Khamis, 30 April 2020

20:115-123 Tafsir Surah Thaha, ayat 115-123.

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا (١١٥) وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ أَبَى (١١٦) فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَذَا عَدُوٌّ لَكَ وَلِزَوْجِكَ فَلا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَى  (١١٧) إِنَّ لَكَ أَلا تَجُوعَ فِيهَا وَلا تَعْرَى (١١٨) وَأَنَّكَ لا تَظْمَأُ فِيهَا وَلا تَضْحَى (١١٩) فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لا يَبْلَى (١٢٠) فَأَكَلا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى (١٢١) ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى     (١٢٢) قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلا يَضِلُّ وَلا يَشْقَى (١٢٣)

Allah s.w.t. berfirman,

"115. Dan sungguh Kami janjikan kepada Adam sebelumnya, maka dia lupa" 

Sesungguhnya telah Kami perintahkan atau pesankan kepada Adam dahulu, iaitu dia dilarang memakan sebuah pohon terlarang. Maka dia lupa akan perintah itu, iaitu dia meninggalkan pesan Allah. Nasiya bermaksud meninggalkan.

Ibnu Abbas mengatakan, "Sesungguhnya manusia itu dinamakan insan tiada lain kerana Allah telah memerintahkan kepadanya dahulu, lalu dia lupa kepada perintahNya."

"dan tidak Kami dapati baginya kemahuan yang kuat." 

Tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat, iaitu keteguhan hati dan kesabaran dari perkara yang Kami larang.

Apa yang dialaminya menjadi pelajaran bagi keturunannya. Tabiat keturunannya sama seperti tabiat bapa mereka; Adam. Adam lupa, keturunannya pun lupa, Adam berbuat salah, keturunannya pun berbuat salah, Adam tidak teguh hatinya, anak keturunannya pun tidak teguh hatinya.

Namun kemudian Adam segera bertaubat dari kesalahannya, mengakui kesalahannya, lalu dosa-dosanya diampuni. Setelah disebutkan kisah Adam secara garis besar, maka di ayat selanjutnya disebutkan kisah Adam secara lebih rinci.

Setelah Allah menyempurnakan kejadian Adam dengan TanganNya, mengajarkan nama-nama benda kepadanya, melebihkan dan memuliakannya, maka Allah memerintahkan kepada para malaikat untuk sujud memuliakan dan menghormati Adam.

"116. Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat, "Bersujudlah kepada Adam!" Maka mereka bersujud kecuali iblis, ia enggan." 

Ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kalian kepada Adam!” Allah s.w.t. menganugerahkan kemuliaan, keutamaan dan penghormatan kepada Adam di atas kebanyakan makhlukNya dengan keutamaan yang sebenar-benarnya.

Maka mereka semua sujud mengikuti perintah Allah, kecuali iblis yang ketika itu di tengah-tengah mereka. Iblis adalah nenek moyang jin, yang sebelumnya tinggal bersama malaikat dan beribadah kepada Allah bersama mereka.

Iblis bersikap sombong terhadap perintah Allah, membangkang, menolak dan enggan bersujud kepada Adam dan berkata, “Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”

Ketika itu jelaslah permusuhannya kepada Adam dan isterinya, dan tampaklah hasadnya yang menjadi sebab permusuhan, maka Allah memperingatkan Adam dan isterinya terhadap gangguan Iblis.

"117. Maka Kami berfirman, "Wahai Adam, sesungguhnya ini musuh bagimu dan bagi isterimu, maka janganlah ia mengeluarkan kalian berdua dari syurga, maka kamu menjadi celaka.""

Wahai Adam! Sungguh iblis musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali jangan sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari syurga, yang menyebabkan kamu menjadi sengsara.

Iaitu bersikap waspadalah kamu terhadapnya. Ia akan berusaha mengeluarkan kamu dari syurga, yang akibatnya kamu akan hidup payah, lelah, dan sengsara dalam mencari rezekimu. Kerana sesungguhnya kamu sekarang di syurga ini dalam kehidupan yang makmur lagi nikmat, tanpa beban dan tanpa bersusah payah. Semua yang diinginkan ada di hadapan.

"118. Sesungguhnya bagi kamu agar tidak kelaparan di dalamnya dan tidak kamu telanjang." 

Sesungguhnya ada jaminan untukmu di dalam syurga, kamu tidak akan kelaparan dan tidak akan telanjang. Kelaparan merupakan kehinaan bahagian dalam, sedangkan telanjang merupakan kehinaan bahagian lahiriah (luar).

