Sabtu, 13 Ogos 2016

33:35 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 35.

إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا (٣٥)

Kaum wanita menemui isteri-isteri Nabi s.a.w. Mereka berkata, "Sesungguhnya Allah telah menyebutkan kalian isteri-isteri Nabi s.a.w. di dalam Al Qur'an, sedangkan kami tidak pernah disebut-sebut, apakah memang pada kami tidak ada sesuatu yang patut untuk disebut-sebut?"

Ummu Salamah bertanya kepada Nabi s.a.w., "Mengapa kami kaum wanita tidak pernah disebut-sebut di dalam Al Qur'an sebagaimana kaum lelaki disebut-sebut di dalamnya?" Ummu Salamah tidak mendapat jawaban apa pun dari Beliau s.a.w. kecuali melalui seruannya di atas mimbar. Rasulullah s.a.w. membacakan ayat berikut di atas mimbarnya, seraya bersabda, "Hai manusia, sesungguhnya Allah telah menurunkan firmanNya yang mengatakan,

"35. Sesungguhnya lelaki muslim dan perempuan muslim," 

Allah s.w.t. menyebutkan kaum wanita selain isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Oleh kerana hukum kaum wanita dan kaum lelaki adalah sama, maka Allah jadikan hukumNya mengena kepada semuanya.

Lelaki dan perempuan muslim, iaitu orang-orang Islam (tunduk). Mereka melaksanakan syariat atau ajaran Islam yang zahir (tampak). Iman masih belum tentu masuk ke dalam hatinya.

"dan lelaki mukmin dan perempuan mukmin," 

Lelaki dan perempuan mukmin. Sesudah Islam terdapat tingkatan yang lebih tinggi daripadanya, iaitu iman. Mukmin bermaksud orang-orang yang beriman. Mereka mengerjakan syariat Islam yang batin (tersembunyi), seperti ‘akidah di hati dan amal-amal soleh dari hati. Iman itu lain dengan Islam, pengertiannya lebih khusus daripada Islam.

Seorang Mukmin tidak akan melakukan dosa. Seorang Muslim yang sedang melakukan dosa, iman dicabut dari dalam hatinya; namun hal ini tidak menunjukkan dia adalah seorang yang kafir.

"dan lelaki yang taat dan perempuan yang taat," 

Lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya. Sesudah Islam dan iman, timbulnya al qunut. Al qunut ertinya ketaatan yang mapan, teguh dan tegak berdiri. Mereka berterusan melakukan ketaatan.

"dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar," 

Lelaki dan perempuan yang benar, iaitu benar dalam pembicaraan (perkataan). Benar atau jujur merupakan pekerti yang terpuji. Sebahagian para sahabat Nabi s.a.w., baik di masa Islam maupun di masa Jahiliah, belum pernah sekalipun berdusta.

Benar dalam berkata menunjukkan iman pelakunya, sedangkan dusta menunjukkan kemunafikan pelakunya. Barang siapa yang berkata benar, nescaya ia selamat. Berpegang teguh kepada kebenaran membawa kepada kebajikan, dan kebajikan membawa kepada syurga. Kedustaan membawa kepada kederhakaan, dan kederhakaan membawa kepada neraka.

Seseorang yang terus-menerus berkata benar dan selalu memihak kepada kebenaran, akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang benar (siddiq). Dan seseorang yang terus-menerus berdusta dan selalu memihak kepada kedustaan, akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (kazzab).

"dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar," 

Lelaki dan perempuan yang sabar, iaitu orang-orang yang berhati teguh dan kuat dalam menghadapi segala macam kesulitan dan musibah dengan penuh kesedaran bahawa apa yang telah ditakdirkan pasti terjadi.

Kesabaran yang sebenarnya itu hanyalah terletak pada pertama kali ditimpa tekanan musibah. Ia menunjukkan kesabaran dan keteguhan hati watak seseorang. Kemudian sesudah itu lebih mudah menghadapinya.

"dan lelaki yang khusyuk dan perempuan yang khusyuk," 

Lelaki dan perempuan yang khusyuk, iaitu tenang, tumaninah, hati-hati, anggun, rendah diri, tahan uji, takut kepada Allah s.w.t., serta merasa selalu berada di dalam pengawasan Allah s.w.t. dalam semua keadaan, terutama dalam beribadah dan dalam solat.

"dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah," 

Lelaki dan perempuan yang bersedekah. Sedekah ertinya memberikan sumbangan kepada orang lain yang memerlukan bantuan kerana mereka adalah orang-orang yang lemah, tidak mempunyai mata pencarian, dan juga tidak ada penjamin. Mereka diberi dari lebihan harta sebagai amal ketaatan kepada Allah s.w.t. dan berbuat kebajikan kepada semua makhlukNya.

Seseorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi akan mendapat naungan dari Allah pada hari tiada naungan kecuali hanya naunganNya. Sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.

"dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa," 

Lelaki dan perempuan yang berpuasa. Puasa yang wajib maupun yang sunat adalah zakat badan. Puasa membersihkan, menyucikan dan mensterilkan tubuh dari berbagai macam campuran yang buruk menurut biologis dan hukum syara'. 

Barang siapa yang puasa bulan Ramadhan dan tiga hari setiap bulannya, maka dia termasuk apa yang disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat ini. Puasa juga merupakan cara terbaik untuk meredam nafsu birahi.

"dan lelaki yang memelihara kehormatan mereka dan perempuan yang memelihara," 

Lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya. Iaitu memeliharanya dari hal-hal yang diharamkan dan dosa-dosa, terkecuali terhadap hal-hal yang diperbolehkan.

"dan lelaki yang mengingat Allah banyak dan perempuan yang mengingat," 

Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, iaitu berzikir dan mengesakan Allah. Zikrullah adalah amalan yang yang paling baik, paling bersih di sisi Allah, paling meninggikan darjatnya di sisi Allah kelak pada hari kiamat dan paling menyelamatkan dari azab Allah s.w.t. Ia lebih baik daripada diberi emas dan perak, lebih baik daripada orang yang berjihad di jalan Allah.

Mereka menyebut nama Allah di sebahagian besar waktunya, terutama pada waktu ada zikir muqayyad (yang ditentukan bila dibaca), seperti zikir pagi dan petang dan zikir selepas solat. Suami dan isteri yang melakukan solat dua rakaat juga termasuk darinya.

Orang-orang yang berpuasa, solat, berzakat, berhaji, bersedekah dan mujahid yang paling banyak menyebut nama Allah mendapat paling banyak pahala. Mereka yang banyak menyebut nama Allah memborong semua kebaikan.

"Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar."

Allah s.w.t. telah menyediakan bagi mereka yang telah disebutkan di atas keampunan atas semua dosa mereka dariNya dan juga pahala yang besar, iaitu syurga.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...