Sabtu, 2 Mei 2020

45:16-19 Tafsir Surah Al Jasiyah, ayat 16-19.

وَلَقَدْ آتَيْنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ (١٦) وَآتَيْنَاهُمْ بَيِّنَاتٍ مِنَ الأمْرِ فَمَا اخْتَلَفُوا إِلا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (١٧) ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الأمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ (١٨) إِنَّهُمْ لَنْ يُغْنُوا عَنْكَ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَإِنَّ الظَّالِمِينَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُتَّقِينَ (١٩)

Allah s.w.t. menyebutkan tentang nikmat-nikmat yang telah Dia berikan kepada kaum Bani Israil,

"16. Dan sungguh Kami berikan Bani Israil Al Kitab dan hukum dan kenabian"

Sesungguhnya telah Kami berikan Taurat kepada Bani Israil, kekuasaan dan kenabian, iaitu Kami telah memberi berbagai nikmat kepada Bani Israil yang tidak diberikan kepada bangsa yang lain; Kami beri mereka kitab, iaitu Taurat dan Injil, kekuasaan terhadap manusia, dan kenabian. Oleh kerana itu, ramai para nabi yang berasal dari Bani Israil.

"dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik"

Kami anugerahkan kepada mereka rezeki yang baik, seperti makanan, minuman, pakaian, manna dan salwa.

"dan Kami lebihkan mereka di atas seluruh alam."

Kami lebihkan mereka atas bangsa-bangsa pada masanya, iaitu di zaman mereka.

"17. Dan Kami berikan kepada mereka keterangan-keterangan urusan;"

Kami berikan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata tentang agama, iaitu alasan-alasan, keterangan-keterangan, dan bukti-bukti yang nyata, tentang yang halal dan yang haram dan tentang pengutusan Nabi Muhammad s.a.w., sehingga tegaklah alasan-alasan Allah terhadap mereka.

Ayat ini boleh juga diertikan dengan, “Dan Kami berikan kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas dari perkara (qadari).” Iaitu yang Allah s.w.t. sampaikan kepada mereka. Keterangan yang jelas ini adalah mukjizat-mukjizat yang mereka lihat di tangan Musa a.s.

Nikmat-nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada Bani Israil ini menghendaki mereka mengikuti yang hak secara sempurna dan berkumpul di atas yang hak yang telah Allah terangkan kepada mereka, akan tetapi kenyataannya berbeda, mereka malah melakukan sebaliknya; mereka berpecah belah dalam hal yang mereka diperintahkan untuk berkumpul di atasnya.

"maka mereka tidak berselisih kecuali setelah apa yang datang kepada mereka ilmu kedengkian di antara mereka."

Ilmu yang datang kepada mereka menghendaki mereka agar tidak berselisih, tetapi mereka  berselisih tentang urusan agama itu setelah datang pengetahuan kepada mereka atau sesudah tegaknya hujah (alasan), kerana kedengkian dan kezaliman yang ada di antara mereka, seperti kedengkian mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w.

"Sesungguhnya Tuhanmu akan memutuskan di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang dahulu mereka di dalamnya berselisih."

Sesungguhnya Tuhanmu akan memberi putusan kepada mereka pada hari kiamat terhadap apa yang mereka selalu perselisihkan. Allah akan memutuskan di antara mereka dengan hukumNya yang adil dan Dia akan memisahkan yang hak dengan yang batil. Janganlah kalian menempuh jalan mereka dan jangan mengikuti cara mereka.

"18. Kemudian Kami jadikan kamu atas suatu syariat dari urusan itu,"

Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu peraturan dari agama itu. Iaitu kemudian Kami mensyariatkan kepadamu syariat yang sempurna yang mengajak kepada semua kebaikan dan melarang semua keburukan yang berasal dari perintah Kami yang syar’i.

"maka ikutilah dia"

Maka ikutilah syariat itu. Iaitu ikutilah apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tidak ada Tuhan yang wajib disembah selain Dia, kerana dengan mengikutinya seseorang akan bahagia, baik dan beruntung, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.

"dan janganlah kamu mengikuti keinginan orang-orang yang tidak mengetahui."

Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. Iaitu mereka yang keinginannya tidak mengikuti ilmu dan tidak berjalan di belakangnya. Mereka ini adalah orang-orang yang hawa nafsunya tidak sejalan dengan syariat Rasulullah s.a.w.

"19. Sesungguhnya mereka tidak dapat menolak dari kamu dari Allah sedikit pun."

Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menghindarkan dari kamu sedikit pun dari azab atau siksaan Allah. Iaitu mereka tidak bermanfaat bagimu di sisi Allah; mereka tidak dapat memberikan kebaikan kepadamu dan tidak dapat menghindarkan keburukan darimu jika kamu mengikuti keinginan mereka.

Oleh kerana itu, kamu tidak patut sejalan dan sepakat dengan mereka kerana kamu dan mereka berbeda, sedangkan mereka menjadi pelindung antara sesama mereka.

"Dan sungguh, orang-orang yang zalim sebahagian mereka pelindung sebahagian yang lain."

Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Iaitu tiada bermanfaat bagi mereka pertolongan sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain; kerana sesungguhnya tiada yang mereka dapat selain dari kerugian, kehancuran, dan kebinasaan.

"Dan Allah pelindung orang-orang yang bertakwa."

Sedang Allah adalah pelindung bagi orang-orang yang bertakwa. Dialah Yang mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju ke cahaya disebabkan ketakwaan mereka, dan orang-orang kafir yang menjadi penolong mereka adalah thaghut (sembahan-sembahan mereka), yang mengeluarkan mereka dari cahaya ke dalam kegelapan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...