Sabtu, 23 April 2016

17:2-8 Tafsir Surah Al Isra, ayat 2-8.

وَآتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِبَنِي إِسْرَائِيلَ أَلا تَتَّخِذُوا مِنْ دُونِي وَكِيلا (٢) ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا (٣) وَقَضَيْنَا إِلَى بَنِي إسْرائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الأرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا (٤) فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلالَ الدِّيَارِ وَكَانَ وَعْدًا مَفْعُولا (٥) ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا (٦) إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لأنْفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا (٧) عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يَرْحَمَكُمْ وَإِنْ عُدْتُمْ عُدْنَا وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ حَصِيرًا (٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"2. Dan Kami berikan Musa Kitab," 

Iaitu kitab Taurat.

"dan Kami menjadikannya petunjuk bagi Bani Israil bahawa," 

Di tengah gelapnya kebodohan.

"Jangan kalian menjadikan dari selain Aku pelindung." 

Allah s.w.t. menurunkan kepada setiap nabi yang diutusNya firmanNya mengatakan, "Sembahlah Allah semata, tiada sekutu bagiNya." Iaitu, beribadahlah hanya kepada Allah, kembalilah kepadaNya, dan jadikanlah Dia sebagai al Wakil (Tuhan yang diserahi urusan) serta pengatur baik dalam urusan agama maupun dunia. Janganlah kalian jadikan selainNya yang tidak memiliki apa-apa dan tidak memberikan manfaat sedikit pun sebagai tempat bergantung, pelindung, penolong dan sembahan kalian.

"3. Keturunan orang yang Kami bawa bersama Nuh." 

Maksud ayat ini ialah, "Wahai anak cucu dari orang-orang yang Kami selamatkan dan Kami bawa bersama-sama Nuh di dalam kapal."

"Sesungguhnya dia adalah hamba yang banyak bersyukur." 

Allah s.w.t. meninggikan namanya dan memuji Nabi Nuh a.s. Beliau dijuluki sebagai hamba yang banyak bersyukur kerana selalu memuji kepada Allah bila makan, minum, berpakaian, dalam semua perbuatannya dan dalam setiap keadaannya.

Tirulah jejak mereka, ingatlah akan nikmat dan kurnia Allah dengan bersyukur kerana Dia telah menyelamatkan mereka, menjadikan mereka sebagai khalifah di bumi dan menenggelamkan yang lain.

Kemudian Allah s.w.t. telah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. kepada kalian. Beliau s.a.w. selalu memuji Allah dalam semua keadaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah benar-benar ridha kepada seorang hamba manakala ia makan sesuap atau minum seteguk tidak pernah lupa mengucapkan pujian kepada Allah atas nikmat itu."

"4. Dan Kami tetapkan kepada Bani Israil dalam kitab," 

Ayat ini dan seterusnya merupakan peringatan dan ancaman agar mereka kembali kepada agama Allah.

"sungguh kalian akan membuat kerosakan di bumi" 

Iaitu negeri Syam dengan melakukan berbagai kemaksiatan dan bersikap sombong.

"dua kali" 

Yang pertama adalah membunuh Nabi Zakaria a.s., sedangkan yang kedua adalah membunuh Nabi Yahya a.s.

"dan benar-benar kalian sombong kesombongan yang besar." 

Mereka akan berbuat sesuka-hati, sewenang-wenang, melampaui batas, dan derhaka terhadap orang lain.

"5. Maka tatkala datang janji yang pertama dari keduanya, Kami utus atas kalian hamba-hamba bagi Kami mempunyai kekuatan yang besar," 

Bila telah tiba saat pembalasan bagi kejahatan yang pertama di antara kedua kejahatan tersebut, Kami kuasakan diri kalian di tangan Jalut dan tentera-tenteranya yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang besar, berani, berjumlah banyak, dan peralatannya lengkap.

"maka mereka merajalela di tengah-tengah rumah-rumah." 

Mereka memburu, membunuh dan menawan serta merampas harta kekayaan Bani Israil serta merobohkan Baitulmaqdis. Mereka menguasai negeri kalian dan menempuh jalan di antara rumah-rumah kalian, datang dan perginya tanpa merasa takut kepada seorang pun.

Allah s.w.t. memberikan kekuasaan kepada musuh saat Bani Israil banyak yang melakukan maksiat, meninggalkan banyak syari’at yang dibebankan kepada mereka serta melampaui batas di muka bumi.

"Dan itu janji yang terlaksana." 

