Jumaat, 9 September 2016

52:1-16 Tafsir Surah At Tur, ayat 1-16.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang 

وَالطُّورِ (١) وَكِتَابٍ مَسْطُورٍ (٢) فِي رَقٍّ مَنْشُورٍ (٣) وَالْبَيْتِ الْمَعْمُورِ (٤) وَالسَّقْفِ الْمَرْفُوعِ (٥) وَالْبَحْرِ الْمَسْجُورِ (٦)إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ لَوَاقِعٌ (٧) مَا لَهُ مِنْ دَافِعٍ (٨) يَوْمَ تَمُورُ السَّمَاءُ مَوْرًا  (٩) وَتَسِيرُ الْجِبَالُ سَيْرًا (١٠) فَوَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِلْمُكَذِّبِينَ (١١)الَّذِينَ هُمْ فِي خَوْضٍ يَلْعَبُونَ (١٢) يَوْمَ يُدَعُّونَ إِلَى نَارِ جَهَنَّمَ دَعًّا  (١٣) هَذِهِ النَّارُ الَّتِي كُنْتُمْ بِهَا تُكَذِّبُونَ (١٤) أَفَسِحْرٌ هَذَا أَمْ أَنْتُمْ لا تُبْصِرُونَ (١٥) اصْلَوْهَا فَاصْبِرُوا أَوْ لا تَصْبِرُوا سَوَاءٌ عَلَيْكُمْ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (١٦)

Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut beberapa makhlukNya yang menunjukkan akan KekuasaanNya yang besar, bahawa azabNya pasti akan menimpa musuh-musuhNya. Dan bahawa tiada seorang pun yang dapat menolak azab itu dari mereka.

"1. Demi bukit." 

Tur ertinya gunung dan bukit yang mempunyai pohon-pohonan. Bukit atau gunung yang tiada pepohonannya pula dinamakan Jabal. Allah s.w.t. bersumpah dengan gunung Sinai, tempat di mana Dia berbicara langsung dengan Nabi Musa a.s. dan mewahyukan kepadanya hukum-hukum sebagai kurnia, nikmat yang tidak ternilai dan tanda kekuasaan Allah baginya dan umatnya. Di situ juga Allah s.w.t. mengangkat Nabi Isa a.s. menjadi rasuINya.

"2. Dan kitab yang tertulis." 

Ada yang berpendapat bahawa ia adalah Lauh Mahfuz. Ada yang mengatakan maksudnya adalah kitab-kitab yang diturunkan yang tertulis untuk dibacakan kepada manusia dengan terang-terangan.  Ada juga yang mengatakan maksudnya adalah Al Qur’an, kitab yang paling utama yang di dalamnya terdapat berita orang-orang yang terdahulu dan yang datang kemudian.

"3. Dalam lembaran yang terbuka." 

Iaitu tertulis, tampak dan tidak tersembunyi, dan keadaannya tidak samar bagi setiap orang yang berakal dan memiliki pandangan yang tajam.

"4. Dan Baitul Ma'mur."

Pada setiap langit terdapat (rumah, masjid atau Ka'bah)nya tersendiri sebagai tempat mereka melakukan ibadah dan solat dengan menghadap kepadanya. Ka'bah yang ada di langit yang terdekat dinamakan Baitul Izzah (hanya Allah Yang Maha Mengetahui).

Baitul Ma'mur adalah Ka'bah bagi penduduk langit yang ketujuh, langit yang bernama Ad Darrah. Kedudukannya lurus dan tepat di atas Ka'bah dan berhadapan dengan 'Arasy. Kesuciannya di langit sama dengan kesucian Baitullah yang ada di bumi.

Setiap hari ia dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat. Mereka melakukan ibadah di dalamnya dan tawaf di sekelilingnya sebagaimana ahli bumi melakukan tawaf di Ka'bah mereka. Apabila mereka keluar darinya, mereka tidak kembali lagi kepadanya untuk selama-lamanya.

Ada yang mengatakan bahawa Baitul Ma'mur ialah ka'bah kerana ka'bah selalu mendapat kunjungan haji, 'umrah, tawaf dan lain-lain.

"5. Dan atap yang ditinggikan." 

Allah s.w.t. jadikan langit sebagai atap terpelihara yang ditinggikan bagi bumi. Cahaya yang kelihatan di bumi berasal dari sana, tanda-tandanya dipakai sebagai petunjuk jalan, dan dari sana Allah s.w.t. menurunkan hujan, rahmat dan berbagai rezeki.

Ada yang mengatakan bahawa atap yang ditinggikan itu bermaksud 'Arasy kerana 'Arasy adalah atap bagi semua makhluk.

"6. Dan laut yang bergelombang." 

Allah s.w.t. dengan hikmahNya memenuhkan laut dengan air. Secara tabiatnya air akan membanjiri permukaan bumi. Setiap malam laut mengalami pasang sebanyak tiga kali meminta izin kepada Allah s.w.t. untuk membanjiri manusia yang ada di daratan, tetapi Allah s.w.t. mencegahnya supaya makhluk yang tinggal di daratan dapat terus hidup.

