Rabu, 7 September 2016

42:7-10 Tafsir Surah Asy Syura, ayat 7-10.

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِتُنْذِرَ أُمَّ الْقُرَى وَمَنْ حَوْلَهَا وَتُنْذِرَ يَوْمَ الْجَمْعِ لا رَيْبَ فِيهِ فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ (٧) وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَهُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمُونَ مَا لَهُمْ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ (٨) أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ فَاللَّهُ هُوَ الْوَلِيُّ وَهُوَ يُحْيِي الْمَوْتَى وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٩) وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ (١٠)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan nikmatNya kepada RasulNya Muhammad s.a.w. dan kepada manusia kerana telah menurunkan Al Qur’an sebagaimana yang telah Dia wahyukan kepada nabi-nabi sebelumnya.

"7. Dan demikian Kami wahyukan kepadamu Al Qur’an bahasa Arab," 

Allah s.w.t. mewahyukan Al Qur’an kepada Beliau s.a.w. dalam bahasanya iaitu bahasa Arab yang jelas lafaz dan maknanya.

"supaya kamu beri peringatan ibu kota dan orang yang sekelilingnya" 

Supaya Beliau s.a.w. memberi peringatan kepada manusia bermula dari Ummul Qura iaitu kota Mekah sehingga ke seluruh dunia. Kota Mekah dinamakan Ummul Qura kerana ia merupakan kota yang paling mulia, paling baik dan paling disukai oleh Allah.

"dan kamu beri peringatan hari berkumpul tidak ada keraguan di dalamnya." 

Hari Kiamat disebut hari berkumpul kerana pada hari yang pasti akan terjadi itu semua makhluk baik yang terdahulu maupun yang kemudian dikumpulkan di suatu lapangan yang sangat luas.

Manusia terbahagi menjadi dua golongan sebagai keputusan yang adil dari Allah s.w.t.

"Segolongan dalam syurga" 

Iaitu mereka yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasulNya.

"dan segolongan dalam neraka." 

Mereka adalah orang-orang kafir yang mendustakan.

"8. Dan jika Allah menghendaki, tentu Dia jadikan mereka umat yang satu," 

Iaitu satu umat saja yang berada di atas petunjuk. Dia mampu melakukannya. TindakanNya mengandung hikmah dan alasan yang sangat tepat.

"akan tetapi Dia memasukkan siapa yang Dia kehendaki dalam rahmatNya." 

Allah s.w.t. memisahkan di antara mereka. Dia memberi petunjuk kepada jalan yang benar siapa yang dikehendakiNya di antara makhlukNya.

"Dan orang-orang yang zalim, tidaklah bagi mereka dari seorang pelindung dan tidak seorang penolong." 

Dia menyesatkan dari jalan yang benar siapa yang dikehendakiNya. Orang-orang zalim tidak sesuai mendapat kebaikan, maka mereka terhalang dari mendapatkan rahmat sehingga tidak ada yang membimbing mereka memperoleh hal yang dicintai dan tidak ada yang menghindarkan sesuatu yang tidak disukai dari mereka.

"9. Ataukah mereka mengambil dari selain Dia pelindung-pelindung?"

Orang-orang musyrik telah membuat kesalahan yang sangat besar kerana mereka telah menjadikan tuhan-tuhan lain selain Allah.

"Maka Allah, Dia Pelindung." 

Dialah pelindung atau wali yang sebenarnya. Tidak layak penyembahan dilakukan kecuali hanya kepadaNya semata.

"Dan Dia menghidupkan orang-orang yang mati, dan Dia atas segala sesuatu Maha Kuasa." 

Dia adalah Mahakuasa untuk mematikan yang hidup dan menghidupkan yang mati. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Dialah yang mengatur dengan kehendak dan qadarNya. 

"10. Dan apa yang kalian perselisihkan padanya dari sesuatu," 

Iaitu berlainan pendapat tentang sesuatu. Berselisihan dan tidak sepakat dalam segala sesuatu urusan, baik tentang usul (masalah pokok) maupun furu’ (masalah cabang).

"maka putusannya kepada Allah." 

Kembalikanlah atau rujuklah keputusanNya di dalam KitabNya iaitu Al Qur'an dan sunnah NabiNya. Dia memberikan keputusan di antara hamba-hambaNya dengan keputusan qadariNya, syar’iNya dan jaza’i(pembalasan)Nya. Yang dihukuminya adalah hak dan yang menyelisihinya adalah batil.

Ada yang menafsirkan, bahawa apa saja yang diperselisihkan dengan orang kafir, maka Dia akan memutuskannya pada hari Kiamat.

"Demikianlah Allah Tuhanku" 

Yang memiliki sifat-sifat demikian iaitu yang memutuskan segala sesuatu itu adalah Allah kerana Dia adalah Ar Rabb, Pencipta, Pemberi rezeki, dan pengatur.

"kepadaNya aku bertawakkal dan kepadaNya aku kembali." 

Hanya kepadaNyalah aku merujuk dalam semua urusan. Aku bersandar kepadaNya dalam mendatangkan manfaat dan menolak madharat serta percaya kepadaNya bahawa Dia akan memberikan pertolongan. KepadaNya aku menghadap, baik dengan hatiku maupun badanku serta taat dan beribadah kepadaNya.

Dengan berkumpulnya keduanya tercapailah kesempurnaan pada seorang hamba, dan kesempurnaan itu akan hilang ketika keduanya hilang atau salah satunya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...