Rabu, 6 April 2016

12:19-22 Tafsir Surah Yusuf, ayat 19-22.

وَجَاءَتْ سَيَّارَةٌ فَأَرْسَلُوا وَارِدَهُمْ فَأَدْلَى دَلْوَهُ قَالَ يَا بُشْرَى هَذَا غُلامٌ وَأَسَرُّوهُ بِضَاعَةً وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَعْمَلُونَ (١٩) وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍ بَخْسٍ دَرَاهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا فِيهِ مِنَ الزَّاهِدِينَ (٢٠) وَقَالَ الَّذِي اشْتَرَاهُ مِنْ مِصْرَ لامْرَأَتِهِ أَكْرِمِي مَثْوَاهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الأرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِنْ تَأْوِيلِ الأحَادِيثِ وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (٢١) وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (٢٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan apa yang dialami oleh Yusuf a.s. setelah Beliau dilemparkan oleh saudara-saudaranya di dalam dasar sumur, lalu Beliau ditinggalkan seorang diri di dalam sumur itu oleh saudara-saudaranya.

Setelah saudara-saudara Yusuf a.s. melemparkannya ke dalam sumur itu, mereka duduk-duduk di sekeliling sumur tersebut sambil menunggu apa yang akan dilakukan Yusuf a.s., apa yang akan terjadi padanya dan memikirkan apa yang akan mereka lakukan selanjutnya. Dikisahkan bahawa Yusuf a.s. tinggal di dasar sumur itu selama tiga hari.

"19. Dan datanglah sekelompok musafir,"

Maka Allah s.w.t. menggerakkan suatu kafilah ke arah Yusuf a.s. Mereka datang dari Madyan menuju Mesir, lalu mereka singgah berehat di dekat sumur di mana Yusuf a.s. berada.

"maka mereka mengutus pengambil air,"

Mereka menyuruh tukang mengambil air mereka untuk menimbakan air buat mereka. Penimba air pun mendatangi sumur itu.

"maka dia menghulurkan timbanya, dia berkata, "Oh, senangnya, ini seorang anak muda!""

Penimba air itu melepaskan timbanya. Maka Yusuf a.s. bergantung kepada tali timba itu, lalu penimba air itu menariknya. Akhirnya Yusuf a.s. keluar dari sumur itu, dan penimba air merasa gembira dengannya.

"Dan mereka merahsiakannya bersama barang dagangannya."

Kemudian mereka menyembunyikan Yusuf a.s. sebagai barang dagangan.

Menurut sebahagian mufasir (ahli tafsir), "mereka" di sini bermaksud para pengambil air itu. Mereka menyembunyikan perkara sebenarnya dari kelompok musafir lainnya dan menjadikan Yusuf a.s. sebagai hamba belian.

Mereka berkata, "Kami telah membelinya dari pemilik air" kerana takut iringan kafilah mereka akan mengambil bahagian jika mereka mengetahui cerita yang sebenarnya.

Menurut mufasir lain, "mereka" di sini bermaksud saudara-saudara Yusuf a.s. yang ketika itu juga berada di dekat sumur itu. Mereka menyembunyikan bahawa Yusuf a.s. adalah saudara mereka, dan berkata, “Ini adalah hamba kami yang melarikan diri.”

Yusuf a.s. sendiri tidak membantah kerana khuatir saudara-saudaranya akan membunuhnya. Beliau lebih rela dijual-belikan atau dijadikan barang dagangan oleh saudara-saudaranya demi keselamatan dirinya.

"Dan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang mereka kerjakan."

Allah Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh saudara-saudara Yusuf  a.s. dan orang-orang yang membelinya. Sebenarnya Allah berkuasa untuk mengubah dan menolak hal itu. Tetapi kebijaksanaan dan takdirNya telah menentukan hal tersebut.

Maka Dia biarkan hal itu untuk dilangsungkan sesuai dengan takdir dan apa yang telah direncanakanNya. Dia akan menjadikan akibat yang terpuji dan kekuasaan bagi Yusuf a.s. atas saudara-saudaranya.

Di dalam ayat ini terkandung makna kiasan yang ditujukan kepada Rasulullah s.a.w., sekaligus sebagai pemberitahuan kepadanya bahawa Allah mengetahui semua gangguan yang menyakitkan dari kaumnya terhadap dirinya.

Sebenarnya Allah mampu untuk mencegah hal itu, tetapi Dia sengaja menangguhkan mereka dan membiarkan takdirNya berjalan, kelak Dia akan menjadikan akibat yang terpuji dan kekuasaan bagi RasulNya atas mereka.

"20. Dan mereka menjual dengan harga murah beberapa dirham yang berbilang,"

Al bakhs di sini bermaksud murah. Saudara-saudara Yusuf a.s. menjualnya dengan harga yang sangat murah, jauh di bawah harga biasa, iaitu dua puluh dirham. Ada yang mengatakan dua puluh dua dirham. Ada juga yang mengatakan empat puluh dirham. Allahu a'lam.

