Jumaat, 1 Mei 2020

33:28-30 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 28-30.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلا (٢٨) وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا (٢٩) يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ مَنْ يَأْتِ مِنْكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا (٣٠)

Imam Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Abdullah ibnu Abbas r.a. dia berkata, “Aku selalu ingin bertanya kepada Umar r.a. tentang dua wanita di antara isteri Nabi s.a.w., di mana Allah s.w.t. berfirman kepada kedua, “Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sungguh, hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebenaran); (At Tahrim 66:3), sampai saat ia (Umar) berhaji, dan aku pun ikut berhaji bersamanya, dia pun mencari jalan lain dan aku juga mencari jalan yang lain dengan membawa kantong kecil (berisi air), maka Umar buang air.

Lalu dia datang, kemudian aku tuangkan ke kedua tangannya air (dari kantong itu), maka ia pun berwudhu’, lalu aku berkata kepadanya, “Wahai Amirul Mukminin! Siapakah dua wanita dari isteri Nabi s.a.w. yang Allah Ta’ala berfirman kepadanya, “Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sungguh, hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebenaran),” Umar berkata, “Aduh anehnya engkau wahai Ibnu Abbas. Keduanya adalah Aisyah dan Hafshah.” Lalu Umar menyampaikan hadis itu.

Dia berkata, “Aku dengan jiranku seorang Ansar berada di Bani Umayyah bin Zaid, sedangkan mereka berada di dataran tinggi Madinah. Kami turun bergiliran menemui Nabi s.a.w., dia turun pada hari tertentu, dan aku pun turun pada hari tertentu. Apabila tiba giliranku yang turun, maka aku datang kepadanya memberitahukan berita pada hari itu tentang wahyu maupun lainnya, dan apabila tiba giliran dia yang turun, maka dia pun melakukan seperti itu.

Kami kaum Quraisy, biasa lebih berkuasa terhadap isteri, tetapi setelah kami mendatangi orang-orang Ansar, ternyata mereka adalah orang-orang yang kalah oleh isteri, maka mulailah wanita-wanita kami mengikuti kebiasaan wanita Ansar, lalu aku memekik (marah) kepada isteriku, tetapi dia membantahku, maka aku pun mengingkari sikapnya itu.

Dia pun berkata, “Mengapa kamu mengingkari bantahanku kepadamu. Demi Allah, sesungguhnya isteri-isteri Nabi s.a.w. benar-benar membantah Beliau, bahkan salah seorang di antara mereka ada yang menjauhi Beliau pada hari ini sampai malam.”

Aku pun menjadi terkejut, dan berkata kepadanya, “Sungguh kecewa orang yang melakukan hal itu di antara mereka.” Lalu aku pakai bajuku seluruhnya, kemudian turun dan masuk menemui Hafsah dan berkata kepadanya, “Wahai Hafsah, apakah salah seorang di antara kalian ada yang membuat marah Nabi s.a.w. pada hari ini sampai malam?” Hafshah menjawab, “Ya.”

Aku (Umar) berkata, “Kamu sungguh kecewa dan rugi, apakah kamu merasa aman jika Allah murka kerana murka RasulNya s.a.w. sehingga kamu pun menjadi binasa. Oleh kerana itu, janganlah kamu meminta banyak darinya, membantahnya dalam segala sesuatu, dan menjauhinya. Mintalah kepadaku dalam hal yang tampak bagimu (kamu perlukan), dan janganlah kamu tergiur hanya kerana jiranmu (Aisyah) lebih cantik darimu dan lebih dicintai Nabi s.a.w.”

Umar melanjutkan kata-katanya, “(Saat) kami sedang berbincang-bincang tentang (Raja) Ghassan yang sedang memakaikan alas kaki ke kudanya untuk memerangi kami, lalu turun kawan saya seorang Ansar pada hari gilirannya, dia pun kembali kepada kami pada waktu Isya, kemudian mengetuk pintuku dengan keras dan berkata, “Apa ada orang (di dalam) sana?”

