Ahad, 21 Ogos 2016

2:258 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 258.

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (٢٥٨) 

Allah s.w.t. berfirman,

"258. Tidakkah kamu perhatikan kepada orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya," 

Perhatikanlah dengan hatimu, orang yang mendebat Nabi Ibrahim a.s. tentang keberadaan Tuhannya. Orang yang dimaksudkan adalah Raja Namrud dari Babil. Perdebatan antara Ibrahim a.s. dan Raja Namrud ini terjadi setelah Ibrahim a.s. selamat dari api.

Raja Namrud menyimpan makanan asasi dan orang ramai datang kepadanya untuk makanan itu. Lalu Namrud mengirimkan sejumlah utusannya, mengundang Ibrahim a.s. untuk makanan tersebut.

Ibrahim a.s. belum pernah bersua dengan Namrud kecuali hanya pada hari tersebut, lalu terjadilah perdebatan di antara keduanya tentang keesaan Allah dan tentang rububiyyahNya (kepengurusanNya) terhadap alam semesta.

"bahawa Allah telah memberinya kerajaan?" 

Hanya kerana Allah telah memberikan kepada orang itu kerajaan. Raja yang menguasai belahan timur dan barat dunia ada empat orang; dua orang di antaranya mukmin, sedangkan dua orang lainnya kafir. Raja yang mukmin ialah Sulaiman ibnu Daud dan Zulqarnain, sedangkan raja yang kafir ialah Namrud dan Bukhtanasar.

Raja Namrud memegang tahta pemerintahannya selama empat ratus tahun. Kerana lamanya masa dia memegang kerajaan, dia menjadi bongkak, melampaui batas, kekufuran yang berat dan ingkar terhadap keberadaan Tuhan selain dirinya sendiri. Dia menyangka bahawa dia berkuasa seperti kuasa Allah.

Namrud meminta kepada Ibrahim a.s. agar mengemukakan bukti yang menunjukkan keberadaan Tuhan yang diserukan olehnya. Dia bertanya, "Siapakah Tuhan yang kamu mengajak kami menyembahnya?"

"Ketika berkata Ibrahim, "Tuhanku yang menghidupkan dan mematikan.""

Ibrahim a.s. berkata, "Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan." Sesungguhnya bukti yang menunjukkan keberadaan Tuhan ialah adanya semua yang wujud di alam ini. Sebelumnya tidak ada, kemudian menjadi ada.

Segala sesuatu yang kita saksikan ini tidak ada dengan sendirinya, pasti ada Pencipta yang berbuat atas kehendakNya sendiri dengan pasti. Dialah Tuhan yang aku serukan kepadamu agar menyembahNya semata dan tidak ada sekutu bagiNya. Setelah itu Namrud mendebat Ibrahim a.s.

"Dia berkata, "Aku menghidupkan dan mematikan.""

Namrud berkata, "Aku juga dapat menghidupkan dan mematikan." "Menghidupkan" bagi Namrud bermaksud membiarkan hidup, dan "mematikan" bermaksud membunuh. Perkataan itu hanya untuk mengejek Ibrahim a.s.

Untuk membuktikan ucapannya itu raja tersebut mendatangkan dua orang lelaki yang dikenai hukuman mati. Lalu si Raja Namrud membunuh salah seorangnya dan memaafkan yang lainnya hingga selamat, tidak dikenai hukuman mati.

Akan tetapi, pada kenyataannya bukanlah demikian jawaban yang dikehendaki oleh Ibrahim a.s. dan tidak pula sealur dengannya. Hal tersebut tidak menghalangi adanya Pencipta.

Namrud mengakui kedudukan tersebut hanyalah semata-mata sebagai ungkapan keingkaran dan keangkuhannya, serta menyamarkan jawabannya seakan-akan dialah yang menghidupkan dan yang mematikan.

Sesungguhnya Tuhan yang menghidupkan dan yang mematikan adalah Yang dapat mengatur semua alam wujud, iaitu pada semua makhluk dan dapat menundukkan semua bintang serta peredarannya.

"Berkata Ibrahim, "Maka sungguh Allah mendatangkan matahari dari timur, maka datangkanlah ia dari barat." Maka kehilangan akal orang yang kafir."

Ibrahim a.s. berkata, "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat." Lalu terdiamlah orang yang kafir itu. Setelah Namrud menyedari kelemahan dan ketidakmampuannya, kerana dia tidak dapat membongkakkan dirinya lagi kali ini, maka dia terdiam, tidak dapat menjawab sepatah kata pun, dan hujah Ibrahim a.s. mematahkan hujahnya.

"Dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang berbuat zalim."

Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Dia membiarkan mereka di atas kekafiran dan kesesatan, kerana merekalah yang memilih hal tersebut untuk diri mereka. Dia tidak memberi ilham hujah dan bukti kepada mereka, bahkan hujah mereka terputus di hadapan Tuhan mereka.

Jika niat mereka mencari yang hak dan mencari hidayah, tentu Allah akan memberi mereka petunjuk dan memudahkan kepada mereka sebab-sebab untuk memperolehnya. Bagi mereka murka Allah serta azab yang keras.

Setelah terjadi perdebatan itu, maka Ibrahim a.s. tidak diberi makanan itu barang sedikit pun, sebagaimana orang ramai diberi makanan; bahkan Beliau keluar dengan tangan kosong.

Ketika Ibrahim a.s. hampir sampai ke rumah keluarganya, Beliau menuju ke suatu timbunan pasir, maka Beliau memenuhi kedua kantungnya dengan pasir itu, kemudian berkata, "Aku akan menyibukkan keluargaku dari mengingatku, jika aku datang kepada mereka."

Ketika sampai, Beliau langsung meletakkan pelana kenderaannya yang berisikan pasir itu dan langsung bersandar, lalu tidur. Maka isterinya Sarah bangkit menuju ke arah kedua kantung tersebut, dan dia mendapati keduanya dipenuhi oleh makanan yang baik.

Ketika Ibrahim a.s. terbangun dari tidurnya, Beliau mendapati apa yang telah dimasak oleh keluarganya, lalu bertanya, "Dari manakah kalian memperoleh semua ini?" Sarah menjawab, "Dari orang yang engkau datang darinya." Maka Ibrahim a.s. menyedari bahawa hal tersebut merupakan rezeki dari Allah yang dianugerahkan kepadanya.

Setelah itu Allah s.w.t. mengirimkan seorang malaikat kepada Namrud untuk menyerunya kepada iman. Tetapi dia menolak, lalu malaikat itu menyerunya untuk yang kedua kalinya dan untuk yang ketiga kalinya, tetapi dia tetap menolak.

Akhirnya malaikat berkata, "Kumpulkanlah semua kekuatanmu dan aku pun akan mengumpulkan kekuatanku juga."

Maka Namrud mengumpulkan semua bala tentera dan pasukannya di saat matahari terbit, dan Allah mengirimkan kepada mereka pasukan nyamuk yang menutupi mereka hingga tidak dapat melihat sinar matahari.

Lalu Allah menguasakan nyamuk-nyamuk itu atas mereka. Nyamuk-nyamuk itu memakan daging dan menyedut darah sehingga mereka menjadi tulang-belulang.

Salah seekor nyamuk memasuki kedua lubang hidung Namrud, lalu ia bersarang di bahagian dalam hidungnya selama empat ratus tahun sebagai azab dari Allah untuknya. Namrud memalu kepalanya selama masa itu hingga Allah membinasakannya dengan palu tersebut.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...