Khamis, 30 April 2020

22:67-72 Tafsir Surah Al Hajj, ayat 67-72.

لِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ فَلا يُنَازِعُنَّكَ فِي الأمْرِ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَى هُدًى مُسْتَقِيمٍ (٦٧) وَإِنْ جَادَلُوكَ فَقُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ (٦٨) اللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ (٦٩) أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاءِ وَالأرْضِ إِنَّ ذَلِكَ فِي كِتَابٍ إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ (٧٠) وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَمَا لَيْسَ لَهُمْ بِهِ عِلْمٌ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِيرٍ (٧١) وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ تَعْرِفُ فِي وُجُوهِ الَّذِينَ كَفَرُوا الْمُنْكَرَ يَكَادُونَ يَسْطُونَ بِالَّذِينَ يَتْلُونَ عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا قُلْ أَفَأُنَبِّئُكُمْ بِشَرٍّ مِنْ ذَلِكُمُ النَّارُ وَعَدَهَا اللَّهُ الَّذِينَ كَفَرُوا وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (٧٢) 

Allah s.w.t. berfirman,

"67. Bagi tiap-tiap umat Kami jadikan cara beribadah mereka menjalankannya," 

Bagi setiap umat atau umat setiap nabi, telah Kami tetapkan mansak, syariat atau cara beribadah tertentu yang harus mereka amalkan, yang berbeda-beda dalam sebahagian masalah, namun asasnya sama, iaitu tauhid (beribadah kepada Allah saja dan menjauhi sesembahan selainNya), dan masing-masing syariat sama-sama menyeru kepada keadilan dan kebijaksanaan.

Asal kata mansak menurut istilah bahasa ertinya tempat yang biasa didatangi oleh manusia yang dia selalu bolak-balik kepadanya, adakalanya untuk tujuan baik atau tujuan buruk. Kerana itulah manasik haji dinamakan dengan memakai kata ini, kerana ramai manusia yang berdatangan kepadanya dan bermukim padanya.

"maka janganlah mereka membantah kamu dalam urusan" 

Maka tidak sepatutnya mereka berbantahan dengan kamu dalam urusan ini, iaitu dalam masalah syariat, misalnya dalam penyembelihan, dengan mengatakan, “Apa yang dibunuh Allah (iaitu mati sendiri) lebih berhak kamu makan daripada apa yang dibunuh kamu (dengan disembelih).” Atau seperti perkataan, “Jual beli sama dengan riba,” dan sebagainya.

Orang yang suka membantah seperti ini jika maksudnya adalah hendak mencari petunjuk, maka perlu dikatakan kepadanya, “Pembicaraan ini tergantung apakah anda mempercayai risalah atau tidak? Jika tidak mempercayai, maka cukup sampai di sini dan bererti tujuan anda membantah adalah untuk melemahkan dan mencari-cari kesalahan.”

"dan serulah kepada Tuhanmu." 

Tetaplah kamu mengajak manusia kepada agama Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan tetap meneruskan dakwah baik mereka merintangi atau tidak.

"Sungguh kamu benar-benar di atas petunjuk yang lurus." 

Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang jelas lagi lurus yang membawamu ke tempat tujuan.

Kalimat ini terdapat petunjuk agar menjawab orang-orang yang membantah Beliau tentang masalah syariat dengan akal, kerana syariat sudah maklum baiknya, adil dan bijaksananya berdasarkan akal dan fitrah yang masih sihat, dan hal ini dapat diketahui dengan memikirkan perintah dan larangan yang rinci.

"68. Dan jika mereka membantah kamu, maka katakanlah, "Allah Maha Mengetahui dengan apa yang kalian kerjakan.""

Jika mereka membantah kamu dalam urusan agama, maka katakanlah, "Allah lebih tahu tentang apa yang kalian kerjakan.” Iaitu Dia mengetahui maksud dan niatmu serta amalmu dan nanti Dia akan memberikan balasan terhadapnya pada hari kiamat.

"69. Allah Maha Mengadili di antara kalian pada hari kiamat tentang apa yang kalian di dalamnya berselisih." 

Allah akan mengadili di antara orang-orang mukmin dan orang-orang kafir dengan ilmuNya pada hari kiamat tentang apa yang dahulu kamu memperselisihkannya, kerana tidak ada satu pun yang samar bagiNya.

"70. Tidakkah kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan bumi?" 

Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi? PengetahuanNya Maha sempurna tentang makhlukNya. Tiada sesuatu pun yang luput dari pengetahuanNya. Sesungguhnya Allah mengetahui semua makhluk sebelum kejadiannya.

