Jumaat, 16 September 2016

6:130-132 Tafsir Surah Al An’am, ayat 130-132.

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإنْسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنْفُسِنَا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ (١٣٠) ذَلِكَ أَنْ لَمْ يَكُنْ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا غَافِلُونَ (١٣١)

Allah s.w.t. berfirman,

"130. Wahai golongan jin dan manusia! Apakah belum datang pada kalian rasul-rasul di antara kalian," 

Pada hari kiamat nanti, Allah s.w.t. menanyai kaum yang kafir dari kalangan makhluk jin dan manusia, bahawa bukankah telah datang kepada mereka rasul-rasul yang menyampaikan risalah kepada mereka. Para rasul itu hanyalah dari golongan manusia saja, tiada satu pun dari kalangan makhluk jin yang menjadi rasul. Jin hanyalah yang diikutkan kepada manusia.

"mereka menceritakan atas kalian ayat-ayatKu dan memperingatkan kalian pertemuan hari kalian ini?"

Para rasul itu telah menerangkan bahawa keuntungan terletak dalam menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya, dan bahawa kerugian terletak jika melakukan sebaliknya.

"Mereka berkata, "Kami menjadi saksi atas diri kami." Dan telah menipu mereka kehidupan dunia"

Mereka telah menyia-nyiakan hidup mereka di dunia. Mereka menjadi binasa kerana tidak beriman, mendustakan rasul-rasul, tidak percaya kepada mukjizat-mukjizat dan tidak beramal soleh kerana tertipu oleh kehidupan duniawi, kesenangan, keindahannya, kenikmatannya, perhiasannya, merasa tenteram dan ridha dengannya.

"dan mereka menjadi saksi atas diri mereka," 

Di hari kiamat kelak, mereka akan mengakui bahawa para rasul itu telah menyampaikan kepada mereka risalah dariNya, memberikan peringatan kepada mereka terhadap pertemuan denganNya dan bahawa hari kiamat itu merupakan hari yang pasti terjadi.

"bahawasanya mereka, mereka orang-orang kafir." 

Mereka kafir ketika di dunia, ingkar terhadap apa yang disampaikan oleh para rasul kepada mereka. Maka tegaklah hujjah Allah terhadap mereka.

"131. Demikian itu kerana tidak akan Tuhanmu membinasakan negeri-negeri dengan aniaya, dan penduduknya orang-orang yang tidak tahu." 

Allah tidak akan berbuat aniaya atau zalim terhadap hamba-hambaNya. Dia tidak akan menyegerakan azabNya dengan membinasakan mereka kerana perbuatan aniaya mereka yang melakukan kemusyrikan ketika mereka sedang dalam keadaan lengah, lupa, tidak sedar, tidak mengetahui atau belum tersentuh oleh dakwah, kerana mereka akan beralasan dengan mengatakan, "Tidak pernah datang kepada kami seorang pembawa berita gembira, tidak pula seorang pemberi peringatan pun."

Maka Dia menyedarkan dan memperingatkan mereka dengan mengirimkan para rasul, kitab-kitab, mukjizat-mukjizat dan pelajaran-pelajaran kepada mereka untuk memperingatkan mereka akan hujah-hujah Allah atas mereka dan memperingatkan mereka terhadap azab Allah di hari mereka dikembalikan.

"132. Dan bagi tiap-tiap orang darjat dari apa yang mereka kerjakan." 

Darjat masing-masing orang seimbang dengan amalannya. Ketaatan kepada Allah ataupun derhaka terhadapNya mempunyai tingkatan dan kedudukannya sendiri. Barang siapa yang mengerjakannya, maka Allah akan menyampaikan hal itu kepadanya dan membalaskannya. Jika amal perbuatannya baik, maka balasannya baik; dan jika amal perbuatannya buruk, balasannya buruk juga.

Orang-orang yang kafir dari kalangan jin dan manusia, masing-masingnya akan memperoleh kedudukan dan tingkatannya di dalam neraka sesuai dengan amal perbuatannya. Orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia dari jalan Allah, ditambahkan kepada mereka siksaan di atas siksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan. Masing-masing mendapat siksaan yang berlipat ganda.

"Dan tidaklah Tuhanmu lalai dari apa yang mereka kerjakan." 

Allah Maha Mengetahui semua amal perbuatan mereka itu. Dia menghitung-hitungnya dan membalaskannya kepada mereka di sisiNya, iaitu pada hari mereka bersua denganNya, iaitu di hari mereka dikembalikan kepadaNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...