Maka aku terkejut lalu keluar menemuinya, dia pun berkata, “Pada hari ini telah terjadi perkara besar.” Aku (Umar) berkata, “Apa itu, apakah (Raja) Ghassan datang?” Dia menjawab, “Bukan, bahkan lebih besar dan lebih parah lagi. Nabi s.a.w. menalak isteri-isterinya.” Aku (Umar) pun berkata, “Kecewa Hafsah dan rugilah dia. Sungguh aku telah mengira hal ini kemungkinan akan terjadi.”

Maka aku pakai semua pakaianku, lalu aku solat Fajar (Subuh) bersama Nabi s.a.w., lalu Nabi s.a.w. masuk ke kamar atas dan mengasingkan diri di sana. Kemudian aku masuk menemui Hafsah dan dia menangis, lalu aku berkata, “Apa yang membuatmu menangis, bukankah aku telah memperingatkan kamu tentang hal ini? Apakah Nabi s.a.w. menalakmu semua?” Hafshah berkata, “Aku tidak tahu, itu Beliau sedang mengasingkan diri di kamar atas.”

Lalu aku keluar dan datang ke mimbar, ternyata di sekitarnya ada sekumpulan orang yang sebahagiannya menangis, maka aku duduk sebentar bersama mereka. Kegelisahanku pun memuncak, lalu aku mendatangi kamar yang di sana terdapat Nabi s.a.w., kemudian aku berkata kepada hambanya yang berkulit hitam, “Mintakanlah izin untuk Umar.”

Lalu hamba itu masuk (menemui Nabi s.a.w.) dan berbicara dengan Nabi s.a.w. kemudian kembali dan berkata, “Aku telah berbicara dengan Nabi s.a.w. dan menyebutkan dirimu kepadanya, namun Beliau diam.” Maka aku kembali dan duduk bersama orang-orang yang berada di dekat mimbar. Tetapi kegelisahanku memuncak, lalu aku mendatangi hamba itu dan berkata, “Mintakanlah izin untuk Umar.”

Lalu hamba itu masuk (menemui Nabi s.a.w.) kemudian kembali kepadaku dan berkata, “Aku telah menyebutkan dirimu kepadanya, namun dia tetap diam.” Ketika aku hendak kembali, tiba-tiba hamba itu memanggilku dan berkata, “Nabi s.a.w. telah mengizinkanmu.”

Maka aku masuk menemui Nabi s.a.w., Beliau sedang berbaring di atas garis-garis tikar, di mana antara Beliau dengan tikar tidak ada kasur, sehingga garis-garis itu membekas ke lambung Beliau, sedangkan Beliau bersandar ke bantal yang terbuat dari kulit yang diisi sabut. Lalu aku mengucapkan salam kepadanya dan berkata sambil berdiri, “Wahai Rasulullah, apakah engkau menalak istri-istrimu.”

Lalu Beliau mengangkat pandangannya kepadaku dan berkata, “Tidak,” aku pun berkata, “Allahu akbar.” Kemudian aku berkata dalam keadaan berdiri meminta izin, “Wahai Rasulullah, jika sekiranya engkau memperhatikan keadaanku. Kami kaum Quraisy biasa berkuasa terhadap kaum wanita, tetapi setelah kami tiba di Madinah, mereka adalah orang-orang yang kalah oleh isteri.” Maka Nabi s.a.w. tersenyum.

Kemudian aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika sekiranya engkau memperhatikan keadaanku. Aku masuk menemui Hafshah dan berkata kepadanya, “Janganlah membuatmu terpedaya oleh kerana jiranmu (Aisyah) lebih cantik darimu dan lebih dicintai Nabi s.a.w.,” maka Nabi s.a.w. tersenyum lagi. Maka aku duduk ketika melihat Beliau tersenyum, lalu aku mengangkat pandanganku ke (sekeliling) rumah Beliau.

