Rabu, 13 April 2016

4:83-84 Tafsir Surah An Nisa, ayat 83-84

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الأمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الأمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلا قَلِيلا (٨٣)
فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا تُكَلَّفُ إِلا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَاللَّهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنْكِيلا (٨٤


Umar ibnul Khattab mendengar berita bahawa Nabi s.a.w. menceraikan isteri-isterinya. Beliau termasuk salah seorang yang ingin mengetahui kebenaran perkara tersebut.
Maka ia datang dari rumahnya, lalu masuk ke dalam masjid, dan ia mendapati ramai orang yang sedang memperbincangkan berita itu.
Umar tidak sabar menunggu, lalu ia meminta izin menemui Nabi s.a.w. dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Apakah engkau menceraikan mereka semua?" Nabi s.a.w. menjawab, "Tidak." Maka ia berkata, "Allahu Akbar."
Umar ibnul Khattab bangkit dan berdiri di pintu masjid, lalu berkata dengan sekeras suaranya, menyerukan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menceraikan isteri-isterinya."
Lalu turunlah ayat berikut, iaitu firmanNya,
"83. Dan apabila sampai kepada mereka"
Mereka yang dimaksudkan ialah kaum munafik atau orang-orang yang lemah iman.
"suatu berita"
Seperti berita tentang sariyyah (pasukan kecil) yang dikirim Nabi s.a.w.
"tentang keamanan"
Yakni kemenangan.
"ataupun ketakutan,"
Yakni kekalahan.
"mereka terus menyiarkannya."
Sehingga melemahkan hati kaum mukmin dan Nabi s.a.w. sendiri merasa disakiti. Hal ini merupakan pengingkaran terhadap orang yang tergesa-gesa dalam menanggapi berbagai urusan sebelum meneliti kebenarannya, lalu ia memberitakan dan menyiarkannya, padahal belum tentu hal itu benar.
Nabi s.a.w. telah bersabda, "Cukuplah kedustaan bagi seseorang bila dia menceritakan semua apa yang didengarnya."
Rasulullah s.a.w. telah melarang perbuatan qil dan qal. Maksudnya ialah melarang perbuatan banyak bercerita tentang apa yang dibicarakan oleh orang-orang tanpa meneliti kebenarannya, tanpa menilainya terlebih dahulu, dan tanpa membuktikannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seburuk-buruk lisan seseorang ialah bahawa mereka menduga (anu dan anu)."
Di dalam kitab sahih disebutkan hadis, "Barang siapa yang menceritakan suatu kisah, sedangkan ia menganggap bahawa kisahnya itu dusta, maka dia termasuk salah seorang yang berdusta."
"Padahal apabila mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil Amri di antara mereka,"
Yakni kepada Rasul dan tokoh-tokoh sahabat atau ulama di antara mereka. Inilah dalil terhadap kaidah adab, iaitu apabila diperlukan pembahasan tentang suatu masalah, maka sepatutnya masalah tersebut diserahkan kepada ahlinya, tidak disodorkan kepada yang lain, hal itu kerana yang demikian lebih dekat kepada kebenaran dan lebih selamat dari kesalahan. Demikian pula menunjukkan dilarangnya bersikap tergesa-gesa menyebarkan apa yang didengarnya dan perintah untuk memperhatikan perkara itu, apakah ada maslahatnya sehingga ia pun perlu maju atau tidak, sehingga perlu ditahan.
"tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya mengetahuinya dari mereka. Sekiranya bukan kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu,"
Yakni taufiq, pengajaran adab dan ilmu yang diajarkanNya kepada kamu oleh Rasul dan ulil Amri yang sebelumnya tidak kamu ketahui.
"tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja."
Kalian semuanya iaitu orang-orang mukmin nescaya mengikuti langkah syaitan, kerana manusia pada tabi'atnya zalim dan jahil (bodoh), hawa nafsunya biasa menyuruh kepada keburukan. Namun apabila seseorang kembali kepada Tuhannya dan bersandar kepadaNya, maka Allah akan berbuat lembut kepadanya, memberinya taufiq kepada semua kebaikan dan melindunginya dari godaan syaitan yang terkutuk.
