Sabtu, 20 Ogos 2016

2:146-150 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 146-150.

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (١٤٦) الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ (١٤٧) وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ أَيْنَمَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١٤٨) وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِنَّهُ لَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (١٤٩) وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُمَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلأتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٥٠)

Allah s.w.t. berfirman menghiburkan Nabi s.a.w. dan kaum mukmin serta mengingatkan mereka agar berhati-hati terhadap tindakan jahat orang-orang Ahli kitab dan syubhat mereka.

"146. Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka Al Kitab, mereka mengenalnya sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka." 

Orang-orang yang telah Kami beri Al kitab mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Para ulama Ahli Kitab yang telah diberi Taurat dan Injil mengetahui, mengenal dan meyakini bahawa Muhammad s.a.w. adalah seorang rasul dan apa yang Beliau s.a.w. bawa adalah benar.

Mereka mengenal Nabi Muhammad s.a.w. seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri berbanding anak-anak manusia lainnya. Beliau s.a.w. tidak samar lagi bagi mereka. Orang-orang Arab biasa membuat perumpamaan seperti ini yang bermaksud pengenalan yang sempurna.

"Dan sungguh segolongan dari mereka benar-benar menyembunyikan kebenaran dan mereka mengetahui." 

Sesungguhnya sebahagian mereka benar-benar menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui. Walaupun mereka mengetahui kenyataan ini dengan pengenalan yang yakin, tetapi mereka benar-benar menyembunyikan persaksian yang terdapat di dalam kitab-kitab mereka mengenai sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w. dari pengetahuan umum. Kebanyakan mereka kafir kepadanya.

"147. Kebenaran dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu." 

Kebenaran itu dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu. Allah s.w.t. mengukuhkan kedudukan NabiNya dan kaum mukmin bahawa apa yang dibawa oleh Rasul s.a.w. adalah perkara yang hak, tiada keraguan dan kebimbangan di dalamnya.

"148. Dan tiap-tiap orang mempunyai arah dia menghadap kepadanya," 

Setiap umat mempunyai kiblat yang dia menghadap kepadanya. Masing-masing umat, semua pemeluk agama atau setiap kabilah mempunyai kiblatnya sendiri yang diperintahkan oleh Allah agar mereka menghadap kepadanya, yang disukai mereka dalam ibadahnya.

Allah s.w.t. telah memberikan petunjuk dan memerintahkan semua kaum daripada umat Muhammad s.a.w. agar solat menghadap ke arah kiblat yang sebenarnya diridhaiNya iaitu Ka'bah.

Menghadap kiblat tertentu termasuk syari'at yang boleh berubah menurut kejadian dan keadaan serta zamannya, ia boleh dimasuki oleh naskh dan mengalami perubahan dari arah tertentu kepada arah yang lain.

Tujuan utamanya adalah menta'ati perintah Allah s.w.t. dan menjauhi laranganNya serta mendekatkan diri kepadaNya, inilah tanda kebahagiaan. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya manusia dijadikanNya satu umat saja, tetapi Allah hendak menguji manusia terhadap pemberianNya kepada mereka.

"Maka berlumba-lumbalah kalian kebaikan." 

Maka berlumba-lumbalah kalian dalam kebaikan. Iaitu bersegera melaksanakan amalan fardhu maupun sunat, baik berupa solat, puasa, zakat, haji, Umrah, jihad, manfa'at bagi orang lain maupun bagi diri sendiri. Maka merekalah orang yang paling tinggi darjatnya dan lebih dulu ke syurga.

"Di mana saja kalian berada akan datang kepada kalian Allah semuanya." 

Di mana saja kalian berada, pasti Allah akan mengumpulkan kalian semuanya. Pendorong yang paling kuat agar seseorang dapat bersegera kepada kebaikan dan bersemangat kepadanya adalah pahala yang dijanjikanNya. Dia akan mengumpulkan semua manusia dengan kekuasaanNya di hari akhirat.

Dia akan memberikan balasan kepada setiap orang yang beramal. Amalan buruk akan dibalas sesuai amal yang dikerjakannya dan amalan baik akan dibalas dengan berlipat ganda dan yang terbaik iaitu syurga.

"Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu Mahakuasa." 

Sesungguhnya Allah Mahakuasa atas segala sesuatu. Dia berkuasa untuk menghimpun manusia dari muka bumi, sekalipun jasad dan tubuh mereka bercerai-berai.

"149. Dan dari segi mana saja kalian keluar," 

Dari penjuru dunia mana saja kalian keluar untuk bersafar atau keperluan lainnya, kemudian kalian hendak mendirikan solat,

"maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, dan sungguh itu benar-benar yang haq dari Tuhanmu" 

Hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil haram, sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu kebenaran dari Tuhanmu. Tidak perlu lagi diragukan. Menghadap ke Ka'bah itu bukan kerana pilihan yang lebih disukai, bahkan ia adalah perintah dari Allah.

"dan tidaklah Allah lalai dari apa yang kalian kerjakan." 

Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kalian kerjakan. Dia sentiasa memperhatikan dan melihat setiap keadaan kalian. Oleh itu hendaknya kalian tetap menjaga perintahnya dan menjauhi laranganNya.

"150. Dan dari mana saja kamu keluar, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana pun kalian berada, maka palingkanlah wajah kalian ke arahnya agar tidak ada bagi manusia atas kalian alasan," 

Dari mana saja kalian, maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kalian berada, maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya, agar tidak ada hujjah bagi manusia.

Ketika Beliau s.a.w. menghadap ke Baitul Maqdis, orang-orang musyrik berhujah, "Bagaimana Beliau berada di atas agama Nabi Ibrahim a.s. dan termasuk keturunannya, padahal Beliau tidak menghadap ke kiblatnya?!"

Orang-orang ahli kitab pula berhujah bahawa disebutkan dalam kitab-kitab mereka bahawa kiblat yang tetap bagi Beliau s.a.w. dan umatnya adalah menghadap ke arah Ka'bah Baitullah al haram dalam ibadahnya.

Setelah diadakan pemindahan kiblat, maka ahli kitab dan kaum musyrikin sudah tidak memiliki hujjah lagi untuk menentang Beliau s.a.w.

"kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka." 

Hujjah mereka batil, hanya bersandar kepada hawa nafsu dan tidak perlu dipedulikan, kerana tidak ada manfa'atnya berbantah dengan mereka. Orang-orang musyrik mengatakan bahawa Nabi s.a.w. menghadap ke arah Baitul Maqdis kerana memeluk agama Nabi Ibrahim, tetapi dia berpaling darinya.

Kaum Ahli Kitab pula mengatakan bahawa Beliau s.a.w. berpaling ke arah Ka'bah kerana merindukan rumah ayahnya dan agama kaumnya. Kelak Beliau s.a.w. akan kembali kepada agama mereka, sebagaimana dia kembali kepada kiblat mereka.

"Maka janganlah kalian takut pada mereka, dan takutlah padaKu" 

Janganlah kalian takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu. Pemindahan arah kiblat merupakan fitnah yang besar. Fitnah itu diangkat-angkat oleh ahli kitab, kaum munafik dan kaum musyrik, mereka banyak membicarakannya dan menyampaikan berbagai syubhat. Namun, tuduhan mereka itu tidak perlu ditakuti.

Allahlah yang lebih berhak untuk ditakuti dengan tetap menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Takut kepadaNya merupakan asas semua kebaikan.

"dan agar Aku sempurnakan nikmatKu atas kalian," 

Dan agar Aku sempurnakan nikmatKu kepada kalian. Dasar nikmat adalah memperoleh hidayah untuk mengikuti agamaNya, setelah itu nikmat-nikmat yang lain yang melengkapinya. Setiap syari'at yang ditetapkan merupakan nikmat yang besar. Allah s.w.t. mensyariatkan agar menghadap ke arah Ka'bah, agar syariat yang dijalani merupakan syariat yang paling sempurna dari segala seginya.

"dan agar kalian mendapat petunjuk."

Agar kalian mengetahui kebenaran, dapat mengamalkannya dan tidak sesat seperti umat-umat terdahulu dari apa yang telah Kami tunjukkan kepada kalian dan Kami khususkan hal itu buat kalian.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...