"Sesungguhnya itu di dalam kitab." 

Sungguh, yang demikian itu sudah terdapat atau dicatatNya dalam sebuah kitabNya yang terpelihara, iaitu Lauh Mahfuz.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah telah merencanakan penciptaan seluruh makhluk sebelum menciptakan langit dan bumi dalam jarak masa lima puluh ribu tahun, sedangkan ArasyNya berada di atas air."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Mula-mula yang diciptakan oleh Allah ialah Qalam (pena). Allah berfirman kepadanya, "Tulislah!" Qalam berkata, "Apa yang harus hamba tulis?” Allah berfirman, "Tulislah segala sesuatu yang akan terjadi.” Maka Qalam menulis semua yang akan terjadi sampai hari kiamat."

"Sesungguhnya itu atas Allah mudah." 

Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah.

Allah s.w.t. menerangkan keadaan orang-orang musyrik, dan bahawa keadaan mereka sangat buruk sekali, di mana perbuatan yang mereka lakukan sama sekali tidak memiliki sandaran.

"71. Dan mereka menyembah dari selain Allah apa yang tidak menurunkan dengannya keterangan dan apa yang tidak bagi mereka dengannya ilmu."

Kebodohan dan kekafiran mereka mendorong mereka menyembah selain Allah, tanpa dasar yang jelas tentangnya, yang Allah tidak menurunkan hujah dan bukti mengenai perbuatan mereka itu, dan yang mereka sendiri tiada mempunyai pengetahuan terhadapnya.

Tiada pengetahuan bagi mereka tentang apa yang mereka buat-buat, reka-reka dan sembah itu. Mereka sendiri tidak mengetahui adakah sesembahan itu berhak disembah atau tidak. Hal tersebut hanyalah merupakan suatu perkara yang mereka terima dari nenek moyang mereka yang sesat tanpa dalil dan tanpa bukti.

Mereka hanya bertaklid (ikut-ikutan) dengannya. Sumber utamanya berasal dari godaan syaitan yang dibisikkan kepada mereka; syaitan telah menghiasinya bagi mereka, yang membuat mereka memandang baik hal tersebut.

"Dan tidaklah bagi orang-orang zalim dari seorang penolong." 

Bagi orang-orang yang zalim dengan berbuat syirik, sekali-kali tidak ada seorang penolong pun yang menolong mereka dari azab dan pembalasan Allah yang ditimpakan kepada mereka.

"72. Dan apabila dibacakan atas mereka ayat-ayat Kami yang nyata, kamu melihat pada wajah-wajah orang-orang yang kafir kemungkaran." 

Apabila disebutkan kepada mereka ayat-ayat Al Qur'an, hujah-hujah, dan dalil-dalil yang jelas yang menunjukkan bahawa Allah itu Esa, dan bahawa tiada Tuhan selain Dia, dan bahawa rasul-rasulNya yang mulia adalah benar, nescaya kamu melihat tanda-tanda keingkaran pada muka orang-orang yang kafir itu. Wajah mereka mengerut dan masam.

"Hampir-hampir mereka menyerang kepada orang-orang yang membacakan atas mereka ayat-ayat Kami." 

Hampir-hampir mereka menyerang dengan memukul atau membunuh orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami di hadapan mereka, iaitu orang-orang yang mendebat mereka dengan dalil-dalil yang sahih dari Al Qur'an, lalu tangan mereka memukulinya dan lisan mereka meyakitinya dengan kata-kata yang buruk. Keadaan ini adalah keadaan yang paling buruk.

"Katakanlah, "Mahukah kujelaskan pada kalian dengan yang lebih buruk dari demikian itu, api neraka? Allah telah mengancamkannya orang-orang yang kafir.""

Katakanlah (Muhammad), "Apakah akan aku khabarkan kepada kalian mengenai sesuatu yang lebih buruk daripada itu, iaitu neraka? Allah telah mengancamkan neraka kepada orang-orang kafir."

Iaitu neraka yang azab dan siksaannya jauh lebih keras, lebih berat, lebih pedih, dan lebih besar daripada apa yang kalian lakukan terhadap kekasih-kekasih Allah yang beriman sewaktu di dunia.

Azab di akhirat sebagai balasan dari perbuatan kalian itu juga jauh lebih besar daripada apa yang pernah kalian timpakan kepada kaum mukmin, jika memang menurut dugaan kalian bahawa kalian dapat menimpakannya kepada mereka.

"Dan seburuk-buruk tempat kembali."

Neraka itu adalah seburuk-buruknya tempat berbaring, tempat tinggal, tempat kembali, dan tempat bermukim.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...