Air laut tidak dapat diminum dan tidak dapat dijadikan sebagai pengairan tetumbuhan. Hal yang sama akan terjadi pada semua laut kelak di hari kiamat.

Terdapat perairan di bawah 'Arasy. Darinya Allah s.w.t. menurunkan hujan yang dapat menghidupkan semua jasad di dalam kuburnya di hari semua makhluk dikembalikan kepadaNya.

Kelak di hari kiamat, laut akan dipanaskan dan dinyalakan api dalam tanahnya. Laut akan menjadi kosong dan kering. Api menyala-nyala dan bergejolak yang meliputi semua ahlul mauqif (orang-orang yang di Padang Mahsyar).

Semua ini, yakni perkara-perkara yang Allah bersumpah dengannya menunjukkan bahawa ia termasuk ayat-ayat Allah dan dalil yang menunjukkan keesaanNya, bukti kekuasaanNya dan berkuasanya Dia membangkitkan orang-orang yang telah mati.

"7. Sungguh azab Tuhanmu pasti terjadi." 

Ini adalah subjek dari sumpah-sumpahNya yang tersebut, azabNya benar-benar pasti akan terjadi terhadap orang-orang kafir.

"8. Tidak ada baginya dari yang menolak." 

Jika Allah menghendaki berlaku azab terhadap mereka, tidak ada yang dapat melemahkan dan menolak kekuasaan Allah.

"9. Pada hari bergoncang langit goncangan." 

Mauran ialah gerakan yang berputar-putar. Pada hari itu, Allah s.w.t. memerintahkan langit bergerak-gerak, benar-benar bergoncang dengan kuatnya, berputar-putar dan mengalami keretakan.

"10. Dan berjalan gunung-gunung sungguh-sungguh berjalan." 

Gunung berpindah dari tempatnya dan berjalan seperti awan berjalan, lalu gunung itu meledak dengan sehebat-hebatnya, seperti bulu yang dihambur-hamburkan, menjadi seperti debu dan akhirnya lenyap.

"11. Maka kecelakaan pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan." 

Wail atau celakalah mereka kerana siksaan, kesedihan, ketakutan, azab, pembalasan dan siksaan Allah yang ditimpakan kepada mereka.

"12. Orang-orang yang mereka dalam kesesatan bermain-main." 

Mereka selama hidup di dunia tenggelam di dalam kebatilannya, perbuatan dosa dan menjadikan agama mereka sebagai main-mainan dan olok-olokan. Mereka hanya menumpukan pada pengetahuan yang memberikan madharrat (bahaya) yang isinya mengandung pendustaan kepada kebenaran, pembenaran kepada kebatilan, dan perbuatan mereka adalah perbuatan orang-orang yang bodoh.

"13. Pada hari mereka didorong ke neraka Jahannam dorongan." 

Mereka diseret di atas wajahnya dengan sangat kasar. Ketika mereka melihat neraka dan azab, Malaikat Zabaniyah atau juru siksa mengatakan kepada mereka secara keras,

"14. Inilah neraka yang kalian padanya mendustakan." 

Mereka dicela, dicemuh dan dikecam kerana mereka tidak mempercayai adanya pembalasan di akhirat.

"15. Maka apakah sihir ini? Atau kalian tidak melihat." 

Apa yang dibawa Rasulullah s.a.w. bukanlah sihir, bahkan kebenaran yang jelas dan jalan yang lurus. Beliau s.a.w. telah mengajak mereka beriman serta menegakkan dalil dan bukti terhadapnya yang menjadikan perkara itu sebagai perkara yang paling jelas.

Namun mereka seakan-akan tidak memiliki basirah dan ilmu sehingga perkara itu menjadi samar bagi mereka. Mereka tidak mengetahui perkara ini sehingga belum tegak hujjah kepada mereka.

Pada hari itu mereka sendiri nampak bahawa azab neraka itu bukanlah sihir yang tidak ada hakikatnya. Maka telah jelas bagi mereka, bahawa ia merupakan kebenaran yang paling benar dan menyelisihi sihir dari berbagai sisi. Maka, hujjah Allah telah tegak atas mereka.

"16. Masuklah ke dalamnya," 

Masuklah kamu ke dalam neraka ini dan rasakanlah panas apinya yang meliputi membakar kalian dari semua arah, membakar semua badanmu dan naik sampai ke hati kamu.

"maka bersabarlah kalian atau kalian tidak bersabar, sama saja atas kalian;" 

Sabar atau tidak sabarnya mereka terhadap neraka tidaklah berfaedah apa-apa bagi mereka dan tidak akan meringankan azab itu. Tiada jalan lain bagi mereka darinya dan mereka tidak dapat menghindar darinya.

"Sungguh hanyalah kalian diberi balasan apa yang kalian kerjakan." 

Allah s.w.t. menghukum demikian kepada mereka adalah kerana amal dan perbuatan mereka yang buruk. Dia tidak menganiaya seorang pun. Masing-masing mendapat balasan sesuai amal perbuatannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...