Jumaat, 1 Mei 2020

38:55-64 Tafsir Surah Sad, ayat 55-64.

هَذَا وَإِنَّ لِلطَّاغِينَ لَشَرَّ مَآبٍ (٥٥) جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا فَبِئْسَ الْمِهَادُ (٥٦) هَذَا فَلْيَذُوقُوهُ حَمِيمٌ وَغَسَّاقٌ (٥٧) وَآخَرُ مِنْ شَكْلِهِ أَزْوَاجٌ  (٥٨) هَذَا فَوْجٌ مُقْتَحِمٌ مَعَكُمْ لا مَرْحَبًا بِهِمْ إِنَّهُمْ صَالُوا النَّارِ (٥٩) قَالُوا بَلْ أَنْتُمْ لا مَرْحَبًا بِكُمْ أَنْتُمْ قَدَّمْتُمُوهُ لَنَا فَبِئْسَ الْقَرَارُ (٦٠) قَالُوا رَبَّنَا مَنْ قَدَّمَ لَنَا هَذَا فَزِدْهُ عَذَابًا ضِعْفًا فِي النَّارِ (٦١) وَقَالُوا مَا لَنَا لا نَرَى رِجَالا كُنَّا نَعُدُّهُمْ مِنَ الأشْرَارِ (٦٢) أَتَّخَذْنَاهُمْ سِخْرِيًّا أَمْ زَاغَتْ عَنْهُمُ الأبْصَارُ (٦٣) إِنَّ ذَلِكَ لَحَقٌّ تَخَاصُمُ أَهْلِ النَّارِ (٦٤)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tentang balasan untuk orang-orang yang celaka atau derhaka, tempat kembali mereka di hari kemudian, serta hisab yang dijalani oleh mereka.

"55. Ini. Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang derhaka seburuk-buruk tempat kembali." 

Beginilah keadaan mereka. Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang derhaka, iaitu yang mengerjakan kekafiran dan kemaksiatan, menyimpang dari jalan ketaatan kepada Allah s.w.t. lagi menentang Rasulullah s.a.w., benar-benar disediakan tempat kembali yang paling buruk.

"56. Jahannam, mereka memasukinya, maka alangkah buruk tempat tinggal." 

Iaitu neraka Jahannam, di dalamnya menghimpun semua azab, yang mereka masuk ke dalamnya. Kelak mereka dimasukkan ke dalamnya dan api neraka menutupi mereka dari semua penjuru. Di atas dan di bawah mereka ada lapisan-lapisan api. Maka amat buruklah Jahanam itu sebagai tempat tinggal.

"57. Ini, maka hendaklah mereka merasakan, air sangat panas dan air sangat dingin." 

Inilah azab neraka, biarlah mereka merasakannya, minuman mereka adalah hamim, iaitu air yang sangat panas hingga memutuskan usus-usus mereka dan ghassaq, iaitu air yang sangat dingin hingga menjadi sangat menyakitkan. Ada yang menafsirkan ghassaq dengan nanah yang mengalir dari penghuni neraka, pahit rasanya dan bau.

"58. Dan yang lain dari bentuknya bermacam-macam." 

Dan berbagai macam azab dan siksaan yang lain yang serupa dengan hamim dan ghassaq. Iaitu masih banyak lagi siksaan lainnya, seperti dingin yang sangat, angin yang amat panas, makan buah zaqqum, pendakian yang terjal, jurang yang amat dalam dan siksaan lainnya yang berlawanan. Semuanya itu merupakan siksaan yang ditimpakan kepada mereka dengan penuh kehinaan.

Ketika mereka memasuki neraka, maka antara pemimpin dengan pengikut akan saling cela-mencela, melaknat dan saling mencaci maki sebagai pengganti ucapan penghormatan. Segolongan yang masuk sebelum golongan yang lain (apabila golongan yang sesudahnya itu mulai masuk ke dalam neraka bersama para malaikat zabaniah) mengatakan,

"59. Ini golongan masuk berdesak-desakan beserta kalian." 

