Isnin, 5 September 2016

33:36 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 36.

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا (٣٦)

Sebahagian ulama berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Abdullah bin Jahsy dan saudarinya Zainab binti Jahsy Al Asadiyyah r.a.

Rasulullah s.a.w. melamar Zainab. Mereka menyangka bahawa Nabi s.a.w. melamar Zainab untuk dirinya sendiri. Nabi s.a.w. sebenarnya melamar Zainab untuk bekas maula atau pelayan lelakinya Zaid ibnu Harisah r.a.

Zainab adalah seorang wanita yang keras. Dia menolak lamaran itu kerana dia menganggap keturunannya lebih baik daripada Zaid. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini. Akhirnya Zainab menerima lamaran itu kerana akur dengan perintah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.

Ada juga yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Ummu Kalsum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’it r.a., wanita yang pertama berhijrah, iaitu setelah Perjanjian Hudaibiyyah. Ia menyerahkan dirinya kepada Nabi s.a.w. Lalu Beliau s.a.w. menerima penyerahan dirinya dan menikahkannya dengan Zaid bin Haritsah r.a.

Kisah ini terjadi sesudah Zaid ibnu Harisah bercerai dengan Zainab binti Jahsy (Hanya Allah Yang Maha Mengetahui). Lalu dia dan saudaranya marah kerana yang mereka mahu adalah diri Rasulullah s.a.w., tetapi Beliau s.a.w. mengahwinkannya dengan bekas hambanya. Maka turunlah ayat ini.

Menurut pendapat lain lagi, ayat ini turun berkenaan Julaibib. Rasulullah s.a.w. melamar anak perempuan seorang lelaki dari kalangan Ansar. Lelaki itu menyangka Beliau s.a.w. melamar untuk dirinya. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. melamar untuk Julaibib. Lelaki itu menceritakan kepada isterinya tentang pelamaran itu. Tetapi isterinya tidak bersetuju.

Anak perempuannya berada di balik tirai pintu kamarnya mendengar perbincangan mereka. Lalu lelaki itu bermaksud menemui Rasulullah s.a.w. untuk menceritakan hal tersebut. Tiba-tiba anak perempuannya itu berkata, "Apakah kalian hendak menolak lamaran yang telah diajukan oleh Rasulullah s.a.w.?" Maka turunlah ayat ini.

Akhirnya keduanya bersetuju. Maka Rasulullah s.a.w. mengahwinkan anak perempuan lelaki itu dengan Julaibib. Sesudah itu penduduk Madinah diserang oleh musuh. Julaibib menyertai Rasulullah s.a.w. ke medan perang. Julaibib dijumpai berada di samping jenazah tujuh orang dari kaum musyrik yang telah dibunuhnya, kemudian musuh membunuhnya.

Rasulullah s.a.w. berdoa buat janda Julaibib, "Ya Allah, curahkanlah kepadanya nikmatMu sederas-derasnya, dan janganlah engkau jadikan penghidupannya sengsara." Sesudah itu dia benar-benar termasuk wanita yang paling dermawan di Madinah.

"36. Dan tidak ada bagi lelaki mukmin dan tidak perempuan mukmin apabila Allah menetapkan dan RasulNya perkara, bahawa adalah bagi mereka pilihan dari perkara mereka." 

Walaupun ayat ini berlatar belakangkan kisah-kisah lamaran, ayat ini mengandung makna yang umum ke atas semua urusan. Orang-orang yang memiliki sifat iman sepatutnya segera mengerjakan perintah dan melakukan perbuatan yang diridhai Allah dan RasulNya. Mereka juga sepatutnya menjauhi larangan kemurkaan Allah dan RasulNya.

Apabila Allah s.w.t. dan RasulNya memutuskan suatu perkara, maka seorang pun tidak diperkenankan menentangnya. Tidak boleh ada pilihan, pendapat atau ucapan lain selain dari apa yang telah ditetapkan itu.

Rasulullah s.a.w. lebih utama bagi mereka daripada diri mereka sendiri. Oleh itu, jangan sampai sebahagian hawa nafsu mereka menghalanginya menjalankan perintah Allah dan RasulNya.

"Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguh dia telah sesat kesesatan yang nyata."

Jalan yang lurus menghubungkan kepada syurga, sedangkan jalan-jalan yang lain menghubungkan ke neraka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...