Demi Allah, aku tidak melihat di rumah Beliau sesuatu yang mengembalikan pandangan (kurang enak dilihat) selain tiga kulit. Lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah, agar Dia memperkaya umatmu. Kerana bangsa Persia dan Romawi telah diberikan kekayaan dan diberikan dunia, padahal mereka tidak menyembah Allah.”

Maka Nabi s.a.w. duduk sambil bersandar dan berkata, “Apakah engkau dalam keadaan (ragu) seperti ini wahai Ibnul Khattab. Mereka adalah orang-orang yang disegerakan kesenangan dalam kehidupan dunia.” Aku pun berkata, “Wahai Rasulullah, mohonkanlah ampunan untukku.”

Oleh kerana berita yang disampaikan Hafsah kepada Aisyah, maka Nabi s.a.w. mengasingkan diri selama 29 hari. Ketika itu, Beliau berkata, “Aku tidak akan masuk menemui mereka selama sebulan.” Kerana kesalnya Beliau kepada mereka saat Allah menegurnya.

Setelah 29 hari berlalu, maka Beliau masuk menemui Aisyah dan memulai dengannya, lalu Aisyah berkata kepadanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah bersumpah untuk tidak menemui kami selama sebulan. Engkau di pagi hari baru saja berada di hari yang ke 29 yang aku hitung dengan sebenarnya.” Beliau bersabda, “Sebulan itu 29 hari.”

Memang bulan ketika itu jumlahnya 29 hari. Aisyah berkata, “Selanjutnya Allah s.w.t. menurunkan ayat pemberian pilihan, lalu Beliau memulai kepadaku sebagai orang yang pertama di antara isteri-isterinya, maka aku pilih Beliau. Kemudian Beliau juga memberikan pilihan kepada semua isteri-isterinya dan mereka mengatakan seperti yang dikatakan Aisyah.”

Imam Muslim meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Jabir ibnu Abdillah dia berkata, “Abu Bakar pernah meminta izin untuk masuk menemui Rasulullah s.a.w., lalu dia mendapati para sahabat duduk di pintu (rumah) Beliau dan tidak ada seorang pun di antara mereka yang diizinkan masuk. Tetapi Abu Bakar diizinkan untuk masuk, maka dia pun masuk, lalu Umar datang dan meminta izin untuk masuk, maka dia juga diizinkan.

Lalu Umar mendapati Nabi s.a.w. dalam keadaaan duduk dan menahan sedihnya sambil diam (tidak berkata-kata), sedangkan isteri-isterinya berada di sekelilingnya. Umar berkata, “Aku akan mengatakan sesuatu yang dapat membuat Nabi s.a.w. tersenyum,” Umar pun berkata, “Wahai Rasulullah, kalau sekiranya engkau melihat puteri Kharijah, saat dia meminta nafkah kepadaku, maka aku bangkit menghampirinya lalu menekan lehernya.”

Maka Rasulullah s.a.w. tersenyum, dan bersabda, “Mereka ini berada di sekelilingku sebagaimana yang kamu lihat juga meminta nafkah kepadaku.” Lalu Abu Bakar bangkit menghampiri Aisyah dan menekan lehernya, Umar juga bangkit menghampiri Hafsah lalu menekan lehernya, keduanya sambil berkata, “(Mengapa) kamu meminta kepada Rasulullah s.a.w. nafkah yang tidak ada pada sisinya.”

Mereka pun berkata, “Demi Allah, kami tidak akan meminta lagi kepada Rasulullah s.a.w. sesuatu yang tidak ada padanya selamanya.” Maka Beliau menjauhi mereka selama sebulan atau 29 hari, kemudian turunlah ayat ini kepada Beliau, “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu," …dan seterusnya, sampai, “bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu.” (Al Ahzab 33:28-29),

Maka Beliau memulai kepada Aisyah dan berkata, “Wahai Aisyah! Sesungguhnya aku akan menawarkan kepadamu perkara yang aku ingin engkau tidak terburu-buru dalam hal itu sampai engkau bermusyawarah dengan kedua orang tuamu.” Aisyah berkata, “Apa itu wahai Rasulullah?” Maka Beliau membacakan ayat tersebut kepadanya.