Hasil jualan tersebut adalah haram, kerana Yusuf a.s. adalah anak Nabi, cucu Nabi, cicit Nabi kekasih Allah, iaitu Ibrahim a.s. Beliau adalah orang mulia anak orang mulia anak orang mulia anak orang mulia.

"dan mereka di dalamnya termasuk orang-orang yang tidak tertarik."

Saudara-saudara Yusuf a.s. tidak merasa tertarik hati kepadanya dan sangat tidak menginginkannya kerana mereka tidak mengetahui kenabian dan kedudukan Yusuf a.s. di sisi Allah s.w.t.

Seandainya pembeli itu memintanya tanpa imbalan apa pun, nescaya mereka memberikan Yusuf a.s. kepadanya. Mereka hanya ingin menjauhkan Yusuf a.s. dari bapanya.

Setelah mereka menjual Yusuf a.s., mereka mengikutinya sampai ke negeri Mesir. Si pembeli berkata, "Siapakah yang akan membeli anak ini sebagai penghibur hatinya?"

"21. Dan berkata yang membelinya dari Mesir untuk isterinya, "Muliakanlah tempatnya, boleh jadi dia bermanfaat bagi kita atau kami jadikan dia anak.”

Allah s.w.t. dengan belas kasihanNya kepada Yusuf a.s., telah menggerakkan seseorang dari negeri Mesir membelinya, lalu dia memeliharanya dan memuliakannya serta berpesan kepada keluarga (isteri)nya agar memperlakukannya dengan baik dan selayaknya.

Dia adalah Aziz negeri Mesir, iaitu perdana menteri, yang juga pemegang harta kekayaan atau menteri perbendaharaan Mesir waktu itu. Namanya adalah Qithfir. Ada yang mengatakan Itfir ibnu Ruhaib.

Sedangkan isterinya bernama Ra’il. Ada yang mengatakan Zulaikha. Mungkin keduanya belum mempunyai anak sehingga ingin menjadikan Yusuf a.s. sebagai anak.

Raja Mesir ketika itu adalah Ar Rayyan ibnul Walid, seorang lelaki dari keturunan bangsa 'Amaliq (raksasa). Qithfir membeli Yusuf a.s. dengan harga dua puluh dinar, ditambah dua pasang sandal dan dua helai baju.

Dia berkata kepada isterinya, "Berikanlah kepadanya tempat dan layanan yang baik, mudah-mudahan dia bermanfaat bagi kita sebagaimana hamba memberikan banyak pelayanan kepada tuannya."

"Dan demikian itu Kami beri kedudukan bagi Yusuf di bumi,"

Iaitu sebagaimana Kami selamatkan Yusuf a.s. dari cengkeraman saudara-saudaranya, dari pembunuhan di sumur, dan dijadikan hati Qithfir sayang kepadanya, begitu jugalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf a.s. di negeri Mesir melalui jalan ini.

"dan kerana Kami akan mengajarkannya takwil mimpi-mimpi."

Agar Kami ajarkan kepada Yusuf a.s. ta’bir mimpi. Ketika Beliau tinggal di sana tanpa diberikan banyak kesibukan dan perhatian Beliau tertuju kepada ilmu, maka yang demikian menjadi sebab Beliau banyak mendapat ilmu tentang hukum-hukum, takwil mimpi dan sebagainya.

"Dan Allah berkuasa atas urusanNya,"

Allah berkuasa terhadap urusanNya. Dia Maha Melaksanakan apa yang dikehendakiNya. Apabila Dia menghendaki sesuatu, maka tidak dapat ditolak, dicegah dan ditentang, bahkan Dia Mahamenang di atas segalanya.

"akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Kebanyakan manusia tidak mengetahui kebijakan Allah kepada makhlukNya, belas kasihanNya kepada mereka dan apa yang dikehendakiNya bagi mereka.

"22. Dan ketika dia sampai dewasanya,"

Yusuf a.s. menginjak usia dewasa, iaitu tubuh dan akalnya telah dewasa, semakin kuat batin dan zahirnya, dan mampu memikul beban-beban kenabian dan kerasulan.

Mengenai usia kedewasaan Yusuf a.s., ada yang mengatakan tiga puluh tiga tahun, tiga puluh tahun lebih, dua puluh tahun, empat puluh tahun, dua puluh lima tahun, lapan belas tahun, usia akil baligh dan ada yang mengatakan selain itu.

"Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu."

Diberikan hikmah bermaksud Yusuf a.s. dijadikan nabi dan rasulNya. Diberikan ilmu bermaksud diberikan pemahaman terhadap agama.

"Dan demikianlah Kami memberi balasan orang-orang yang berbuat baik."

Begitulah Allah s.w.t. memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dalam beribadah kepada Allah dan dalam bergaul dengan hamba-hamba Allah. Yusuf a.s. baik dalam amalnya serta selalu mengamalkan ketaatan kepada Allah.

Allah memberikan balasan kepada mereka yang berbuat baik atas kebaikan mereka dengan ilmu yang bermanfaat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...