Orang yang menguasai Bani Israil itu adalah orang-orang kafir. Jalut (Goliat) dan bala tenteranya membunuh dan menawan Bani Israil serta merobohkan Baitulmaqdis. Sesudah itu berkuasalah Adilu.

"6. Kemudian Kami kembalikan bagi kalian giliran atas mereka," 

Kemudian Nabi Daud a.s. berjaya membunuh Jalut. Mereka berjaya mengalahkan Jalut dan tentera-tenteranya, mengusir mereka dari tempat tinggalnya setelah seratus tahun ditindas olehnya.

"dan Kami membantu kalian dengan harta dan anak-anak dan Kami jadikan kalian lebih banyak kelompok." 

Disebabkan perbuatan ihsanmu dan ketundukan serta kerendahan hatimu kepada Allah s.w.t.

"7. Jika kalian berbuat baik, kalian berbuat baik untuk diri kalian." 

Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, maka pahalanya, manfaat dan keuntungannya kembali kepada dirinya sendiri, bahkan ketika di dunia, saat kamu berbuat ihsan kamu dapat mengalahkan musuhmu.

"Dan jika kalian berbuat jahat, maka baginya." 

Barang siapa yang berbuat jahat, maka dosa, akibat dan kerugian kejahatan itu akan menimpa dirinya sendiri. Sebagaimana Allah s.w.t. telah memberikan kekuasaan kepada musuhmu terhadap kamu ketika kamu melakukan berbagai kemaksiatan.

"Maka apabila datang janji terakhir, untuk menyuramkan wajah-wajah kalian" 

Apabila kalian melakukan kerosakan untuk kedua kalinya, maka akan datanglah musuh-musuh iaitu Raja Bukhtanashir dan tenteranya. Mereka membunuh, menawan, menghina, menindas dan membuatmu sedih dengan kesedihan yang kelihatan di wajahmu.

"dan agar mereka masuk masjid," 

Iaitu Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis sebagaimana sebelumnya.

"sebagaimana mereka memasuki pertama kali dan agar mereka menguasai apa yang mereka dapati penguasaan sepenuhnya."

Mereka merajalela, membinasakan, merosakkan, menghancurkan rumah-rumahmu, masjid-masjid, dan ladang tempat kamu bercucuk tanam sehabis-habisnya.

"8. Mudah-mudahan Tuhan kalian supaya merahmati kalian;"

Setelah menimpakan hukuman yang kedua. Berkat rahmat dariNya itu musuh-musuh kalian akan berpaling pergi dari kalian, dan kalian selamat dari ulah mereka.

"dan jika kalian kembali, Kami kembali," 

Jika kamu mengulangi kerosakan atau kejahatan itu, Kami akan kembali mengazabmu di dunia di samping azab dan pembalasan yang Kami simpan buat kalian di akhirat nanti.

Ternyata orang-orang Yahudi mengulangi lagi kejahatannya dengan mendustakan dan mengkhianati perjanjian dengan Nabi Muhammad s.a.w., maka Allah s.w.t. berikan kepada Beliau s.a.w. kekuasaan ke atas mereka, sehingga kelompok dari mereka, iaitu Bani Quraizhah dibunuh, sekelompok lagi iaitu Bani Nadhir diusir sebagaimana kelompok sebelumnya, iaitu Bani Qainuqa’ juga diusir. Demikian juga Allah s.w.t. mensyari’atkan kepada Beliau s.a.w. pemungutan jizyah (pajak) dari mereka jika mereka ingin aman di bawah perlindungan pemerintah Islam. Sedangkan mereka dalam keadaan terhina.

"dan Kami jadikan Jahannam bagi orang-orang kafir tempat berkumpul." 

Iaitu tempat menetap, penjara, dan sekapan. Mereka dibakar di sana dan tidak dikeluarkan daripadanya dan tiada jalan menyelamatkan diri.

Dalam beberapa ayat ini terdapat peringatan terhadap umat ini untuk tidak melakukan maksiat (dosa) agar tidak ditimpa musibah seperti yang menimpa Bani Israil.

Sunnatullah itu satu, tidak berubah dan berganti. Orang yang menyaksikan kaum kafir dan zalim menguasai kaum muslim akan mengetahui, bahawa hal itu disebabkan dosa-dosa mereka; sebagai hukuman bagi mereka, dan bahawa jika mereka menegakkan kitab Allah dan sunnah RasulNya, maka Allah akan menguatkan mereka di bumi dan menolong mereka mengalahkan musuh-musuh mereka. Allahu A'lam.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...