Sabtu, 24 September 2016

25:41-44 Tafsir Surah Al Furqan, ayat 41-44.

وَإِذَا رَأَوْكَ إِنْ يَتَّخِذُونَكَ إِلا هُزُوًا أَهَذَا الَّذِي بَعَثَ اللَّهُ رَسُولا (٤١) إِنْ كَادَ لَيُضِلُّنَا عَنْ آلِهَتِنَا لَوْلا أَنْ صَبَرْنَا عَلَيْهَا وَسَوْفَ يَعْلَمُونَ حِينَ يَرَوْنَ الْعَذَابَ مَنْ أَضَلُّ سَبِيلا (٤٢) أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا (٤٣) أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلا كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلا (٤٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang ejekan yang dilontarkan terhadap Rasulullah s.a.w.

"41. Dan apabila mereka melihat kamu, tidaklah mereka menjadikan kamu kecuali ejekan,"

Mereka adalah orang-orang musyrik yang mendustakan Nabi Muhammad s.a.w. dan menentang ayat-ayat Allah lagi bersikap sombong di bumi. Mereka menuduhnya melakukan suatu hal yang aib dan merendahkannya. Dengan nada sinis dan mengejek, mereka mengatakan,

"Apakah ini yang Allah mengutus Rasul?" 

Mereka menganggap bahawa seandainya risalah itu diberikan kepada selain Nabi Muhammad s.a.w., maka lebih tepat. Hal ini disebabkan kebodohan, kezaliman, kesesatan, melampau dan pembangkangan mereka yang sungguh keras serta hendak memutarbalikkan fakta. Padahal mereka tahu keadaan yang sebenarnya.

Sesiapa yang memperhatikan keadaan Nabi Muhammad s.a.w., tentu dia akan mendapati bahawa Beliau orang yang paling sesuai memegang kepemimpinan, paling cerdas di antara mereka, memiliki ilmu, ketenangan, akhlak yang mulia, ‘iffah (kesucian diri), keberanian, kedermawanan dan semua akhlak utama.

Maksud ucapan itu adalah untuk menguatkan kebatilannya dengan cara mengkritik kebenaran dan pembawanya. Mereka mencacatkan dan menghina Beliau s.a.w. agar mereka tetap istiqamah di atas kebatilan dan menipu orang-orang yang kurang akal.

"42. Sesungguhnya hampir pasti dia sesatkan kita dari tuhan-tuhan kita," 

Mereka bermaksud bahawa Beliau s.a.w. hampir saja memesongkan mereka dari menyembah berhala kepada menyembah hanya satu Tuhan. Mereka menyangka bahawa tauhid adalah kesesatan, dan bahawa syirk adalah petunjuk. Mereka saling berpesan agar terus bersabar melakukan syirk.

"seandainya tidak bahawa kita bersabar atasnya." 

Mereka bermaksud kalaulah mereka tidak sabar, tabah dan tetap menyembah berhala-berhala mereka, pasti mereka akan disesatkan oleh Beliau s.a.w.

Sabar di semua keadaan adalah terpuji kecuali pada keadaan ini. Sabar tersebut adalah sabar tercela, kerana sabar untuk tetap di neraka.

"Dan kelak mereka akan mengetahui ketika mereka melihat azab, siapa yang lebih sesat jalan." 

Iaitu di akhirat.

"43. Tidakkah kamu perhatikan orang yang mengambil tuhannya hawa nafsunya." 

Tidakkah engkau hairan melihat keadaannya dan kesesatan yang ada pada dirinya, namun menurutnya ia berada dalam keadaan yang terbaik. Dia kerjakan apa yang diinginkan hatinya. Mana saja yang dianggap baik oleh selera hawa nafsunya, maka itu adalah tuntunan dan panutannya. Mereka hanyalah tertipu oleh syaitan yang menjadikan mereka menganggap baik perbuatan buruknya.

"Maka apakah kamu menjadi atasnya pemelihara?" 

Engkau tidak berkuasa terhadapnya, engkau tidak dapat menjaganya dari mengikuti hawa nafsunya. Engkau hanyalah pemberi peringatan dan engkau telah melakukan tugasmu, adapun hisabnya maka diserahkan kepada Allah.

Dahulu di masa Jahiliah, seseorang menyembah batu putih selama suatu masa. Maka bila ia melihat sesuatu yang lain yang lebih baik daripada batu putih sembahannya itu, ia beralih menyembahnya dan meninggalkan sembahan yang pertama.

"44. Atau kamu mengira bahawa kebanyakan mereka, mereka mendengar, atau memahami?" 

Allah menghukum mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar dan memahami apa yang engkau sampaikan kepada mereka.

"Tidaklah mereka kecuali seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalan." 

Mereka diciptakan untuk beribadah kepada Allah semata tiada sekutu bagiNya, tetapi mereka menyembah selainNya dan mempersekutukanNya dengan yang lain, padahal hujah telah ditegakkan terhadap mereka dengan diutusNya para rasul kepada mereka.

Mereka lebih buruk dan sesat keadaannya daripada haiwan ternak yang dilepas bebas, kerana sesungguhnya haiwan ternak itu hanyalah melakukan sesuai dengan naluri kehaiwanannya. Mereka itu tidak mendengar apa-apa selain suara panggilan dan teriakan saja. Mereka tuli, bisu dan buta hatinya.

Haiwan ternak itu apabila diarahkan oleh penggembalanya akan menurut dan apabila mengetahui jalan yang menjurus kepada kebinasaan, ia segera menjauhinya. Maka, haiwan ternak tersebut lebih pandai daripada mereka itu.

Oleh itu, orang yang menuduh Rasulullah s.a.w. tersesat layak mendapat sifat itu dan bahawa haiwan ternak lebih lurus jalannya daripada mereka. Sebenarnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya. Tiada seorang pun yang dapat memberikan petunjuk kepada orang yang telah ditakdirkan celaka dan sesat selain Dia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...