Jumaat, 12 Ogos 2016

29:50-52 Tafsir Surah Al Ankabut, ayat 50-52.

وَقَالُوا لَوْلا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَاتٌ مِنْ رَبِّهِ قُلْ إِنَّمَا الآيَاتُ عِنْدَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُبِينٌ (٥٠) أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَى لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٥١) قُلْ كَفَى بِاللَّهِ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ شَهِيدًا يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالَّذِينَ آمَنُوا بِالْبَاطِلِ وَكَفَرُوا بِاللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (٥٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal orang-orang musyrik.

"50. Dan mereka berkata, "Mengapa tidak diturunkan kepadanya ayat-ayat dari Tuhannya?""

Mereka membangkang dan meminta supaya diturunkan mukjizat-mukjizat untuk membuktikan bahawa Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah, sebagaimana yang telah diberikan kepada Nabi Saleh a.s. dengan untanya. Permintaan itu menunjukkan kebodohan mereka yang parah dan rendahnya taraf berfikir mereka.

"Katakanlah, "Sungguh hanyalah ayat-ayat di sisi Allah.""

Penentuan ayat atau mukjizat tertentu bukanlah diserahkan kepada mereka, dan bukan pula diserahkan kepada rasul, tetapi diserahkan kepada Allah, jika Dia menghendaki, maka Dia menurunkannya dan jika tidak, maka Dia tidak menurunkannya.

Seandainya mereka mendapat hidayah dengan adanya mukjizat-mukjizat itu tentulah Dia akan memperkenankan permintaan mereka itu, sebab untuk mengabulkan permintaan mereka itu amatlah mudah sekali bagiNya. Tetapi Dia mengetahui bahawa mereka tidak akan beriman, dan sesungguhnya mereka memintanya hanya mencari-cari alasan untuk menolak dan ingin menguji.

Jika maksudnya adalah menjelaskan yang hak, dan ternyata boleh dilakukan dengan cara apa pun, maka mengusulkan mukjizat tersebut adalah suatu kezaliman, dan sikap sombong terhadap Allah dan terhadap kebenaran.

Jika ditakdirkan mukjizat yang mereka usulkan itu turun dan hati mereka tidak beriman kecuali dengannya, maka yang demikian bukanlah keimanan, akan tetapi hanya menurut hawa nafsu mereka sehingga mereka beriman, bukan kerana ia sebuah kebenaran, bahkan kerana ayat atau mukjizat itu menurut apa yang mereka usulkan.

"Dan sungguh hanyalah aku pemberi peringatan yang nyata."

Beliau s.a.w. tidak memiliki kedudukan lebih dari itu. Beliau s.a.w. diutus kepada mereka hanya sebagai pemberi peringatan kepada mereka dengan nyata, maka sudah merupakan kewajiban baginya menyampaikan risalah dari Allah kepada mereka.

Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barang siapa yang disesatkanNya, maka tiada seorang pun yang dapat memberi petunjuk. Bukanlah kewajiban Beliau s.a.w. menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendakiNya.

Maksud utamanya adalah untuk menerangkan yang hak, maka Allah s.w.t. menyebutkan jalannya, Dia berfirman,

"51. Apakah tidak cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan atasmu Al Kitab dibacakan kepada mereka?"

Maksudnya, apakah tidak cukup bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al Qur'an yang mulia, yang merupakan ayat Allah (mukjizat) yang terus menerus, berbeda dengan ayat-ayat (mukjizat)Nya yang lain. Di dalamnya terdapat ayat-ayat yang jelas dan penjelasan yang sangat bagus, tepat dan bijak, padahal yang membawanya seorang yang ummi (tidak kenal baca tulis).

