Rabu, 27 Julai 2016

2:145 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 145.

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ بِكُلِّ آيَةٍ مَا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ إِنَّكَ إِذًا لَمِنَ الظَّالِمِينَ (١٤٥)

Allah s.w.t. berfirman,

"145. Dan sungguh jika kamu mendatangkan orang-orang yang diberi Al Kitab dengan semua ayat, tidaklah mereka mengikuti kiblatmu," 

Sesungguhnya jika kamu mendatangkan kepada orang-orang yang diberi Al kitab semua keterangan, mereka tidak akan mengikuti kiblatmu. Di antara kaum kafir banyak yang tetap keras tidak mahu mengikuti bahkan bersikap sombong terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani kafir kepadanya bukan kerana kebodohan tetapi kerana mengetahui dengan pasti terhadap kebenaran Rasulullah s.a.w. Seandainya ditegakkan terhadap mereka semua keterangan, bukti dan dalil kepada mereka, nescaya mereka tetap tidak akan mengikutinya dan mereka hanya tetap mengikuti hawa nafsu mereka sendiri. Keadaan mereka mu'anidun, iaitu mengetahui yang hak, tetapi meninggalkannya.

Ayat dan dalil hanyalah akan bermanfa'at bagi mereka yang masih samar dalam mencari yang hak, kepadanyalah bukti dan dalil diperlukan. Adapun orang yang berkeras untuk tidak mahu mengikuti kebenaran, maka tidak perlu lagi mencari-cari jalan keluarnya. Apabila kita telah menerangkan kebenaran dengan dalil-dalilnya yang yakin kepada orang yang menolak, maka kita tidak perlu lagi membawakan bukti-bukti, kerana tidak akan ada kesudahannya.

"dan tidaklah kamu mengikuti kiblat mereka." 

Kamu pun tidak akan mengikuti kiblat mereka. Rasulullah s.a.w. tetap berpegang teguh kepada perintah Allah dan taat kepadaNya serta mengikuti jalan yang diridhaiNya, Beliau tidak akan mengikuti keinginan mereka dalam semua tindak tanduknya. Beliau s.a.w. menghadap ke arah Baitul Maqdis yang merupakan kiblat orang-orang Yahudi pada mulanya semata-mata kerana perintah Allah s.w.t.

"Dan tidaklah sebahagian mereka mengikuti kiblat sebahagian yang lain." 

Sebahagian mereka pun tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Sebagaimana Nabi s.a.w. berpegang teguh kepada perintah Allah, mereka juga berpegang teguh kepada pendapat dan keinginan mereka sendiri. Di samping itu, mereka juga saling berselisih, masing-masing mereka tidak mengikuti kiblat yang lain.

"Dan sungguh jika kamu mengikuti keinginan-keinginan mereka setelah apa yang datang kepadamu dari ilmu, sungguh kamu jika demikian benar-benar termasuk orang-orang yang zalim."

Sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah sampai ilmu kepadamu, nescaya kamu termasuk orang-orang yang zalim. Orang-orang yang telah mengetahui perkara yang hak, tetapi menentang perkara yang hak dengan mengikuti keinginan diri sendiri atau mengikuti keinginan mereka yang batil adalah termasuk orang-orang yang zalim. Allah s.w.t. mengancam orang-orang yang lebih mengutamakan keridhaan manusia daripada keridhaan Allah.

Di ayat ini menggunakan kata "ahwaa'ahum" (keinginan mereka) tidak menggunakan kata "diinahum" (agama mereka) kerana apa yang mereka pegang selama ini hanyalah semata-mata hawa nafsu, bahkan mereka meyakini apa yang mereka pegang selama ini bukanlah agama. Oleh kerana itu, orang yang meninggalkan agama yang benar, maka sebenarnya orang itu hanyalah mengikuti hawa nafsu belaka, meskipun mereka menamainya sebagai agama.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...