akan dibangkitkan, mereka tidak mempercayai adanya hari berbangkit. Ada yang mengatakan, kharrasun bermaksud orang-orang yang lalai dan berprasangka buruk.

"11. Orang-orang yang mereka dalam kebodohan dari kelalaian." 

Iaitu orang-orang yang terbenam dalam kebodohan lagi lalai terhadap akhirat. Mereka tenggelam dalam kekafiran, keraguan, kelalaian, dan kealpaannya.

"12. Mereka bertanya, "Bilakah hari pembalasan?""

Mereka bertanya, "Bilakah hari pembalasan itu?" Sesungguhnya mereka menanyakan hal ini hanyalah semata-mata kerana ketidakpercayaan mereka dengan adanya hari pembalasan itu. Mereka ragu-ragu, mendustakannya, mengingkarinya, meragukannya, dan menganggapnya mustahil.

"13. Hari mereka di atas neraka diazab." 

Hari pembalasan itu adalah hari ketika mereka diazab di dalam api neraka. Yuftanuna bermaksud mereka diazab, sebagaimana emas dibakar dalam api (kemasan). Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah mereka dibakar. Dikatakan kepada mereka,

"14. Rasakanlah siksaan kalian. Inilah yang kalian dengannya minta disegerakan." 

Rasakanlah azab atau siksaan yang membakar kalian ini. Inilah azab yang dahulu kalian minta supaya disegerakan.

Dikatakan hal ini kepada mereka sebagai kecaman, cemuhan, dan penghinaan terhadap mereka. Mereka semasa di dunia meminta ia disegerakan sebagai olok-olokkan terhadapnya. Maka pada hari itu, mereka bersenang-senang dengan berbagai macam azab dan siksaan, dengan belenggu dan rantai, dengan kemurkaan dan bencana. Hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...