Khamis, 15 September 2016

5:103-104 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 103-104.

مَا جَعَلَ اللَّهُ مِنْ بَحِيرَةٍ وَلا سَائِبَةٍ وَلا وَصِيلَةٍ وَلا حَامٍ وَلَكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَأَكْثَرُهُمْ لا يَعْقِلُونَ      (١٠٣) وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ (١٠٤)

Allah s.w.t. berfirman mencela orang-orang musyrik yang telah menetapkan aturan agama yang tidak diizinkanNya. Mereka mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, mereka mengharamkan binatang ternak berdasarkan pendapat mereka semata.

"103. Tidaklah Allah menjadikan dari Bahirah," 

Allah sekali-kali tidak pernah mensyari'atkan adanya Bahirah, iaitu unta betina yang mereka belah telinganya. Seekor unta betina yang telah beranak lima kali. Mereka melihat anak yang kelima itu. Jika jantan, mereka menyembelihnya dan memakannya. Tetapi hanya kaum lelaki yang boleh memakannya. Kaum wanita tidak boleh.

Dan jika betina, maka mereka membelah telinganya, lalu mereka katakan, "Ini adalah haiwan bahirah." Kemudian dilepaskan, tidak boleh ditunggangi, tidak boleh mencukur bulunya dan tidak boleh diperah air susunya oleh seorang pun kerana dikhususkan hanya untuk berhala mereka saja. Tetapi apabila haiwan bahirah ini mati, mereka boleh memanfaatkannya bersama-sama.

"dan tidak Sa'ibah," 

Saibah ialah haiwan yang mereka biarkan hidup bebas demi berhala-berhala mereka. Mereka berangkat menuju tempat berhala-berhala mereka dengan membawa ternak saibah, lalu mereka membiarkannya hidup bebas pergi ke mana saja. Ia tidak digunakan untuk bekerja, tidak ditunggang, tidak mengangkut barang, tidak boleh dipotong bulunya, tidak disembelih dan tidak boleh diperah susunya kecuali untuk menjamu tetamu. Barang siapa yang berani mengganggunya akan dikenakan hukuman dunia.

Orang-orang Jahiliah apabila hendak melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat, keperluannya terkabul, disembuhkan dari sakitnya atau hartanya bertambah banyak, maka ia bernazar menjadikan seekor ternakan miliknya sebagai haiwan saibah demi berhala-berhala mereka. Anak yang lahir darinya dipersembahkan untuk berhala juga.

Unta betina yang telah melahirkan sepuluh ekor anak yang semuanya betina, tanpa ada jenis jantannya akan dijadikan haiwan saibah.

Kambing betina yang telah melahirkan enam ekor anak yang semuanya betina. Apabila anak yang ketujuhnya lahir dan ternyata jantan, baik tunggal ataupun kembar, maka mereka menyembelihnya, lalu dimakan oleh kaum lelaki, sedangkan kaum wanita tidak boleh memakannya.

"dan tidak Wasilah," 

Wasilah ialah kambing betina yang telah melahirkan enam ekor anak kambing, dan apabila ia melahirkan lagi anak kambing yang ketujuh, mereka membelah telinganya dan memotong tanduknya, lalu mereka katakan bahawa kambing ini telah berjasa. Maka mereka tidak menyembelihnya, tidak memukulnya, dan tidak berani mencegahnya pergi ke tempat minum mana pun.

Jika anak yang ketujuh itu jenis jantan dan dalam keadaan mati, maka boleh diberikan kepada kaum lelaki dan wanita. Tetapi jika betina, maka mereka membiarkannya hidup. Jika anaknya kembar, terdiri atas jenis jantan dan betina, maka mereka membiarkan keduanya hidup; dan mereka mengatakan bahawa yang jantan diselamatkan oleh yang betina, kerana itu diharamkan bagi mereka.

Kambing betina yang melahirkan sepuluh anak yang semuanya jenis betina dalam lima kali kelahiran kerana setiap kelahiran kembar, pada tiap-tiap kelahiran dijadikan wasilah dan dibiarkan hidup bebas. Bila ia telah besar dan beranak, baik anaknya jenis jantan ataupun betina, maka diberikan kepada kaum lelaki saja, sedangkan kaum wanita tidak boleh. Tetapi jika anak yang dilahirkannya mati, maka kaum wanita dan kaum lelaki boleh memperolehnya.