Ketika diturunkan kepada Nabi s.a.w. ayat berikut, iaitu firmanNya,
"84. Maka berperanglah kamu di jalan Allah"
hingga akhir ayat. Lalu Nabi s.a.w. bersabda kepada sahabat-sahabatnya,
"Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepadaku untuk berperang. Kerana itu, berperanglah kalian."
Keadaan ini merupakan keadaan hamba yang paling utama, yakni seorang hamba mengusahakan dirinya untuk menjalankan perintah Allah, baik jihad maupun lainnya, serta mendorong yang lain untuk melakukannya. Namun terkadang seorang hamba ada yang tidak melakukan kedua-duanya atau hanya salah satunya.
Allah s.w.t. memerintahkan kepada hamba dan RasulNya s.a.w. untuk ikut terjun ke dalam kancah peperangan, berjihad di jalan Allah. Sebahagian besar kaum muslimin Madinah enggan ikut berperang bersama Nabi s.a.w. ke Badar Shughra. Maka Allah s.w.t. memerintahkan agar Beliau s.a.w. tetap berangkat meskipun sendiri saja dan tidak perlu memikirkan mereka.
"kamu tidaklah dibebani melainkan dengan kewajiban kamu sendiri."
Barang siapa yang menolak, tidak ikut berperang, maka tiada paksaan atas dirinya untuk mengikuti peperangan. Kamu tidak berkuasa apa-apa terhadap selain dirimu dan kamu tidak dibebani terhadap perbuatan selain kamu.
Dan Allah s.w.t. mematahkan serangan orang-orang yang kafir dengan menaruh rasa takut di hati mereka dan Abu Sufyan sendiri enggan untuk keluar.
"Kobarkanlah semangat orang-orang beriman"
Bangkitkanlah semangat untuk berperang, kobarkanlah semangat mereka, dan tanamkanlah keberanian mereka untuk berperang. Hal ini mencakup segala sesuatu yang dapat menyemangatkan kaum mukmin dan menguatkan hati mereka, seperti meneguhkan pendirian mereka dengan kata-kata dan nasihat, memberitahukan lemahnya musuh, menyampaikan janji Allah berupa pahala kepada para mujahid, akibat yang didapatkan bagi orang-orang yang tidak berperang, dsb. ini semua termasuk ke dalam menyemangatkan kaum muslimin untuk berperang.
Nabi s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya dalam Perang Badar ketika beliau sedang merapikan saf mereka, "Bangkitlah kalian menuju syurga yang luasnya seluas bumi dan langit!"
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus darjat (tingkatan) yang telah disediakan oleh Allah bagi orang-orang yang berjihad dijalan Allah; jarak antara tiap-tiap dua darjat sama dengan jarak antara langit dan bumi. Apabila kalian memohon kepada Allah, mintalah kepadanya syurga Firdaus, kerana sesungguhnya syurga Firdaus adalah tengah-tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Di atasnya terdapat Arasy Tuhan Yang Maha Pemurah, dan dari syurga Firdaus mengalirlah semua sungai syurga."
"Mudah-mudahan Allah menolak serangan orang-orang yang kafir itu."
Dengan jihad fi sabilillah yang kalian lakukan dan penyemangatan satu dengan yang lain. Iaitu berkat usahamu dalam mengobarkan semangat mereka untuk berjihad, maka bangkitlah semangat mereka untuk melawan musuh-musuh mereka, membela negeri Islam dan para pemeluknya, serta berjuang melawan mereka dengan penuh keteguhan dan kesabaran.
"Allah sangat besar kekuatan(Nya) dan sangat keras siksaan(Nya)."
Dia berkuasa terhadap mereka di dunia dan di akhirat. Jika Allah Ta'ala menghendaki, tentu Dia akan mengalahkan orang-orang kafir dengan kekuatanNya dan tidak menyisakan mereka. Akan tetapi, kerana hikmah (kebijaksanaan) Allah, Dia menguji sebahagian hambaNya dengan yang lain agar tegak jihad fii sabilillah dan tercapai iman yang bermanfaat; iaitu iman atas dasar pilihan, bukan kerana terpaksa yang tidak ada manfaatnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...