Selasa, 2 Ogos 2016

5:97-100 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 97-100.

جَعَلَ اللَّهُ الْكَعْبَةَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ قِيَامًا لِلنَّاسِ وَالشَّهْرَ الْحَرَامَ وَالْهَدْيَ وَالْقَلائِدَ ذَلِكَ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَأَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (٩٧) اعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ وَأَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٩٨) مَا عَلَى الرَّسُولِ إِلا الْبَلاغُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ (٩٩) قُلْ لا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الألْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (١٠٠)

Allah s.w.t. berfirman, 

"97. Allah menjadikan Ka'bah, rumah suci menegakkan bagi manusia." 

Allah telah menjadikan Ka'bah, rumah suci tempat manusia berkumpul. Ka'bah dan sekitarnya menjadi tempat yang aman bagi manusia untuk mengerjakan urusan-urusannya yang berhubungan dengan duniawi dan ukhrawi, dan menjadi pusat bagi amalan haji.

Di sana manusia dari beragam bangsa dan bahasa berkumpul, saling kenal-mengenal dan saling bahu-membahu serta bermusyawarah untuk maslahat bersama dan memperbaiki hubungan.

Sebahagian ulama berkata, "Sesungguhnya berhaji ke Baitullah fardhu kifayah pada setiap tahunnya. Jika sampai manusia meninggalkannya, maka berdosalah semua yang mampu. Bahkan, jika manusia meninggalkan haji, maka akan menyingkir penopang hidup mereka dan akan tegak kiamat."

"Dan bulan suci," 

Maksudnya adalah bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Pada bulan-bulan itu dilarang mengadakan peperangan, oleh kerananya manusia merasakan keamanan di bulan-bulan itu.

"dan hadya," 

Hadya atau hadyu adalah haiwan korban yang dijadikan sebagai hadiah dibawa oleh orang yang menunaikan haji atau umrah dan di sembelih sesudah melakukannya, seperti unta, sapi, kambing atau biri-biri.

"dan qala id."

Qala id adalah haiwan-haiwan ternak yang dikalungi oleh pemiliknya sebagai tanda bahawa haiwan tersebut telah dinazarkan untuk Allah dan dilepaskan merumput dengan bebas hingga disembelih pada waktu dan tempat nazar. Diantaranya adalah hadyu (haiwan ternak). Maka haiwan ini haram diganggu dan dia tidak boleh disembelih kecuali sesuai dengan nazar tersebut.

Dengan penyembelihan hadyu dan qalaaid, orang yang berkorban mendapatkan keamanan di samping pahala yang besar, sedangkan orang fakir miskin mendapat bahagian dari daging binatang-binatang sembelihan itu.

"Demikian itu agar kalian mengetahui, bahawasanya Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bahawasanya Allah dengan segala sesuatu Maha Mengetahui."

Dengan adanya ka'bah, bulan haram, hadyu dan qalaa'id, kehidupan manusia menjadi tegak, kerana di sana terdapat tindakan penarikan berbagai manfaat dan pencegahan berbagai bahaya sebelum terjadinya. Allah Maha Mengetahui apa yang akan terjadi serta hal yang bermaslahat bagi manusia.

"98. Ketahuilah bahawasanya Allah sangat keras siksaNya, dan bahawasanya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Allah sangat keras siksaanNya terhadap orang yang bermaksiat kepadaNya dan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap orang yang bertaubat dan taat kepadaNya, ada dalam diri seseorang sehingga membuahkan rasa takut terhadap siksaNya dan mengharap ampunan dan pahalaNya serta mengerjakan perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya.

"99. Tidaklah diwajibkan atas Rasul kecuali menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kalian tampakkan dan apa yang kalian sembunyikan." 

Kewajiban Rasul hanyalah menyampaikan amanat Allah. Selain itu, bukanlah tugasnya. Allah Maha Mengetahui setiap amalan, niat dan tujuan.

"100. Katakanlah, "Tidak sama yang buruk dan yang baik, walaupun menarik hatimu kebanyakan yang buruk.""

Tidaklah sama perbuatan buruk dengan perbuatan baik, kekafiran dengan keimanan, ketaatan dengan kemaksiatan, amal buruk dengan amal baik, yang haram dengan yang halal, dan penghuni neraka dengan penghuni syurga.

Perbuatan buruk tidaklah bermanfaat apa-apa bagi pelakunya, bahkan merugikan dirinya baik di dunia maupun di akhirat. Sedikit perkara halal yang bermanfaat lebih baik daripada banyak perkara haram yang menimbulkan mudarat. Sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan.

Sa'labah ibni Hatib Al Ansari pernah memohon, "Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah semoga Dia memberiku rezeki harta yang berlimpah." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sedikit rezeki yang kamu dapat mensyukurinya lebih baik daripada banyak rezeki tetapi kamu tidak mampu mensyukurinya."

"maka bertakwalah kalian kepada Allah wahai orang yang mempunyai akal," 

Orang-orang yang berakal sihat lagi lurus akan menjauhi dan meninggalkan hal-hal yang haram. Mereka hanya menerima hal-hal yang halal dan merasa cukup dengannya.

"agar kalian beruntung."

Keberuntungan di dunia dan akhirat hanya boleh diperolehi dengan ketakwaan, barang siapa yang meninggalkan ketakwaan, maka ia akan mendapatkan kerugian.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...