Maka Aisyah berkata, “Apakah dalam memilih engkau aku perlu bermusyawarah kepada kedua orang tuaku. Bahkan aku memilih Allah dan RasulNya, serta negeri akhirat, dan aku meminta kepadamu agar engkau tidak memberitahukan kepada seorang pun di antara isteri-isterimu tentang perkataanku.”

Beliau menjawab, “Tidak ada salah seorang isteri(ku) yang bertanya kepadaku kecuali aku akan beritahukan. Sesungguhnya Allah tidak mengutusku sebagai orang yang menyusahkan manusia dan tidak pula menginginkan ketergelinciran mereka. Akan tetapi, Dia mengutusku sebagai pengajar dan pemberi kemudahan.”

Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"28. Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu,"

Ketika itu Nabi s.a.w. mempunyai sembilan orang isteri. Lima orang isteri dari kalangan kabilah Quraisy, iaitu Aisyah, Hafsah, Ummu Habibah, Saudah, dan Ummu Salamah. Selain itu adalah Safiyyah binti Huyay An Nadriyyah, Maimunah bintil Haris Al Hilaliyah, Zainab binti Jahsy Al Asadiyah, dan Juwairiyah bintil Haris Al Mustaliqiyah. Semoga Allah melimpahkan ridhaNya kepada mereka dan membuat mereka semua ridha dengan pahalaNya.

Mereka semua berkumpul meminta kepada Nabi s.a.w. perhiasan dunia yang Beliau tidak memilikinya atau tidak mampu memenuhinya.

"Jika kalian menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah akan aku berikan mut'ah kepada kalian"

Jika kalian mengingini kehidupan di dunia dan perhiasannya, maka marilah agar kuberikan kepada kalian mut'ah. Mut'ah adalah suatu pemberian yang diberikan kepada perempuan yang telah diceraikan menurut kemampuan suami.

"dan akan aku ceraikan kalian perceraian yang baik."

Dan aku ceraikan kalian dengan cara yang baik, tanpa ada rasa marah dan mencaci-maki, bahkan dengan dada yang lapang dan hati yang senang daripada masalah rumah tangga semakin parah.

"29. Dan jika kalian menghendaki Allah dan RasulNya dan kampung akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kalian pahala yang besar."

Jika kalian menginginkan keridhaan Allah dan RasulNya dan kesenangan di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan pahala yang besar bagi siapa yang berbuat baik di antara kalian.

Allah memberikan pahala yang besar kerana ihsan mereka, di mana perbuatan itu adalah sebab untuk mendapatkannya, bukan kerana mereka sebagai isteri Rasulullah s.a.w., kerana jika sebatas sebagai isteri rasul, maka tidaklah cukup, bahkan tidak bermanfaat apa-apa jika tidak ada ihsan.

Mereka pun lebih memilih Allah, RasulNya dan negeri akhirat daripada kehidupan dunia. Mereka tidak peduli terhadap lapang dan sempitnya kehidupan mereka, senang dan susahnya, dan mereka qana'ah (menerima seadanya) pemberian sedikit dari Rasulullah s.a.w. dan tidak meminta sesuatu yang menyusahkan Beliau.

"30. Wahai isteri-isteri nabi! Siapa yang mengerjakan di antara kalian dengan fahisyah yang nyata dilipat gandakan baginya siksaan dua kali lipat."

Wahai isteri-isteri Nabi! Barang siapa di antara kalian yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya azabnya akan dilipatgandakan dua kali lipat kepadanya. Iaitu berhati-hatilah kalian terhadap dosa dan bersyukurlah kepada Allah s.w.t.

"Dan ada demikian itu atas Allah mudah." 

Yang demikian itu adalah teramat mudah bagi Allah.

Akhir Tafsir Juz 21.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...