"Ini adalah suatu rombongan besar (pengikut-pengikutmu) yang masuk berdesak-desakan bersama kalian ke neraka." Berkata pemimpin-pemimpin mereka yang derhaka,

"Tidak ada ucapan selamat datang kepada mereka. Sungguh mereka masuk neraka." 

"Tiadalah ucapan selamat datang kepada mereka kerana sesungguhnya mereka akan masuk neraka.” Kerana mereka memang ahli neraka Jahanam.

"60. Mereka berkata, "Bahkan kalian. Tidak ada ucapan selamat datang bagi kalian. Kalian, kalian menjerumuskannya bagi kami, maka amat buruk tempat menetap." 

Para pengikut mereka, iaitu rombongan yang baru datang menjawab, "Sebenarnya kalianlah yang lebih patut tidak menerima ucapan selamat datang, kerana kalianlah yang menyebabkan kami masuk ke dalam azab, maka amat buruklah Jahanam itu sebagai tempat menetap.” Iaitu seburuk-buruk tempat menetap ialah neraka Jahanam.

"61. Mereka berkata, "Tuhan kami barang siapa yang menyediakan bagi kami ini, maka tambahkan kepadanya azab berlipat ganda di dalam neraka." 

Para pengikut yang telah disesatkan itu berkata lagi, "Ya Tuhan kami, barang siapa yang menjerumuskan kami ke dalam azab ini, maka tambahkanlah azab kepadanya dua kali ganda di dalam neraka.”

Allah s.w.t. berfirman menjawab doa mereka, "Masing-masing mendapat (siksaan) yang berlipat ganda, akan tetapi kamu tidak mengetahui.” (Al A’raf 7:38) Iaitu masing-masing dari kalian mendapat siksaan yang setimpal.

"62. Dan mereka berkata, "Mengapa kami tidak kami lihat orang-orang yang kami menganggap mereka dari orang-orang yang jahat?""

Orang-orang kafir atau derhaka merasa kehilangan ramai orang yang dahulunya mereka anggap dalam keadaan sesat. Mereka berkata, "Mengapa kami tidak melihat orang-orang yang dahulu di dunia kami anggap sebagai orang-orang yang hina?" Iaitu mengapa kami tidak nampak mereka bersama kami di neraka ini?"

Yang mereka maksud di sini adalah orang-orang mukmin, terutama golongan yang lemah dan fakir, yang mereka anggap sebagai orang-orang yang sesat, jahat, hina dan berhak masuk neraka. Semua orang kafir mengalami keadaan seperti ini. Mereka bertanya kepada diri sendiri tentang hal yang mereka anggap mustahil,

"63. Apakah kami jadikan mereka ejekan, atau tidak melihat dari mereka penglihatan." 

Apakah kami dahulu semasa berada di dunia salah menilai orang-orang mukmin, bahkan sebenarnya mereka adalah orang-orang yang baik, dan kami menjadikan mereka olok-olokan? Atau barangkali orang-orang mukmin itu ada bersama kami di neraka Jahanam, tetapi mata kami tidak nampak mereka di sini?

Maka pada saat itu mereka baru mengetahui bahawa orang-orang mukmin berada di atas kedudukan yang tinggi. Allah s.w.t. berfirman menguatkan beritaNya, dan Dia adalah yang paling benar ucapannya.

"64. Sesungguhnya demikian itu pasti terjadi, pertengkaran penghuni neraka." 

Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi, iaitu pertengkaran penghuni neraka. Iaitu sesungguhnya peristiwa ini yang Kami beritakan kepadamu, hai Muhammad, menyangkut pertengkaran antara ahli neraka, dan saling melaknat di antara mereka adalah berita yang benar dan tiada keraguan atau kebimbangan padanya, iaitu pasti terjadi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...