Rabu, 28 September 2016

39:49-52 Tafsir Surah Az Zumar, ayat 49-52.

فَإِذَا مَسَّ الإنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ (٤٩) قَدْ قَالَهَا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَمَا أَغْنَى عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (٥٠) فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَؤُلاءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ (٥١) أَوَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٥٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan watak, keadaan dan tabiat manusia.

"49. Maka apabila ditimpa manusia bahaya, dia menyeru Kami," 

Ketika ditimpa bencana, kesusahan, penyakit, marabahaya, musibah dan sebagainya, dia berdoa kepada Allah dengan berendah diri, ia kembali kepadaNya dan memohon kepadaNya sambil mendesak dalam doanya agar dibebaskan dari penderitaannya dan dihilangkan bencana itu.

"kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami," 

Apabila Allah s.w.t. menghilangkan bencana itu dan memberinya nikmat, maka lupalah dia kepada Allah dan bersikap angkuh dan melampaui batas. Ia kembali kafir kepada Tuhannya dan mengingkari kebaikanNya.

"dia berkata, "Sungguh hanyalah aku diberinya kerana ilmu.""

Allah mengetahui bahawa diriku berhak untuk menerimanya. Aku mengetahui cara untuk berjaya. Aku diberi ini hanyalah kerana kepandaian dan kepakaran yang kumiliki. Seandainya aku tidak mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang khusus di sisi Allah, tentulah Dia tidak akan memberiku nikmat ini. Banyak lagi ucapan lain yang seumpamanya.

"Sebenarnya, ia menjadi fitnah," 

Keadaan yang sebenarnya tidaklah seperti yang diduga, bahkan nikmat yang Dia berikan hanyalah semata-mata sebagai ujian dan cobaan terhadapnya. Allah menyaksikan siapa yang bersyukur dan taat atau siapa yang kufur dan derhaka sesudahnya, walaupun akibatnya sudah Dia ketahui.

"akan tetapi kebanyakan mereka, mereka tidak mengetahui." 

Kerana itulah mereka berani berkata seperti itu. Mereka menganggap bahawa ujian itu merupakan nikmat. Bagi mereka terasa samar kebaikan yang murni dengan sesuatu yang menjadi sebab kepada kebaikan atau keburukan.

"50. Sungguh, telah mengatakannya orang-orang yang sebelum mereka," 

Ucapan dan pengakuan seperti itu telah dikatakan juga oleh kebanyakan orang dari kalangan umat-umat terdahulu seperti Qarun dan kaumnya yang ridha dengan sikapnya itu. Sikap dan ucapan itu diwarisi dari orang-orang terdahulu yang kufur nikmat, tidak mengakui nikmat Allah, dan tidak melihat hakNya sehingga mereka dibinasakan Allah, dan ketika azab datang.

"maka tidak berguna dari mereka apa yang mereka, mereka usahakan." 

Sia-sialah apa yang telah mereka usahakan dan tidaklah berguna sedikit pun bagi mereka.

"51. Maka akan menimpa mereka bencana kejahatan-kejahatan apa yang mereka usahakan."

Mereka ditimpa bencana sebagai hukuman bagi amal mereka.

"Dan orang-orang yang mereka zalim di antara mereka akan menimpa mereka kejahatan-kejahatan apa yang mereka usahakan dan tidaklah mereka melemahkan." 

Orang-orang yang merasa atau mengucapkan kata-kata membangga diri seperti yang tersebut juga akan ditimpa akibat buruk dari usahanya sebagaimana yang telah menimpa umat-umat terdahulu itu. Mereka tidaklah lebih baik atau hebat daripada generasi sebelum mereka. Banyak harta, anak-anak, pekerja, pengikut dan pemilikan lain yang seumpamanya tidaklah menjamin seseorang itu bebas dari azab. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membanggakan diri.

"52. Apakah tidak mereka mengetahui bahawasanya Allah melapangkan rezeki bagi orang yang Dia kehendaki dan Dia menyempitkan?" 

Allah melapangkan rezeki atau menyempitkan rezeki bagi siapa atau kaum yang dikehendakiNya baik mereka itu soleh atau tidak. RezekiNya diberikan kepada semua makhlukNya, namun iman dan amal soleh hanya diberikan kepada makhluk pilihanNya.

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ayat-ayat bagi kaum mereka beriman." 

Iaitu pelajaran dan hujjah-hujjah. Orang-orang yang beriman mengetahui, bahawa pelapangan dan penyempitan rezeki kembali kepada hikmah dan rahmatNya. Dia lebih mengetahui keadaan hambaNya.

Adakalanya Dia menyempitkan rezeki kepada mereka kerana kelembutanNya kepada mereka, kerana jika Dia melapangkannya tentu mereka akan berbuat zalim di bumi, sehingga Allah s.w.t. dalam hal itu memperhatikan baik tidaknya bagi agama mereka, dimana agama merupakan materi kebahagiaan dan keberuntungan mereka, wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...