Isnin, 15 Ogos 2016

42:1-6 Tafsir Surah Asy Syura, ayat 1-6.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

حمٓ (١) عٓسٓقٓ (٢) كَذَلِكَ يُوحِي إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ اللَّهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٣) لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ (٤) تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْ فَوْقِهِنَّ وَالْمَلائِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَنْ فِي الأرْضِ أَلا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (٥) وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَولِيَاءَ اللَّهُ حَفِيظٌ عَلَيْهِمْ وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ بِوَكِيلٍ (٦)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Ha Mim."

"2. 'Ain Sin Qaf."

"3. Demikianlah Dia mewahyukan kepadamu dan kepada orang-orang yang sebelum kamu, Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana." 

Allah Yang Mahaperkasa dalam pembalasanNya lagi Maha Bijaksana dalam semua perkataan dan perbuatanNya menurunkan kitab kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana Dia menurunkan kitab-kitab dan suhuf-suhuf kepada para nabi dan para rasul sebelumnya.

Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah rasul yang baru, dan jalan Beliau s.a.w. sama seperti jalan rasul-rasul sebelumnya. Keadaannya sama seperti keadaan para rasul sebelumnya. Apa yang Beliau s.a.w. bawa sama seperti yang mereka bawa, kerana semuanya hak dan benar.

Adakalanya wahyu datang kepada Rasulullah s.a.w. seperti suara gemerencingnya lonceng, saat itu Beliau s.a.w. diam dan wahyu ini merupakan yang paling berat baginya. Apabila telah selesai, maka Beliau s.a.w. telah hafal tentang semua yang disampaikan oleh Jibril a.s.

Adakalanya malaikat itu datang kepadanya sebagai seorang lelaki, lalu ia berbicara dengan Beliau s.a.w. dan Beliau s.a.w. hafal semua yang disampaikannya. Adakalanya wahyu diturunkan kepadanya di hari yang sangat dingin. Manakala wahyu telah selesai darinya, keningnya benar-benar mengucurkan peluh. Setiap kali wahyu diturunkan, Beliau s.a.w. merasakan seakan-akan nyawanya dicabut kerana beratnya wahyu.

"4. MilikNya apa yang di langit dan apa yang di bumi." 

Semuanya adalah hamba-hambaNya, ciptaan-ciptaanNya dan milikNya serta berada di bawah kekuasaan dan pengaturanNya baik yang bersifat qadari (ketetapanNya terhadap alam semesta) maupun syar’i (ketetapanNya dalam agama).

"Dan Dia Maha Tinggi Maha Besar." 

Baik zatNya, kedudukanNya maupun kekuasaanNya.

"5. Hampir-hampir langit terbelah dari atasnya" 

Langit hampir pecah dari sebelah atasnya kerana takut kepada kebesaran Allah s.w.t.

"dan malaikat-malaikat bertasbih dengan memuji Tuhan mereka" 

Malaikat yang mulia, yang memikul 'Arasy, yang berada di sekelilingnya lagi didekatkan, beriman kepadaNya, bertasbih memujiNya, tunduk kepada keagunganNya, menyerahkan diri kepada keperkasaanNya dan tunduk dengan rububiyyahNya. Mereka mengagungkanNya dari setiap kekurangan, dan menyifatiNya dengan semua kesempurnaan.

"dan mereka memohonkan ampun bagi orang yang di bumi." 

Iaitu kaum mukmin atau orang-orang yang beriman. Para malaikat itu mengucapkan, "Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu.”

"Ingatlah, sesungguhnya Allah Dia Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Dengan keampunan dan rahmatNya, Dia tidak menyegerakan hukuman yang membinasakan kepada makhlukNya yang derhaka.

Dengan disifatinya Allah s.w.t. dengan sifat-sifat ini setelah disebutkan bahawa Dia memberi wahyu kepada para rasul secara umum dan Nabi Muhammad s.a.w. secara khusus terdapat isyarat bahawa dalam Al Qur’anul Karim ini terdapat dalil-dalil dan bukti-bukti serta ayat-ayat yang menunjukkan kesempurnaan Allah s.w.t.

Demikian pula disifatinya Allah s.w.t. dengan nama-nama yang agung akan membuat hati penuh dengan ma’rifat (mengenal) kepadaNya, mencintaiNya, mengagungkanNya dan memuliakanNya, serta membuat manusia mengarahkan ibadah baik yang tampak maupun yang tersembunyi kepada Allah s.w.t.

"6. Dan orang-orang yang mengambil dari selain Dia pelindung-pelindung," 

Kaum musyrik menyembah dan meminta perlindungan kepada patung dan berhala. Sesungguhnya yang mereka ambil adalah sesuatu yang batil, bukan pelindung sama sekali. Kezaliman yang paling besar serta perkataan yang paling buruk adalah mengadakan tandingan-tandingan bagi Allah, padahal tandingan-tandingan itu tidak mampu memberikan manfaat dan menimpakan madharrat.

"Allah pengawas atas mereka;" 

Allah s.w.t. mengawasi segala sesuatunya. Dia menyaksikan, mengetahui, menjaga semua amal perbuatan mereka. Dia mencatatnya dan menyimpannya dengan rapi, dan kelak mereka akan mendapat pembalasan yang setimpal.

"dan tidak kamu atas mereka diserahi pengawasan." 

Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah orang yang dipertanggungjawabkan mengawasi mereka. Kewajiban atau tugasnya hanyalah menyampaikan dan memberi peringatan kepada manusia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...