Biri-biri betina yang melahirkan anak kembar yang terdiri dari jantan dan betina. Maka yang jantan ini dinamakan wasilah, tidak boleh disembelih dan diserahkan kepada berhala.

Unta betina yang telah melahirkan anak pertama dan keduanya betina, iaitu tidak diselangi anak jantan. Maka anak yang kedua ini dinamakan wasilah. Maka mereka membelah telinga anak yang kedua ini diserahkan kepada berhala mereka dan dibiarkan bebas.

"dan tidak Ham," 

Ham adalah unta jantan yang telah disasarkan membuntingkan unta betina dalam bilangan tertentu. Apabila anak dari unta jantan itu mempunyai anak lagi, mereka mengatakan bahawa cucunya itu telah memelihara punggungnya. Maka mereka menandainya dengan bulu merak. Ia tidak boleh diganggu lagi, kerana diserahkan kepada berhala dan dibiarkan bebas.

Mereka tidak berani membebaninya dengan muatan apa pun, tidak berani memotong bulunya, dan tidak melarangnya mendatangi tempat penggembalaan yang terlarang dan tempat minumnya, sekalipun tempat minumnya itu bukan milik tuannya. Mereka menamakannya unta Kami.

"akan tetapi orang-orang yang kafir mereka membuat-buat atas Allah kebohongan, dan kebanyakan mereka tidak berakal." 

Tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.

Allah s.w.t. sama sekali tidak pernah mensyariatkan hal ini. Ia bukanlah merupakan amal taqarrub untuk mendekatkan diri kepadaNya. Haiwan-haiwan yang disebutkan itu dianggap haram oleh orang-orang musyrik. Mereka menjadikannya sebagai syariat buat mereka dan sebagai amal taqarrub mereka untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Mereka sendirilah yang mereka-reka peraturan tersebut dengan tidak berdasarkan dalil naqli maupun dalil 'aqli, bahkan atas dasar dusta yang disandarkan kepada Allah, muncul dari kejahilan mereka dan tidak menggunakan akalnya. Apa yang mereka amalkan itu tidak membawa hasil yang bermanfaat bagi diri mereka. Yang mereka petik hanyalah bencana bagi mereka sendiri.

"104. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah kepada apa yang Allah turunkan dan kepada Rasul." 

Apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah mengikuti kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada Rasul." Iaitu apabila mereka diseru untuk mengikuti agama Allah, syariatNya, dan hal-hal yang diwajibkanNya serta meninggalkan hal-hal yang diharamkanNya

"Mereka berkata, "Cukuplah kami apa yang kami dapati atasnya bapa-bapa kami.""

Mereka menjawab, "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya." Mereka tetap berpegang kepada adat-adat, peraturan-peraturan dan tradisi yang biasa dilakukan oleh nenek moyang mereka.

"Apakah walaupun ada bapa-bapa mereka tidak mengetahui sesuatu dan mereka tidak mendapat petunjuk."

Adakah walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak mendapat petunjuk?

Amr ibnu Luhay ibnu Qum'ah ibnu Khandaf, seorang lelaki dari kalangan Bani Mudlaj, iaitu salah seorang pemimpin Khuza'ah yang mengurus Baitullah. Dialah yang mula-mula mengubah agama Nabi Ibrahim Al Khalil, lalu dia memasukkan berhala-berhala ke tanah Hijaz dan menyerukan kepada para penggembala ternak untuk menyembah berhala-berhala itu serta mendekatkan diri kepadanya. Dia jugalah yang mensyariatkan peraturan-peraturan Jahiliah dalam masalah ternak dan lain-lainnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku telah melihat neraka Jahanam, sebahagian darinya menghentam sebahagian yang lain; dan aku melihat Amr menyeret isi perutnya, dia adalah orang yang mula-mula mengadakan peraturan haiwan saibah."

Nenek moyang mereka itu tidak mengetahui perkara yang hak dan tidak pula mendapat petunjuk mengenainya. Mereka hanyalah mengikuti orang-orang yang lebih bodoh daripada mereka dan lebih sesat jalannya. Meskipun begitu, mereka merasa ujub (bangga) dengan pendapat mereka yang tegak di atas kejahilan dan kezaliman.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...