Nabi Muhammad s.a.w. telah mendatangkan kepada mereka Al Qur’anul Karim yang tidak datang kepadanya kebatilan, baik dari depan maupun dari belakangnya; Al Qur'an adalah mukjizat yang paling besar di antara semua mukjizat. Semua ahli bahasa dan ahli sasterawan tidak mampu menyainginya, bahkan untuk menyaingi sepuluh surah yang serupa dengan surah-surah Al Qur'an pun mereka tidak mampu. Bahkan untuk menyaingi satu surah dari Al Qur'an pun mereka tidak mampu juga.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang nabi pun dari kalangan para nabi melainkan dianugerahi mukjizat yang mirip dengan apa yang dipercayai oleh manusia (di masanya). Dan sesungguhnya mukjizat yang diberikan kepadaku adalah berupa wahyu yang diturunkan Allah kepadaku, maka aku berharap semoga akulah yang paling banyak pengikutnya di antara mereka kelak pada hari kiamat."

Rasulullah s.a.w. adalah seorang lelaki yang ummi, tidak boleh membaca dan menulis, dan belum pernah bergaul dengan seorang pun dari kalangan Ahli Kitab. Tetapi Beliau s.a.w. dapat mendatangkan berita-berita yang terdapat di dalam kitab-kitab terdahulu dengan pemberitaan yang jelas dan benar, sedangkan mereka sendiri berselisih tentangnya. Beliau s.a.w. juga dapat mendatangkan perkara yang hak, jelas dan telus. Para ulama Bani Israil mengetahui tentangnya kerana ia telah tersebut di dalam kitab-kitab yang dahulu. 

"Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat rahmat dan peringatan bagi kaum yang beriman." 

Di dalam Al Qur'an terdapat ilmu yang banyak, penjelasan terhadap perkara yang hak dan melenyapkan kebatilan, berita yang ghaib, berita orang-orang sebelum mereka, berita apa yang akan terjadi sesudah mereka, hukum yang memutuskan di antara mereka, kebaikan yang melimpah, membersihkan hati dan ruh, menyucikan keyakinan, menyempurnakan akhlak, dan lain-lain.

Pengawasannya terhadap kitab-kitab terdahulu, pembenarannya terhadap yang benar dan pembersihannya terhadap penyelewengan tangan manusia terhadap kitab-kitab tersebut. 

Ditambah lagi dengan petunjuknya ke jalan yang lurus, perintahnya kepada semua kebaikan dan larangannya dari semua keburukan, perintah dan larangannya sejalan dengan keadilan dan kebijaksanaan lagi dapat dimengerti dan diterima oleh fitrah, di samping itu petunjuknya sejalan dengan setiap zaman dan setiap umat, di mana urusan mereka tidak akan baik kecuali dengan petunjuknya.

Semua itu sebenarnya bukti paling besar yang sudah cukup bagi orang yang membenarkan yang hak (benar) dan mencarinya.

"52. Katakanlah, "Cukuplah dengan Allah antara aku dan antara kalian menjadi saksi.""

Allah s.w.t. lebih mengetahui tentang kedustaan yang mereka perbincangkan dan apa yang Beliau s.a.w. sampaikan kepada mereka. Jika Beliau s.a.w. berdusta, tentulah Allah s.w.t. menimpakan azab kepadanya. Akan tetapi ternyata Allah s.w.t. menolong, membela dan memudahkan urusannya, mengukuhkan Beliau s.a.w. dengan berbagai mukjizat yang jelas dan dalil-dalil yang pasti. Maka cukuplah persaksian yang agung itu dari sisi Allah. Tetapi di dalam hati mereka tidak nampak, tidak mendengar persaksianNya dan tidak cukup sebagai dalil.

"Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi." 

Tiada sesuatu pun yang samar bagiNya.

"Dan orang-orang yang beriman kepada yang batil dan mereka ingkar kepada Allah," 

Mereka mendustakan para rasul, padahal semua dalil dan bukti menunjukkan kebenaran para rasul, tetapi mereka percaya kepada taghut dan berhala-berhala tanpa dalil.

"mereka itulah orang-orang yang rugi." 

Maka kelak Allah akan membalas perbuatan mereka itu kerana mereka membeli kekafiran dengan keimanan, membeli azab dengan kenikmatan dan membeli kerugian dengan keuntungan. Sesungguhnya Dia Mahabijaksana lagi Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...