Jumaat, 24 Jun 2016

41:49-52 Tafsir Surah Fussilat, ayat 49-52.

لا يَسْأَمُ الإنْسَانُ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ وَإِنْ مَسَّهُ الشَّرُّ فَيَئُوسٌ قَنُوطٌ (٤٩)وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ رَحْمَةً مِنَّا مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ هَذَا لِي وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُجِعْتُ إِلَى رَبِّي إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَى فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِمَا عَمِلُوا وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ (٥٠) وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الإنْسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَى بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ (٥١) قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كَانَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ثُمَّ كَفَرْتُمْ بِهِ مَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ هُوَ فِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ (٥٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tabiat manusia dari sisi jati dirinya, tiada kesabaran, baik terhadap yang baik maupun yang buruk kecuali orang yang Allah ubah dari keadaan itu kepada keadaan yang sempurna.

"49. Tidak jemu-jemu manusia dari memohon kebaikan," 

Seperti harta, kesihatan dan kesenangan dunia yang lainnya. Ia tidak pernah puas baik dengan yang sedikit maupun yang banyak dan terus meminta tambahan.

"dan jika menimpa dia keburukan," 

Seperti malapetaka, kesusahan, kemiskinan, sakit dan musibah.

"maka dia putus asa hilang harapan." 

Mereka berputus asa dari rahmat Allah s.w.t., menyangka bahawa musibah itu akan membinasakannya dan tiada harapan lagi baginya untuk mendapat kebaikan sesudah itu.

Orang yang bersabar dan beramal soleh bersyukur saat ia mendapat nikmat Allah dan bimbang jika nikmat itu sebagai istidraj (penguluran azab dari Allah). Jika mereka mendapatkan musibah baik pada diri, harta maupun anak-anak mereka, maka mereka bersabar, mengharapkan kurnia Allah dan tidak berputus asa.

"50. Dan sungguh jika Kami rasakan kepadanya rahmat dari Kami setelah kesusahan menimpanya," 

Iaitu kebaikan, kekayaan atau kesihatan sesudah sengsara, kemiskinan atau sakit.

"tentu dia berkata, "Ini bagiku,""

Dia tidak bersyukur kepada Allah. Dia mengatakan bahawa dia mendapatnya kerana amalnya atau kerana dia memang berhak dan layak mendapatnya menurut Tuhannya.

"dan tidak aku mengira hari Kiamat terjadi." 

Dia ingkar kepada kebangkitan di hari kiamat. Hanya kerana dia diberi nikmat, maka dia langsung bersifat angkuh, sombong, kafir, kufur kepada nikmat dan rahmat yang Allah berikan. Dia benar-benar melampaui batas kerana dia melihat dirinya serba cukup.

"Dan jika aku dikembalikan kepada Tuhanku, sesungguhnya bagiku di sisiNya kebaikan." 

Dia terlalu berani dan berkata tentang Allah tanpa ilmu. Menurut sangkaannya, kalau memang ada hari kembali iaitu kiamat, maka Allah akan memberinya kebaikan iaitu syurga sebagaimana dia mendapatnya di dunia. Dia mengharapkan kebaikan dari Allah, padahal amal perbuatannya buruk dan tidak yakin.

"Dan sungguh akan Kami beritakan orang-orang yang mereka kafir dengan apa yang mereka kerjakan, dan sungguh akan Kami rasakan kepada mereka dari azab yang keras." 

Allah s.w.t. mengancam orang yang amal perbuatan dan keyakinannya demikian dengan siksaan dan azab.

"51. Dan apabila Kami berikan nikmat atas manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri di sampingnya;"

Dia berpaling dari ketaatan kepada Tuhannya, tidak bersyukur kepadaNya, menjauhkan diri dengan sombong dan tidak mahu menuruti perintah-perintahNya.

"dan apabila menimpanya bahaya, maka dia mempunyai permohonan yang banyak." 

Kerana tidak kuat bersabar di samping keadaannya yang tidak bersyukur semasa mendapat kesenangan. Dia memanjangkan doanya dalam keadaan berbaring, duduk, atau berdiri hanya kerana meminta sesuatu, padahal makna dari doanya hanyalah sedikit. Doa yang baik adalah doa yang ringkas dan padat.

"52. Katakanlah, "Bagaimana pendapat kalian jika ada dari sisi Allah, kemudian kalian ingkar padanya?"" 

Tanyakanlah kepada orang-orang musyrik lagi mendustakan Al Qur’an, bagaimanakah sikap mereka terhadap Tuhan yang menurunkan Al Qur'an yang tiada keraguan itu kepada rasulNya?

"Siapa yang lebih sesat dari pada orang yang dia dalam penyimpangan yang jauh?"

Yang benar telah jelas, tetapi mereka berpaling menjauhinya, kafir, ingkar dan menentang kebenaran. Mereka mendatangi kebatilan sehingga mereka menjadi manusia paling sesat, paling zalim dan jauh dari jalan petunjuk.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...