"119. Dan sungguh kamu tidak merasa dahaga di dalamnya dan tidak kamu kena panas." 

Sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari di dalam syurga. Dahaga merupakan panas dalam, sedangkan kepanasan kerana sinar matahari merupakan panas lahiriah.

Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada Adam dan isterinya untuk memakan semua buah-buahan yang ada di dalam syurga, tetapi keduanya tidak boleh mendekati suatu pohon tertentu di dalam syurga itu. Iblis terus-menerus menggoda dan merayu keduanya.

"120. Maka membisikkan fikiran jahat kepadanya syaitan, dia berkata, "Wahai Adam, apakah aku tunjukkan kepadamu atas pohon khuldi dan kerajaan tidak binasa?"" 

Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata, "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon kekal atau keabadian dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Pohon itu dinamakan Syajaratul khuldi (pohon keabadian), kerana kata syaitan, orang yang memakan buahnya akan kekal di surga, tidak akan mati. Pohon yang dilarang Allah mendekatinya tidak dapat dipastikan apa namanya, sebab Al Quran dan Hadis tidak menerangkannya.

Iblis datang kepada Adam sebagai seorang pemberi nasihat dan berbicara dengan lembut sehingga Adam dan isterinya (Hawa) tertipu.

"121. Maka keduanya memakan darinya, maka tampak bagi keduanya aurat keduanya" 

Akhirnya keduanya memakan buah dari pohon terlarang itu, lalu pakaian keduanya terlucut dan kelihatanlah aurat keduanya yang sebelumnya tertutup.

"dan keduanya mulai berbuat keduanya menutupi atas keduanya dari daun syurga," 

Mulailah keduanya memetik daun-daun yang ada di syurga dan menutupi auratnya. Keduanya merasa malu dan menyesal.

"dan derhaka Adam Tuhannya maka sesatlah dia." 

Derhakalah Adam kepada Tuhannya dan sesatlah dia. Derhaka di sini bermaksud melanggar larangan Allah kerana lupa, dengan tidak sengaja. Sedangkan sesat bermaksud mengikuti apa yang dibisikkan syaitan.

Walaupun kesalahan Adam a.s. tidak begitu besar menurut ukuran manusia biasa, Beliau sudah disebut derhaka dan sesat, kerana tingginya martabat Adam a.s. dan untuk menjadi teladan bagi orang besar dan pemimpin agar menjauhi perbuatan-perbuatan yang terlarang walaupun kecil.

Setelah itu Adam dan Hawa’ segera bertaubat dan berdoa, “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”

"122. Kemudian memilihnya Tuhannya," 

Kemudian Tuhannya memilihnya. Allah memilih Adam a.s. untuk menjadi orang yang dekat kepadaNya.

"maka Dia terima taubat atasnya dan Dia memberi petunjuk." 

Maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk. Oleh kerana itu, keadaannya setelah taubat menjadi lebih baik daripada sebelumnya, namun musuhnya kembali melakukan tipu daya terhadapnya. Akan tetapi tipu dayanya kalah kerana hidayah Allah kepadanya.

Maka sempurnalah nikmat untuk Adam dan keturunannya. Mereka harus bersyukur terhadap nikmat itu, serta tetap waspada terhadap musuh yang sentiasa memantau dan mencari celah untuk menggelincirkan anak Adam di siang dan malam.

Allah s.w.t. memerintahkan kepada Adam, Hawa’ dan Iblis,

"123. Dia berfirman, "Turunlah kalian berdua darinya semuanya" 

Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama. Iaitu Adam dan Hawa atau Adam dan iblis.

"sebahagian kalian bagi sebahagian yang lain musuh," 

Sebahagian kalian menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, seperti melakukan kezaliman antara yang satu dengan yang lain. Atau maksudnya, bahawa Adam dan keturunannya menjadi musuh bagi Iblis dan keturunannya. Sentiasalah bersikap waspada terhadapnya.

"maka adapun datang kepada kalian dariKu petunjuk, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk Ku, maka tidak akan tersesat dan tidak celaka."

Jika datang kepada kalian petunjuk dariKu melalui para nabi dan para rasul serta keterangan yang disampaikan mereka, maka ketahuilah barang siapa yang mengikut petunjukKu, iaitu dengan melaksanakan yang diperintahkan dan menjauhi yang dilarang, dia tidak akan sesat dalam meniti hidup di dunia dan tidak akan celaka di akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...