Jumaat, 22 April 2016

12:4-6 Tafsir Surah Yusuf, ayat 4-6.

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لأبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ (٤) قَالَ يَا بُنَيَّ لا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ (٥) وَكَذَلِكَ يَجْتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِنْ تَأْوِيلِ الأحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَعَلَى آلِ يَعْقُوبَ كَمَا أَتَمَّهَا عَلَى أَبَوَيْكَ مِنْ قَبْلُ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (٦)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"4. Ketika berkata Yusuf kepada bapanya, "Wahai bapaku!""

Ceritakanlah kepada kaummu dalam kisah-kisahmu kepada mereka tentang kisah Yusuf ibnu Ya'qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim a.s.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang mulia anak orang mulia anak orang mulia adalah Yusuf ibnu Ya’qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim."

Yusuf a.s. berkata kepada bapanya,

"Sesungguhnya aku melihat sebelas bintang, dan matahari dan bulan; aku melihat mereka kepadaku bersujud."

Yusuf a.s. bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; Beliau melihat semuanya sujud kepadanya. Mimpi para nabi adalah wahyu. Mimpi didahulukan, bahawa Yusuf a.s. akan memperoleh ketinggian di dunia dan akhirat.

Ya'qub a.s. mengetahui ta'wil mimpi itu. Sebelas bintang bermaksud saudara-saudara Yusuf a.s. yang jumlah keseluruhannya ada sebelas orang; jumlah anak Ya'qub a.s. ada dua belas orang termasuk Yusuf a.s. Sedangkan matahari dan bulan bermaksud bapa dan ibunya.

Kelak semua saudara Yusuf a.s. akan tunduk dan menghormatinya dengan penghormatan yang sangat besar. Kelak mereka akan bersujud kepadanya demi menghormati, mengagungkan dan memuliakannya.

Ta'wil mimpi Yusuf a.s. ini menjadi nyata sesudah empat puluh tahun kemudian, pendapat lain mengatakan sesudah lapan puluh tahun. Iaitu ketika Yusuf a.s. menjemput kedua orang tuanya untuk menduduki kursi singgahsananya, sedangkan semua saudaranya berada di hadapannya. Dan mereka semuanya merebahkan diri sambil sujud kepada Yusuf a.s.

Demikianlah, apabila Allah menghendaki terjadi peristiwa besar, maka Dia dahulukan mukaddimah (pengantarnya) agar siap dan mempermudah urusannya, dan agar hamba bersedia menerima beban yang akan dihadapinya. Demikian itu kerana kelembutan dan ihsan Allah kepada hambaNya.

Maka Ya'qub a.s. merasa khuatir jika Yusuf a.s. menceritakan mimpinya itu kepada saudara-saudaranya. Ketika Yusuf a.s. memahami maksud ta’wil mimpi itu, maka Ya'qub a.s. berpesan kepadanya,

"5. Dia berkata, "Wahai anakku! Janganlah kamu menceritakan mimpi kamu kepada saudara-saudaramu, maka mereka membuat tipu daya bagi kamu dengan tipu dayanya.""

Janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, mereka akan mengetahui takwilnya, bahawa kamu akan berada di atas mereka. Maka mereka pasti akan hasad, membuat makar terhadapmu dan akan membunuhmu.

"Sesungguhnya syaitan bagi manusia musuh yang nyata."

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang jelas bagi manusia. Ia terus menerus berusaha untuk menggelincirkan kamu dan mencari jalan untuk mencerai-beraikan kamu. Oleh kerana itu, menjauhi sebab yang boleh membuat syaitan menguasai seorang hamba lebih diutamakan. Maka Yusuf a.s. menuruti pesanan bapanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seseorang di antara kalian melihat (dalam mimpinya) sesuatu yang disukainya, hendaklah dia membicarakannya. Dan apabila dia melihat sesuatu yang tidak disukainya, hendaklah dia beralih ke sisi yang lain (dalam tidurnya), lalu hendaklah dia meludah ke arah kirinya sebanyak tiga kali dan hendaklah dia minta perlindungan kepada Allah dari kejahatan mimpinya itu, dan janganlah dia membicarakannya kepada seorang pun; maka sesungguhnya mimpi buruknya itu tidak akan membahayakannya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Mimpi itu merupakan bayangan bagi seseorang selagi dia tidak membicarakannya; apabila dia membicarakannya, maka akan menjadi kenyataan."

Hendaklah seseorang menyembunyikan nikmat khabar gembira melalui mimpinya itu sebelum menjadi kenyataan.

Disebutkan di dalam sebuah hadis, "Jadikanlah menyembunyikan tujuan sebagai sarana untuk meraih hal-hal yang didambakan, kerana sesungguhnya semua orang yang beroleh kenikmatan itu ada yang iri kepadanya."

"6. Dan demikianlah memilih kamu Tuhanmu"

Sebagaimana Tuhanmu telah memilihmu dan memperlihatkan bintang-bintang itu bersama matahari dan bulan yang semuanya bersujud kepadamu, demikianlah Tuhanmu memilihmu untuk menjadi NabiNya. Dia mengurniakan kepadamu sifat-sifat yang mulia dan perilaku yang baik.

"dan mengajarkanmu sebahagian ta'wil mimpi, dan Dia sempurnakan nikmatNya atas kamu dan atas keluarga Ya'qub," 

Tuhanmu mengajarkan kepadamu sebahagian dari ta'wil mimpi-mimpi. Dia sempurnakan nikmatNya kepadamu dengan mengutusmu sebagai RasulNya. Dia menurunkan wahyuNya kepadamu dan kepada keturunan Ya’qub a.s.

"sebagaimana Dia menyempurnakannya atas kedua bapamu sebelumnya, Ibrahim dan Ishaq."

Sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya sebelum ini kepada kedua orang datukmu, iaitu Ibrahim a.s. yang dikenali sebagai Khalilullah atau kekasih Allah, dan puteranya, iaitu Ishaq a.s.

"Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui Maha Bijaksana."

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui terhadap makhlukNya. Dia Mahabijaksana dalam tindakanNya terhadap mereka. Dia Maha Mengetahui kepada siapa akan diberikan risalahNya. 

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...