Jumaat, 16 September 2016

7:123-126 Tafsir Surah Al A'raf, ayat 123-126.

قَالَ فِرْعَوْنُ آمَنْتُمْ بِهِ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ إِنَّ هَذَا لَمَكْرٌ مَكَرْتُمُوهُ فِي الْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا مِنْهَا أَهْلَهَا فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ (١٢٣) لأقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ مِنْ خِلافٍ ثُمَّ لأصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ (١٢٤) قَالُوا إِنَّا إِلَى رَبِّنَا مُنْقَلِبُونَ (١٢٥) وَمَا تَنْقِمُ مِنَّا إِلا أَنْ آمَنَّا بِآيَاتِ رَبِّنَا لَمَّا جَاءَتْنَا رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ (١٢٦)

Setelah para pesihir Fir'aun beriman kepada Allah s.w.t. dan Nabi Musa a.s., Fir'aun mengancam mereka.

"123. Berkata Fir'aun, "Apakah kalian beriman kepadanya sebelum aku izinkan kalian? Sesungguhnya ini suatu muslihat kalian merencanakannya di kota"" 

Fir'aun menuduh bahawa kemenangan Musa a.s. atas mereka hanyalah sandiwara saja, berdasarkan kerelaan mereka sendiri dan Musa a.s. adalah pemimpin mereka yang mengajarkan sihir kepada mereka.

Inilah kedustaan Fir’aun. Ia menampakkan kepada khalayak ramai helah dan tipu muslihatnya dalam memutarbalikkan kenyataan, padahal para pesihirnya telah bersusah payah mengorbankan tenaga mereka untuk mengalahkan Nabi Musa a.s., namun mereka kalah dan kebenaran terbukti, lalu mereka pun mengikutinya.

Musa a.s. dan semua orang yang sihat akalnya mengetahui bahawa apa yang dikatakan oleh Fir'aun adalah suatu kebatilan yang parah, kerana Nabi Musa a.s. datang dari Madyan langsung menyeru Fir'aun untuk menyembah Allah.

Lalu Musa a.s. menunjukkan beberapa mukjizat yang jelas dan hujah-hujah yang mematahkan untuk membuktikan kebenaran dari apa yang disampaikannya. Tetapi saat itulah Fir'aun mengirimkan beberapa utusannya ke pelbagai kota yang berada di bawah kekuasaannya untuk mengundang semua ahli sihir.

Kemudian Fir'aun mengumpulkan semua ahli sihir dari berbagai negeri yang tunduk pada kekuasaannya di Mesir, mereka adalah ahli sihir pilihan para pemimpin dari kaum Fir'aun. Lalu semuanya dihadapkan kepada Fir'aun, dan Fir'aun menjanjikan akan memberikan harta yang berlimpah kepada mereka. Kerana itulah para pesihir terdorong untuk memenangkan pertandingan tersebut di hadapan Fir'aun.

Nabi Musa a.s. sama sekali tidak mengenal seorang pun dari mereka, tidak pernah pula melihatnya, dan sama sekali tidak pernah bersua dengan mereka. Fir'aun sendiri mengetahui hal tersebut. Maka sesungguhnya apa yang dikatakan oleh Fir'aun setelah semua orang kuatnya kalah hanyalah semata-mata sebagai sikap diplomasi dan menutupi kekalahannya di mata rakyatnya dan orang-orang yang tidak mengerti dari kalangan kaumnya.

Fir’aun mempengaruhi kaumnya dengan perkataan itu, lalu mereka patuh kepadanya. Di antara kaumnya terdapat orang-orang yang percaya kepada kata-kata Fir'aun iaitu, "Akulah tuhan kalian yang paling tinggi." Orang-orang tersebut adalah makhluk Allah yang paling bodoh dan paling sesat.

Sebelumnya, Musa a.s. berhadapan dengan pemimpin para ahli sihir, maka ia berkata kepadanya, "Bagaimanakah pendapatmu jika aku dapat mengalahkanmu, apakah kamu mahu beriman kepadaku dan bersaksi bahawa apa yang aku sampaikan adalah benar?"

Pemimpin ahli sihir itu menjawab, "Sungguh esok aku akan menggunakan sihir yang tidak dapat dikalahkan oleh sihir apa pun. Jika engkau dapat mengalahkan aku, maka aku sungguh akan beriman kepadamu dan benar-benar akan bersaksi bahawa engkau adalah benar," sedangkan Fir'aun memandang keduanya.

Kerana itulah Fir'aun mengatakan bahawa kekalahan mereka adalah suatu tipu muslihat.

"untuk mengeluarkan darinya penduduknya." 

Fir'aun menuduh para persihirnya telah bersepakat dengan Musa a.s. hendak merebut kekuasaan di Mesir dan mengusir semua orang besar, para pemimpin dan rakyatnya.

"Maka akan kalian mengetahui."

Maksudnya, kelak kalian akan mengetahui akibat perbuatan kalian ini dengan apa yang akan aku lakukan terhadap kalian.

"124. Sungguh aku akan potong tangan kalian dan kaki kalian secara bersilang," 

Iaitu kaki kanan dipotong bersama tangan kiri, atau sebaliknya.

"kemudian sungguh akan aku salib kalian semuanya." 

Iaitu pada batang pohon kurma. Maka orang yang mula-mula menjatuhkan hukuman salib dan memotong kaki dan tangan secara bersilang adalah Fir'aun.

"125. Mereka berkata, "Sungguh kami kepada Tuhan kami dikembalikan.""

Para pesihir itu tidak peduli apa pun hukumannya. Mereka yakin bahawa sesungguhnya kepada Allah mereka kembali. AzabNya lebih keras daripada siksaan Fir'aun. PembalasanNya lebih hebat daripada pembalasan yang Fir'aun ancamkan kepada mereka. Ilmu sihir yang Fir'aun paksakan mereka melakukannya lebih besar dosanya berbanding hukumannya. Maka mereka bersedia menghadapi siksaan Fir'aun, asalkan mereka dibebaskan dari azab Allah.

"126. Dan tidak kamu balas dendam kepada kami, kecuali bahawa kami beriman dengan ayat-ayat Tuhan kami ketika telah datang kepada kami." 

Fir'aun menuduh mereka bersalah hanya kerana mereka beriman. Mereka beriman kerana telah nampak tanda-tanda kekuasaan Allah. Tidak ada muslihat yang telah mereka lakukan untuk merampas kekuasaan Fir'aun. Lalu mereka pun berdoa,

"Ya Tuhan kami, limpahkanlah atas kami kesabaran" 

Mereka memohon kepada Allah agar dicurahkan kesabaran dalam membela agama Allah dan diteguhkan hati mereka ketika ditimpakan hukuman itu agar mereka tidak kembali kafir.

"dan wafatkanlah kami orang-orang muslim." 

Mereka memohon kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan muslim, iaitu tunduk dan berserah diri kepadaNya, dan dalam keadaan mengikuti rasulNya Musa a.s.

Mereka mengatakan kepada Fir'aun, "Maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja. Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami. Agar Dia mengampuni kesalahan-kesalahan kami dan sihir yang telah kamu paksakan kepada kami melakukannya. Dan Allah lebih baik (pahalaNya) dan lebih kekal (azabNya)."

Fir’aun melaksanakan hukumannya, dan Allah s.w.t. meneguhkan iman mereka. Pada pagi hari itu mereka adalah ahli sihir, tetapi pada petang hari itu mereka adalah para syuhada yang berbakti.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...